Permainan Tradisional Melayu, Cina dan India yang kian dilupakan

A2
Permainan Tradisional Melayu, Cina dan India yang kian dilupakan

Kalau kita perhatikan kanak-kanak dan remaja yang ada hari ni, diorang lebih suka ‘bermain’ gunakan telefon bimbit atau duduk berjam-jam di hadapan komputer. Kalau difikir semula, tak fun lah hidup macam tu, takde life betul. Bagi mereka yang lahir awal sikit daripada generasi Internet, banyak permainan yang jadi rutin apabila lepak dengan member. Lebih-lebih kalau lepak petang-petang, ada je permainan yang dibuat untuk hiburkan hati. Al-maklumlah masa tu seorang pun takde telefon, kalau ada pun telefon – mak ayah kita je. Itupun telefon diorang kalau kita timbang dengan batu-bata, mungkin beratnya lebih kurang sama.

Hahhh…tak ingat dunia langsung. Via Giphy

Game yang ada kat dalam tu pun, ular-ular yang cari makanan sampai termakan diri sendiri. Hari ni kami akan bawakan sikit beberapa game legend untuk budak-budak yang baru nak up tahu betapa seronoknya hidup zaman dulu-dulu…

1. Sepak Raga, permainan yang dah wujud sejak zaman kegemilangan Melaka

Permainan Sepak Raga dah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada masa tu permainan ni dimainkan oleh golongan bangsawan. Tapi orang kebanyakan pun ada main, macam golf ler. Sepak Raga yang ada pada hari ni lebih dikenali sebagai Sepak Takraw. Permainannya pun dah berbeza dengan apa yang dimainkan masa zaman kegemilangan Melaka dulu.

Pada zaman sekarang, kalau korang perhatikan, Sepak Takraw ni bukan dimainkan oleh orang Melayu je tapi bangsa-bangsa lain. Bola dalam permainan ni diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga, besarnya lebih kecil kalau nak dibandingkan dengan bola sepak. Permainan Sepak Raga ni dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola tu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain.

Via IndonesiaGo

Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan tu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tak jatuh ke bumi. Jika bola tu jatuh, permainan dalam pusingan tu akan ditamatkan. Kalau sepak takraw, kami rasa korang tahulah macam mana cara ia dimainkan.

2. Yo-yo Cina, permainan ni dipercayai wujud sejak Dinasti Ming lagi

Yo-yo Cina adalah permainan dari China yang ada dua cakera yang sama saiz dihubungkan oleh gandar yang panjang. Yo-yo Cina akan sentiasa berpusing pada tali yang diikat pada dua batang kayu kecil. Pemain akan pegang hujung kedua-dua kayu dan mengimbangi yo-yo daripada jatuh. Permainan ni dipercayai telah wujud sejak Dinasti Ming sekitar tahun 1386 hingga tahun 1644 selepas Masihi.

Via MBSSKL

Yo-yo Cina tradisional dibuat daripada buluh, oleh sebab ianya diperbuat daripada bulu, yo-yo ni mudah patah dan tak sesuai untuk aksi-aksi lasak. Sesetangah yo-yo cina dimasukkan alat yang menghasilkan bunyi apabila dipusingkan dengan laju. Bunyi ini membolehkan pemainnya mengimbangi kelajuan yo-yo.

3. Kho-kho, main kejar-kejar untuk sentuh lawan

‘Kho-kho’ adalah permainan tradisional yang popular dalam kalangan kaum India. Permainan yang berasal dari Maharashtra ni pada mulanya dimainkan menggunakan kereta kuda. Kebanyakan ahli sejarah India kata Kho-Kho merupakan hasil pengubahsuaian daripada satu permainan ‘lari dan kejar’ – seorang pemain akan berlari dan mengejar serta menyentuh pemain lain. Permainan Kho-kho ini memerlukan kecergasan fizikal pemain serta pergerakan yang fleksibel untuk mengelak disentuh oleh lawan.

Via Sportskeeda

Bagi permainan Kho-kho, setiap kumpulan boleh ada 12 pemain. Tapi, hanya 9 daripadanya yang akan bermain bagi satu perlawanan. Ada 2 giliran dalam permainan Kho-kho ni. Setiap giliran diperuntukkan selama 7 minit untuk acara lari dan kejar. Bagi kumpulan pengejar (chaser), 8 pemain akan berada kat tengah setiap 8 kotak yang ada kat padang permainan. Setiap 8 peserta ini akan duduk dalam kedudukan yang bertentangan secara berselang-selang. Manakala, pemain yang kesembilan akan bertindak sebagai pengejar. Sasaran bagi setiap pengejar ialah menyentuh pemain lawan dengan menggunakan tapak tangan.

Pemain lawan akan tersingkir apabila pengejar menyentuhnya dengan tapak tangan tanpa melakukan “foul”, atau pemain lawan telah melebihi had garisan ataupun lambat sampai ke had garisan. Pengejar boleh menukar giliran mengejar dengan menyentuh ahli pasukannya yang lain sambil berkata “Kho Kho”. Pemain yang disentuh kemudiannya akan menjadi pengejar dan begitulah seterusnya. Bagi setiap 2 giliran terdapat 5 minit masa rehat diberikan.

4. Batu Seremban, game yang memerlukan kepantasan tangan dan mata

Batu Seremban ni turut dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Permainan ni dimainkan oleh kanak-kanak  sama ada secara individu atau berpasangan. Ianya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih. Biasanya ia menggunakan guli kaca, biji getah, ketul batu yang kecil atau ketulan-ketulan objek lai berbentuk bulat. Bilangan yang biasa digunakan sebanyak lima biji.

Objek-objek ni dikenali sebagai buah dalam permainan Batu Seremban.  Ada beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.

5. Xiangqi, selalunya kita tengok kat DIY, tapi tak nak beli sebab tak reti main…

Xiangqi adalah sebuah permainan papan cina yang dimainkan oleh dua orang pemain. Xiangqi berada dalam keluarga yang sama dengan catur. Xiangqi bentuk kini berasal dari China, oleh itu ianya digelar sebagai Catur Cina. Permainan ni didapati telah mula dimainkan seawal abad ke-4 selepas Masihi di China. Xiangqi merupakan salah satu permainan papan yang paling popular kat dunia.

Ciri-ciri yang unik termasuklah pergerakan unik pao (meriam), peraturan yang melarang panglima (seperti “raja” dalam catur) daripada bertemu dalam garisan yang sama, serta “sungai” dan “istana” yang mengehadkan pergerakan sesetengah buah catur.

Permainan tradisional ni patut diajar kepada kanak-kanak hari ni…

Kami rasa tak salah kot kalau permainan-permainan yang kami ceritakan ni diajarkan pada anak-anak pada hari ni. Ia bukan je seronok, tapi juga boleh memberi faedah – kebanyakan game ni memerlukan pergerakan fizikal atau pemikiran yang tajam. Lagi satu, kalau bukan generasi hari ni yang mewarisi permainanan ‘legend’ ni, siapa lagikan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print