Khoo Kay Kim, bukan sekadar tokoh sejarah, tapi pengkritik bola sepak

Negara kehilangan seorang tokoh sejarah yang disegani. Malaysia menerima perkhabaran sayu bahawa tokoh sejarawan dan ahli akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, 82, telah pergi buat selamanya. Tokoh akademik dan pakar sejarah negara itu, telah meninggal dunia pada Selasa, 28 Mei 2019 di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur akibat jangkitan paru-paru. Dr Khoo meninggalkan seorang balu, Puan Seri Rathi dan tiga orang anak: Eddin, Rubin dan Mavin.

“Saya juga setuju bahawa pemain-pemain bola sepak bahkan ahli sukan lain diberi ganjaran sewajarnya. Tetapi syarat yang penting ialah SEWAJARNYA.” – Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim, Majalah Arena Bola Sepak (Julai 1984)

Mendiang dilahirkan di Kampar, Perak pada 28 Mac 1937, cukup dikenali dalam dunia persejarahan negara dan mempunyai jasa besar dalam pembangunan pendidikan sejarah Malaysia. Sesungguhnya, kita membesar dengan belajar sejarah dan perpaduan Malaysia daripada nukilan beliau. Telah mendidik ramai tokoh negara, beliau berjaya menghidupkan semula kecintaan kita kepada bidang sejarah.

Bola sepak sebati dengan jiwanya

Sebagai seorang ahli akademik, beliau juga sentiasa menjadi rujukan masyarakat, media dan pemimpin mengenai aspek sejarah dan bidang sukan, khususnya bola sepak.

Pencinta irama dan budaya Nusantara, joget dan filem Tamil ini bukan calang-calang orangnya. Malahan, beliau pernah menjadi ketua pasukan bola sepak Gabungan Universiti Seluruh Malaya pada tahun 1959. Pada 1909, British telah menubuhkan The Malaya Football Association di Singapura. Selepas 2 tahun saja di Singapura, sudah ada 50 buah kelab bola sepak Melayu bergerak dengan aktif.

Via MDN

Dr Khoo merupakan seorang yang sangat meminati sukan bola sepak dari kecil. Sehingga akhir hayatnya, beliau tegar memberikan cadangan, teguran serta kritikan terhadap prestasi skuad kebangsaan khususnya. Beliau konsisten menyeru agar pembangunan bola sepak pada peringkat tunas (sekolah rendah) diberikan tumpuan.

https://www.youtube.com/watch?v=-PKMjJMkIN8

Sebagai kolumnis tetap di beberapa buah majalah sukan seperti Arena Bola Sepak, beliau juga sering menyentuh bagaimana unsur rasuah telah membarah dalam bola sepak tanah air sejak sekian lama, sebelum mula parah sekitar era 90an.

Pakar sejarah yang mencintai bahasa kebangsaan

Beliau merupakan penerima Anugerah Merdeka 2018 dalam kategori pencapaian skolastik cemerlang, kerana sumbangan gemilangnya terhadap penyelidikan sarjana, menyusunan interpretasi semula sejarah Malaysia dan berdedikasi sepanjang hayat dalam bidang sejarah.

Beliau adalah tutor dan pensyarah Jabatan Sejarah pertama yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengajarannya, selain menggalakkan golongan sejarawan serta ilmuan untuk menulis sejarah Malaysia menurut kaca mata masyarakat tempatan dan menggunakan kaedah analitikal untuk mengkaji sejarah.

Via MalayMail

Dikenali sebagai tokoh sejarah yang prolifik, beliau telah menulis pelbagai judul buku sejarah Malaysia dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Antara syarahan terakhirnya ialah ketika peluncuran bukunya, “I, KKK: The Autobiography of a Historian”, pada 12 April 2017, yang disempurnakan oleh Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Terlibat menggubal Rukun Negara

Dr Khoo merupakan antara sarjana yang terlibat merangka, menggubal dan menjadi penulis lima prinsip Rukun Negara yang menjadi pegangan dan asas penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini, selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969.

Tun Razak dikatakan mendapat idea membuat Rukun Negara daripada konsep Pancasila di Indonesia. Memandangkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak mempunyai ‘preamble’ seperti Amerika Syarikat, India dan Turki, ramai melihat Rukun Negara sebagai ‘preamble’ buat Perlembagaan kita.

https://www.youtube.com/watch?v=unmg6bgmDho

Semoga keluarga mendiang tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini. Jasa dan pengorbanan mendiang akan terus mekar dalam minda dan jiwa kita semua. Sumbangan beliau dalam mendidik rakyat Malaysia tentang sejarah negara amat dihargai dan tidak ternilai.

Terima kasih banyak Dr Khoo, atas segala ilmu yang dicurahkan, semoga manfaatnya berterusan dan perjuanganmu disambung oleh anak bangsa masa hadapan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *