Pendaki Malaysia tawan gunung kedua tertinggi lepas Everest, teruskan misi solo walaupun hilang 8 jari

pendaki1

Gunung Everest tak pernah menjanjikan semua yang cuba menawannya akan selamat. Malah, terlalu ramai pendaki dah terkorban kat sana walaupun diorang ni boleh dikatakan orang-orang yang berpengalaman. Ada jugak yang nak daki atas semangat nakkan cabaran – namun sorang pendaki yang bijak takkan pandang rendah dengan kemegahan gunung tertinggi di dunia. Selain perlu jadi bijaksana, semangat jugak harus kental dan berhati waja. Kena berani dan mempunyai tahap kesanggupan yang tinggi.

Nasib banyak menyebelahi pendaki negara, T. Ravichandran. Tahun ni, dia berjaya takluki Gunung Everest. Pencapaian kali ni lebih istimewa baginya kerana dia turut ditemani dengan sorang lagi pendaki Malaysia yang tertua pernah sampai ke Everest. Sepatutnya ramai orang Malaysia yang naik ke Everest kali ni… namun ada sebab tertentu, tak tercapai. Ravichandran pulak siap tawan gunung K2 lagi kat Pakistan. Ini ceritanya…

travichandran
Via Astro Awani

Ravi Everest berjaya buat kali ketiga, tawan gunung paling bahaya di dunia

Sebelum ni, T. Ravichandran berjaya tawan puncak Everest secara solo dua kali iaitu pada 2006 dan 2007. Baru-baru ni pada 12 Mei, Ravichandran sekali lagi tawan Everest. Ekspedisi pendakian kali ni baginya, lebih istimewa sebab dia tak lagi keseorangan naik ke sana sepertimana ekspedisi lain. Dikenali sebagai Ravi Everest, dia kata pendakian kali ni ada cabaran dan dugaan tersendiri sebab dia kena bawa dua lagi pendaki lain. Masing-masing pun dah berumur 40 dan 64 tahun, tapi cita-cita dan semangat masih setinggi Everest.

“Saya berjaya bawa mereka ke puncak walaupun umur mereka 64 dan 40… jadi sudah tentu saya sangat berpuas hati dan bangga dengan pencapaian ini. Untuk rekod, anggota pendakian 64 tahun itu pendaki tertua yang berjaya daki Gunung Everest berbanding umur pendaki lain”- T. Ravichandran, seperti yang dilaporkan Malay Mail

2205 ravichandran everest fb
Ravichandran.. -Via Portal Berita RTM

Pendaki tersebut bernama N. Elanghovan, yang merupakan pesara Tenaga Nasional Berhad, manakala sorang lagi adalah Sidharth Routray, warganegara India yang berpusat di Amerika Syarikat. Kongsinya, diorang mula mendaki pada 2 Mei untuk sampai ke kem Satu, Dua dan Tiga. Diorang singgah kejap pada 5 Mei dan sambung semula ekspedisi tersebut pada 9- 11 Mei. Diorang akhirnya sampai ke puncak pada 12 Mei. Diorang turun semula dari puncak 3 hari selepas tu.

“Setiap kali ada ekspedisi baru, akan ada cabaran yang lain tapi ia adalah satu langkah untuk membina keyakinan dalam diri. Ia tak mudah… terpaksa berhadapan dengan angin yang kencang, ia buatkan jari menjadi sangat sejuk dan kami terpaksa guna silinder oksigen. Pada masa yang sama, saya kena pastikan anggota ekspedisi saya sentiasa tenang dan tidak mudah berputus asa untuk sampai ke puncak. Ia adalah detik menarik kerana saya dapat lihat riak gembira di wajah mereka”- seperti yang dilaporkan Malaymail

ravi elanghovan
Ravi Everest dan Elangoven.. -Via Varnam Malaysia

Ravi Everest ni jugak rancang nak buat ekspedisi keempat nanti, kali ni taknak guna oksigen untuk sampai ke puncak Everest. Lebih menarik, dia jugak merupakan satu-satunya yang dah naik ke Everest dari arah Selatan dan Utara (dari Tibet). Namun Everest (8,849 meter) bukanlah satu-satunya gunung yang dia nak tawan. Baru-baru ni pun, dia sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi orang Malaysia pertama yang berjaya tawan gunung K2 di Pakistan.

Sejak ekpedisi keduanya di Everest pada 2007, dia sebenarnya kehilangan 8 jari akibat radang dingin (frostbite). Kekurangan yang dialaminya tu membuatkan lelaki berusia 57 tahun ni lebih berdepan dengan risiko 30 peratus lebih bahaya berbanding pendaki lain yang normal. Sama jugaklah apabila dia putuskan nak tawan K2 (setinggi 8,611 meter) di Pakistan. K2 ni sebahagian dari banjaran Karakoram, dan digelar gunung paling bahaya di dunia – dikatakan satu daripada empat orang pendaki yang berjaya ni boleh mati.

k2 ravichandran
Via Yahoo News Malaysia

Ekspedisi Keluarga Malaysia cukup bersemangat, tapi tak cukup tajaan

Ekspedisi Ravi Everest ni boleh dikatakan serentak dengan ekspedisi Keluarga Malaysia. Mungkin tak ramai orang tau, bahawa negara kita pun ada jugak cuba buat program nak hantar ekspedisi untuk tawan Everest. Awalnya, Ravichandran dijadualkan bergerak bersama beberapa anggota pendaki elit yang lain seperti Adelinah Lintanga pada April lalu.

