Apabila kita bercakap pasal sukan gusti, ia selalunya sinonim dengan lelaki. Kami pun dulu kaki tengok gusti, masa tu masih lagi WWF. Punyalah pandai diorang berlakon sampai kami yang masa tu masih lagi kanak-kanak percaya bulat-bulat apa yang diorang buat. Antara penggusti yang kami suka adalah The Rock, Stone Cold, The Undertaker, Triple H dan tak dilupakan The Miz (kami gurau). Walaupun sukan gusti masih lagi tak seberapa popular kat Malaysia, tapi baru-baru ni ada seorang penggusti yang dapat perhatian netizen. Apa yang special sangat tentang penggusti tu? Meh baca artikel ni sampai habis.
Walaupun terlibat dalam suka gusti yang secara teknikalnya belasah orang, dia tetap seorang yang pemalu
Penggusti berhijab yang gunakan gelaran Nor ‘Phoenix’ ni cukup istimewa sebab dia mengenakan hijabnya di gelanggang, selain daripada sukan ni selalunya didominasi oleh kaum lelaki. Tak banyak maklumat yang kita boleh dapati tentang penggusti muda ni, memandangkan macam yang kami kata tadi – sukan gusti kat Malaysia masih lagi tak berapa nak menonjol. Tapi kami ada jumpa satu laporan dari Berita Harian yang berkesempatan untuk berborak bersama Nor ‘Phoenix’.
Apa yang buat kami lebih tertarik dengan perwatakan Phoenix ni, rupa-rupanya dia seorang pemalu. Selepas dia menang pertandingan Malaysia Pro Wrestling – The Wrestleconi, ada wartawan yang pergi tengok sesi latihan dia bersama penggusti lain dari Persatuan Gusti Malaysia (MYPW) kat pusat latihan diorang kat Spacerubix Sentral, Puchong. Masa dia nak ditemubual, beberapa kali Phoenix minta untuk bertukar tempat yang jauh daripada orang ramai kerana segan jika didengar oleh orang lain. Mungkin inilah yang dikatakan dalam fizikal yang keras, ada kelembutan.
Dia kata – itu adalah diri dia yang sebenarnya. Dia sangat berbeza kat dalam gelanggang dan kat dalam kehidupan sebenar. Phoenix adalah seorang yang berani kat dalam gelanggang tapi kat dalam dunia yang sebenar, dia seorang pemalu.
“Kalau boleh saya mahu menjadikan gusti sebagai punca pendapatan sepenuh masa untuk saya tetapi banyak lagi yang perlu saya pelajari dan bersabar. Ini kerana kebanyakan ahli gusti yang hebat perlukan sekurang-kurangnya enam tahun ke atas baru boleh menampakkan kejayaan,” – Phoenix, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Sebenarnya dia bukanlah penggusti sepenuh masa, buat masa ni dia bekerja sebagai pembantu klinik kat sebuah hospital. Dia kata dia sedar yang dia tak begitu pandai dalam pelajaran, sebab tu dia nak ceburi bidang lain dan dia rasakan gusti adalah tempat yang dia boleh berlatih bersungguh-sungguh. Dia jugak nak dikenali dengan bakat yang ada sebagai ahli gusti dan bukan kerana jantina. Sebabnya itulah impian Phoenix.
Menitiskan air mata kat dalam gelanggang gusti kerana terpaksa bukak topengnya…
Macam adiwira dalam filem yang kita selalu tengok, ada sesetengah daripada diorang nak sembunyikan identiti untuk keselamatan diri dan keluarga. Dalam kes Phoenix ni, dia mesti ada sebab tersendiri untuk sembunyikan identiti. Phoenix mengakui yang dia menitiskan air mata apabila kali pertama membuka topengnya di hadapan penonton selepas dinasihatkan jurulatihnya, Ayez Shaukat Fonseka ketika bersaing pada International Three-Way Match kat Singapura pada 14 Disember tahun lalu.
“Bagi seseorang ahli gusti, topeng adalah sebahagian daripada kemegahan dan mereka juga menghormati keputusan yang saya lakukan. Kebetulan pula pertandingan di Singapura itu jatuh pada hari lahir saya dan pelbagai perkara yang bermain di fikiran saya sebelum membuka topeng itu,” – Phoenix, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian
Dengan ketinggian 1.55 meter dan berat 43 kilogram, anak keempat daripada lima adik beradik tu berkata dia terkejut dengan tumpuan media dan orang ramai yang mengenalinya. Tapi, macam biasalah, dia juga menerima kecaman serta cemuhan daripada ‘netizen’ tentang pemilihannya selaku gadis bertudung menyertai dunia gusti yang sinonim dengan kekasaran.
Dia turut kata yang ramai orang suka cakap gusti ni adalah menipu atau berlakon je. Tapi apa yang diorang tak tahu – ahli gusti seperti kami perlu lalui banyak hal dan latihan sebelum berjaya.
Semoga berjaya buat Phoenix dalam kerjaya sebagai penggusti
Sebenarnya daripada perkataan-perkataan yang ditutukan oleh Phoenix, banyak pengajaran yang korang boleh ambil. Pertama, Phonix sedar yang mungkin dia kurang cemerlang dalam akademik, oleh sebab tu dia nak berkecimpung kat bidang yang dia boleh lebih berjaya. Lepas tu, dia jugak tak nak dikenali ramai hanya semata-mata dia perempuan yang main sukan didominasi lelaki, dia nak diiktiraf kerana bakatnya. Kami kat ORANGKATA harap satu hari nanti dia akan lebih berjaya dan menjadi ikon gusti kat Malaysia!