Sepatutnya, tahun ni kita antara negara yang bakal bertanding dalam Olimpik Tokyo. Para juara kita pun dah bersedia lama untuk bertanding bakat dalam pertandingan antarabangsa yang berprestij tersebut. Namun bila pandemik melanda, kebanyakan acara dan pertandingan terpaksa dibatalkan ataupun ditunda. Ada jugak antaranya dipindahkan ‘bentuk’ daripada ‘muka ke muka’ menjadi ‘muka ke skrin’ pulak.
Tetapi kalau acara sukan ni… sukar jugak kita nak pindahkan ‘bentuk’nya menjadi acara maya. Jadi tentulah, pelbagai reaksi terbit susulan keputusan jawatankuasa Olimpik Tokyo apabila diorang putuskan bahawa Olimpik akan tetap berjalan meskipun risiko jangkitan tu masih ada. Rakyat Jepun sendiri meragui keputusan kerajaan diorang, dan nampaknya, Malaysia turut dikatakan dah dilarang menyertai Olimpik Tokyo 2021.
Tarikh Olimpik dah berubah susulan pandemik, masih tetap diteruskan walaupun ada risiko
Tahun lalu, kita menyaksikan sendiri bagaimana kesan pandemik ni kepada sesebuah negara dan seterusnya, kepada rantaian industri dunia. Dari segi pelaksanaan temasya antarabangsa jugak, tindakan paling selamat adalah dengan membatalkannya atau menjadikannya sebagai suatu acara maya je. Tetapi dalam hal Olimpik Tokyo, sepatutnya ia dijalankan pada 24 Julai hingga 9 Ogos 2020. Atas risiko wabak, maka Jawatankuasa Olimpik mengesahkan diorang setuju nak pinda ke tarikh baharu iaitu pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.
Sebenarnya, ni bukanlah kali pertama Olimpik berlangsung sewaktu wabak. Misalnya pada Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, ada virus Zika sedang melanda negara tersebut. Semasa Olimpik 2010 di Vancouver pun, kita tengah berhadapan dengan selesema burung H1N1. Akan tetapi, wabak kali ni lebih kuat kadar jangkitannya dan kadar kematiannya jugak tinggi… maka lebih wajarlah sekiranya diorang tunda Olimpik tu. Oleh sebab Jepun dah keluar banyak duit untuk pemasaran temasya tersebut, diorang masih lagi kekalkan “Olympic Tokyo 2020” meskipun dah dipersetujui akan ditunda ke tahun 2021. Tambah lagi, kita masih berharap bahawa pada 2021, jangkitan akan semakin berkurangan.
Sekarang bila dah masuk 2021, kita masih melihat peningkatan kes di seluruh dunia. Malah, beberapa varian turut muncul dan dapat merebak lebih pantas daripada varian Wuhan yang muncul tahun lalu. Kita sendiri pun tengah bergelut dengan peningkatan kes, lantas total lockdown jugak tengah dilaksanakan. Situasi ni tak menyekat langsung rancangan Olimpik Tokyo, walaupun Jepun jugak melaporkan kes yang tinggi dan dah panjangkan tempoh darurat diorang sehingga 20 Jun. Program vaksinasi diorang jugak masih lagi berjalan, dengan jangkaan bulan November, rakyat yang setuju nak ambil tu dah dapat.
“Kami menghabiskan setengah tahun pertama pada tahun lalu bagi mengenal pasti senario kes terburuk. Kemudian, kami menghabiskan enam bulan berikutnya untuk melihat langkah pencegahan yang perlu, selain menerapkan langkah pencegahan berdasarkan jangkaan tiada vaksin supaya situasinya bertambah baik.