Menerusi program pendakian ‘Keluarga Malaysia-Everest Expedition 2022’, ekspedisi tersebut akan bermula pada 24 Mac. Banyak persediaan berjalan lancar dan pelbagai latihan telah dijalankan termasuklah mendaki Gunung Kinabalu. Lepas bertolak ke Nepal, diorang akan jalani latihan akhir selama tiga minggu sebelum mulakan pendakian ke puncak Gunung Everest.

ravi adelina
Via Astro Awani

Walau bagaimanapun, rancangan Adelina sebagai wakil Sabah dalam program tersebut terpaksa dihentikan kerana faktor dana. Sepatutnya dia bersama tiga lagi orang pendaki – sorang dari Sarawak (Fazilah Shahren), dua lagi dari Semenanjung Malaysia, dipimpin oleh Ravichandran.

“Memandangkan saya agak lewat menyertai ekspedisi ini, saya tidak dapat tajaan dalam masa yang ditetapkan untuk bergerak bersama mereka. Ravichandran sudah berada di sana (Everest) sebab dia sudah lama rancang dana kewangannya. Dua lagi dari Kuala Lumpur juga bersama Ravichandran”- Adelinah, seperti yang dilaporkan NST

Dia kekurangan RM140,000 untuk kos yang dijangka bagi ekspedisi tu adalah RM250,000. Dia kata dia memang ada terima beberapa tajaan dari pelbagai pihak seperti kerajaan negeri sendiri, ahli politik, syarikat berkaitan sukan dan agensi kerajaan sejak Februari lalu.

“Saya rasa sedikit kecewa kerana saya agak teruja dengan peluang ini. Tapi mesti ada sebab di sebalik kejadian ini. Saya harus kekal positif. Saya akan teruskan berlatih dan berharap agar dapat menunaikan hajat saya di kem Everest nanti.”- Adelinah, seperti yang dilaporkan NST

adelinah jassica
Adelinah bersama kakaknya Jassica wakili Malaysia dalam Ultra Marathon di Nepal 2017.. -Via NST

Pada 28 Mei lalu, Keluarga Malaysia Everest 2022 (KAME) turut membawa berita yang mendukacitakan. Ketua Misinya, Azim Afif Ishak kata diorang memohon maaf kerana tak dapat teruskan pendakian ke puncak Gunung Everest atas faktor cuaca dan keselamatan. Bagaimanapun, diorang hanya tangguhkan je dan akan tetap diteruskan pada tahun depan bersama 10 anggota pendaki yang sama:

  • Muhammad Hawari Hashim, 31, pendaki OKU
  • Rina Jordana Adnan, 42, bekas pesilat negara
  • Ahmad Murshid Maktar, 35
  • Ayu Wanirah Naharuddin, 29
  • Jack Oh Jin Heng, 37
  • Awang Askandar Ampuan Yaacub, 54, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah
  • Kanang ak Usin, 42, wakil Komando VAT
  • Pragash Murugesu,32, wakil Komando VAT
  • Mohammad Hanif Che Ahmad, 28, wakil Komando VAT
keluargamalaysia nepal
Tim KAME.. -Via Facebook
“Penaja-penaja ini tidak akan hadir tanpa sokongan Perdana Menteri yang memberi kami semangat di mana pada 4 Mei lalu, beliau membuat panggilan sempena Hari Raya Aidilfitri. Itu suatu pengalaman dan tanda sokongan kepada kami. Kami akan pegang amanah ini hingga tahun depan agar kami dapat realisiasi KAME 2023 dan harapan saya agar 10 atau sembilan pendaki ini, akan berada di puncak tahun depan dan membawa balik kejayaan itu sebagai hadiah kepada tempat (negeri) masing-masing juga.
Kita berjaya selamatkan enam permit tahun ini, maksudnya kita tidak membeli 10 permit sebab kita tidak cukup tunai di tangan waktu itu. Penaja ada, tetapi waktu itu kita berlumba dengan masa dan cuaca. Jadi 2023 kita akan hadir ke Nepal seawal 15 Mac berbanding 15 April,”-seperti yang dilaporkan Astro Awani
kame ributnepal
Ribut kencang antara kekangan tim KAME.. -Via Facebook

Kekuatan, kecekalan dan keberanian orang Malaysia memang tak dapat dinafikan lagi. Ramai lagi orang Malaysia yang begitu bersemangat untuk membuktikan bahawa Malaysia boleh di mata dunia – dan di puncak dunia Everest. Kepakaran para pendaki ni jugak boleh diperkembangkan lagi dalam melahirkan bakat-bakat para pendaki muda tanah air, dengan pengalaman dan ilmu yang diperoleh oleh golongan pendaki elit ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *