займ срочно

Teringin nak tulis buku tapi rasa malas? Penulis ‘prolifik’ ni dikatakan main copy paste je

F1
Teringin nak tulis buku tapi rasa malas? Penulis ‘prolifik’ ni dikatakan main copy paste je

Bila kita berbincang pasal buku, kita jarang nak bincang pasal penulis dan penulisan mereka. Selalunya kita akan bincang pasal budaya membaca je, tapi bukannya budaya perbukuan. Oleh sebab tu, kisah kali ni memakan masa yang sangat lama sebelum ada orang berani tegur dan buktikan bahawa penulis ni pun tak semua ikhlas nak menulis.

728 X 90

Lebih mendukacitakan lagi, penulis tersebut siap menang lagi Anugerah Buku Negara… sedangkan kualiti penulisannya tak padan pun nak diberikan anugerah. Hanya kerana penulis tu pun ada syarikat penerbitannya sendiri, adakah tu menjamin bahawa buku tu sesuai dibawa ke peringkat umum dengan kualiti cacamerba?

Buku Dekad Membaca
Antara halaman daripada buku ‘Dekad Membaca’… Via Twitter

Penulis prolifik tulis beratus-ratus buku dikatakan hanya copy paste dari Internet, terjemah bahan dari Google Translate

Masa kat sekolah atau universiti, isu menyalin semula karya orang lain adalah suatu isu yang dipandang berat oleh dunia akademik. Mesti korang dah pernah jumpa kawan-kawan yang malas nak buat kerja, atau atas sebab lain, terpaksa memberikan tugasan yang disalin bulat-bulat daripada Internet dengan harapan korang tak perasan. Kalau korang perasan, mesti korang akan sakit hati sebab korang dah susah payah buat tugasan, tiba-tiba ada pulak boleh senang-senang salin je dari Internet tanpa ubah struktur ayat tu pun.

Lebih kurang begitulah apa yang jadi kat dunia penulisan sekarang. Heboh jugak cerita pasal sorang penulis ni, dikenalpasti sebagai Mejar (B) Mohammad Qayyum A Badaruddin. Dengan pencapaian berjaya menulis ratusan buku, ramai yang tutup mata dari mempersoalkan kualiti demi mengangkat kuantiti buku yang telah dihasilkannya.

Sorang warganet dan jugak penulis buku, Iman Danial Hakim membangkitkan isu tersebut lepas ada warganet lain mulai perasan mengenai struktur ayat yang tunggang-langgang dan kesalahan tatabahasa yang wujud dalam buku tersebut. Bak kata peribahasa, jauhari jua mengenal manikam. Pembaca tegar mesti akan perasan bahawa kebiasaannya, ni tanda-tanda buku tersebut merupakan hasil plagiat daripada sumber yang tak diketahui.

Perkara tu mendapat perhatian lebih meluas lagi dalam komuniti pembaca, apabila dah ramai yang tampil dan bersama-sama cuba mencungkil sejauh mana karya tulisan Mohammad Qayyum ni berupa plagiat. Ye lah, komuniti pembaca pun tak nak serkap jarang je tuduh kan. Akhirnya, benar-benar terbukti bahawa karyanya tu memang karya plagiat dari Internet. Bukan 1 je, malah banyak lagi buku yang telah dihasilkannya jugak menggunakan ‘teknik’ yang sama.

Perkara tersebut suatu yang mengejutkan sebab penulis ni turut dianugerahkan sebagai pemenang Anugerah Buku Negara 2019 oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara. Nasib baiklah dalam kategori Penerbit Prolifik 2019 je… kalau diberi sebagai penulis terbaik ke, memang mind blown sangat.

Sedikit penyelidikan daripada warganet turut mendapati bahawa Casamas Resources Sdn Bhd ni adalah milik Mohammad Qayyum jugak, jadi mungkin sekali seluruh tenaga editorial seperti kerja mengedit dan menyemak semula tu di tangan penulis/penerbit yang sama. Sama ada terlepas pandang ke atau tak, isu ni memang dah tak buat orang terlepas ataupun melepaskan pandang lagi.

Penulis pertimbangkan nak saman warganet, dia rasa karyanya tak termasuk dalam kategori plagiat

Baru-baru ni Malaysiakini berjaya mendapatkan respon daripada penulis tersebut. Penulis tersebut tepis dakwaan karyanya tu adalah karya plagiat, walaupun mengakui dia tak memberi kredit dan menggunakan ayat yang tak teratur. Dia jugak turut menawarkan pemulangan wang susulan penggunaan ayat yang tunggang langgang tu.