Sukan ini akan diteruskan. Syarikat gergasi ubat AS, Pfizer dan rakannya di Jerman, BioNTech pada Khamis lalu mengumumkan perjanjian dengan IOC bagi menyediakan vaksin kepada atlet dan kakitangan pada temasya sukan ini,”-John Coates, Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), seperti yang dipetik oleh BH Online
Ramai tak puas hati Olimpik diteruskan, Malaysia antara 10 negara dicadang tak sertainya
Oleh disebabkan situasi wabak di Jepun tu masih belum baik dan sesuai untuk diadakan temasya sebesar tu, ramai yang tak puas hati dengan keputusan negara tersebut dan Jawatankuasa Olimpik. Berdasarkan empat kajian tinjauan pendapat awam di Jepun pada bulan Mei lalu, 60-80% rakyat negara tu nak Olimpik Tokyo dibatalkan atau ditunda. Bantahan, kritikan dan pandangan rakyat menunjukkan diorang khuatir akan tercetusnya satu lagi gelombang wabak khususnya di negara tersebut iaitu gelombang Olimpik.
Beberapa majalah dan syarikat penerbitan terkemuka seperti Nikkei, Yomiuri dan Asahi memaparkan iklan yang membawa mesej “tiada vaksin, tiada ubat. Haruskah kita berjuang dengan lembing bambu? Kita akan dibunuh kerana politik” (No vaccine, no medicine. Should we fight with bamboo spears? We will be killed by politics).
Naoto Ueyama, ketua Persatuan Doktor Jepun menyatakan ada kemungkinan akan berlakunya mutasi virus baharu akibat Olimpik nanti. Dengan penglibatan masyarakat daripada 200 negara dan kawasan di Tokyo, ia akan menjadi sangat berbahaya kelak sehingga boleh mewujudkan mutasi virus baharu.
“Kesemua mutasi virus yang berbeza dan wujud di pelbagai tempat berbeza akan bertumpu dan berkumpul di Tokyo. Kita tidak boleh menafikan kemungkinan tercetusnya mutasi virus baharu selepas Olimpik nanti. Jika situasi ini berlaku, ia boleh bermaksud mutasi virus nanti akan dinamakan virus Olimpik Tokyo dan akan menjadi suatu tragedi yang besar serta menjadi bahan kritikan ramai walaupun selepas 100 tahun kemudian”- seperti yang dilaporkan SCMP
Arena sukan tanah air dikejutkan apabila kerajaan Jepun dilaporkan memohon jawatankuasa penganjur temasya untuk mempertimbangkan supaya 10 negara termasuk Malaysia yang menunjukkan peningkatan kes COVID-19 tak dibenarkan menyertai Olimpik Tokyo. Antara negara lain yang turut dilaporkan media menerima nasib sama adalah seperti India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam dan United Kingdom.
“Ia juga berkait dengan senarai 159 buah negara yang dihalang daripada memasuki negara Jepun seperti mana siaran pemakluman oleh Kementerian Luar Negeri Jepun. Siaran pemakluman berkenaan juga turut menyentuh pengecualian yang boleh diberikan kepada beberapa kategori rakyat asing termasuklah “athletes and other persons concerned with Olympic and Paralympic Games Tokyo 2020″.
Sehubungan itu, saya mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya berhubung dan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta semua pihak berkaitan untuk mendapat pengesahan dan maklumat terperinci berkenaan perkara ini,”- Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan
Dari satu sudut, kegusaran orang ramai turut boleh kita fahami kerana lebih kurang sama je dengan kita. Walaupun program vaksinasi kita masih dijalankan, populasi yang dah terima vaksin masih lagi belum mencukupi untuk menjamin imuniti kelompok. Rakyat Jepun tak menolak betapa pentingnya Olimpik Tokyo ni, lagi-lagi untuk memacu semula rantaian industri diorang… tetapi bagaimana dengan potensi perebakan, dan mutasi virus baharu? Ni suatu yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan negaranya.
Namun begitu, pertimbangan diorang yang nak menghalang negara kita menyertainya jugak sedikit sebanyak perlu diperhalusi lagi. Jepun mungkin boleh cuba untuk menundanya sekali lagi, ataupun mengetatkan proses kemasukan atlet-atlet kita. Sepengetahuan kami, para atlet kita tentunya dah didahulukan untuk menerima suntikan vaksinasi. Ia akan mengurangkan kemungkinan jangkitan yang diorang mungkin bawa dari Malaysia, dan turut mengurangkan risiko orang lain yang belum ada vaksin terjangkit sama.