“Saya tidak melihat karya saya sebagai satu isu plagiat. Itu persepsi orang. Hanya beberapa orang sahaja yang baca buku saya dan menganggap ia karya plagiat. Yang lain cuma memberi respons sahaja,”- Seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Mejar Qayyum
Via Malaysiakini

Selain tu, dia turut memberi komen pasal dakwaan dia menggunakan khidmat Google Translate untuk terjemah ayat bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Katanya, mungkin dia terlepas pandang disebabkan nak kejar tarikh pelancaran penerbitan buku tu. Berikutan komen warganet tu jugak, dia turut menzahirkan tentangannya dan menyifatkan ia sebagai fitnah dan tak beradab.

Dia turut mempertimbangkan saman kepada mereka yang ‘memfitnah’ dan ‘mengecam’nya di media sosial. Namun sebelum Malaysiakini meminta responnya, dia jugak sebenarnya dah beri respon kepada kritikan warganet ke atasnya dengan menyebut dua nama warganet iaitu Kasma Diey dan Iman Danial tu. Respon tu diberikan di akaun peribadi (dan gambar peribadi) mereka.

Di akhir perbualan mereka, Mohammad Qayyum jugak dilihat turut membalas kritikannya secara peribadi menerusi Facebook Messenger dengan menyebut ‘paku atas bahu’ (pangkat tentera). Ada jugak warganet lain berkongsi penulis tu pun dikatakan memaksa beli bukunya kat anggota tentera lain dan turut berhutang kos percetakan.

Terdapat sebuah lagi klip rakaman suara dikatakan merupakan suara penulis tersebut, memberi komen terhadap kritikan yang dilemparkan oleh Iman Danial dan Kasma Diey ni. Katanya, cara yang mereka lakukan tu ‘biadab’ dan sepatutnya menghubunginya terlebih dahulu. Katanya lagi, cara macam ni mencerminkan sikap Melayu yang busuk hati.

Yayasan Pembangunan Buku minta maaf, tapi tegaskan bahawa usaha Mohammad Qayyum terbit banyak buku patut disokong

Susulan isu tersebut, Yayasan Pembangunan Buku Negara mohon maaf kerana tak mengkaji karya-karyanya terlebih dahulu dengan cermat. Jurucakap YPBN ketika dihubungi Malaysiakini kata:

“Nasihat YPBN kepada para penulis adalah untuk tidak menciplak karya orang lain dan setiap rujukan yang diambil haruslah diberikan penghargaan kepada penulis asal”

Fattah Amin Anugerah Buku
Dulu buku kontroversi Fattah Amin pun diberi anugerah.. Via Ohbbulan

Walaupun begitu, mereka masih lagi tegas menyatakan bahawa usaha Mohammad Qayyum yang berjaya terbit banyak buku masih perlu disokong, lebih-lebih lagi apabila Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 dan usaha negara nak capai sasaran terbitkan 31,700 judul buku menjelang 2020.

YPBN ni pun sebenarnya kena diteliti lagi sejauh mana proses dan perbelanjaan mereka. Macam FINAS sebelum ni, wujudnya banyak keraguan dari segi pengagihan perbelanjaan. Begitu jugak dengan YPBN. Iman Danial turut mempersoalkan hasil perbelanjaan YPBN, di samping bertanya mengenai kewujudan Borneo Book Village.

Kami cuba menjejaki Borneo Book Village, dan sampai sekarang macam takde berita je sejak ideanya dimunculkan pada 2016. Dahulunya ia dirancang untuk dibina di Kuching, Sarawak. Kami dah jejaki kampung buku kat Langkawi dulu yang dah sunyi disebabkan kurangnya sambutan dan pendedahan kepada masyarakat awam.

Yang pasti, perkara ni diharap dapat membuka mata banyak pihak berkaitan dengan kualiti dan integriti dunia penulisan dan perbukuan. Hanya kerana ia dicetak menjadi sebuah buku, tak bermakna ia kebal daripada kritikan, saranan dan kesilapan. Begitu juga dengan status seseorang penulis tu; semakin besar pangkatnya, semakin besarlah tanggungjawabnya untuk menulis ilmu dengan ikhlas, jujur dan tak kejar keuntungan semata-mata.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top