Program untuk pelarian ni buktikan perempuan boleh main bola sepak

Barcelona kini sedang menggerakkan sebuah program di Lembah Bekaa, Lubnan dengan matlamat untuk meruntuhkan tembok persepsi serta mentaliti yang terbina sejak sekian lama.

“Budak-budak lelaki tidak dapat menerima idea untuk bermain bola sepak dengan budak perempuan. Saya sering berusaha membuktikan bahawa saya mampu mengubah imej stereotaip yang sering dikaitkan dengan pemain bola sepak wanita. Saya berusaha menubuhkan serta melatih sebuah pasukan dengan para pemain wanita dan satu lagi pasukan lelaki yang dilatih oleh seorang lelaki.

Kedua-duanya kemudian beraksi dan siapa yang menang akhirnya? Pasukan wanita. Inilah cara kami menyelesaikan masalah ini. Kami membuktikan kepada mereka bahawa budak perempuan juga boleh beraksi. Ini membolehkan mereka untuk mula menerima para pemain wanita.” – Karime Akrouche, Jurulatih FutbolNet.

Menggunakan platform bola sepak bagi membantu kehidupan anak-anak pelarian.

Ketegangan semakin memuncak di Lembah Bekaa. Dalam setiap 100 ela, pasti para pengunjung di sana akan menemui kemiskinan yang kian membelenggu penduduk di sana akibat perang di Syria. Tatkala pihak Barat menjadikan isu pelarian sebagai tajuk utama, di Timur Tengah lah krisis kemanusiaan sebenar ini berakar.

Dengan hanya 6 juta populasi rakyat Lubnan, sebanyak 500,000 merupakan pelarian Palestin dan 1 juta lagi adalah pelarian Syria. Ini adalah jumlah yang berdaftar. Bayangkan berapa ramai pelarian yang kian mendominasi sempadan Syria.

Via BenarNews

Pada kala ada yang melihat bola sepak adalah sesuatu yang tidak diperlukan, Karime Akrouche, rakyat Lubnan berusia 20 tahun bersama 7 lagi jurulatih bola sepak wanita yang masih muda, berusaha keras untuk menggunakan platform bola sepak bagi membantu kehidupan anak-anak pelarian.

Ini bukan cerita tentang mencari Lionel Messi Arab. Bukan juga sekadar program realiti mencari bakat. Ini adalah cerita tentang kuasa sosial bola sepak, dan kemampuannya untuk meruntuhkan tembok stereotaip yang dibina atas alasan adat dan budaya. Tatkala 50% kanak-kanak pelarian berusia 3 hingga 18 tahun tidak bersekolah, bola sepak hadir memberikan harapan.

Via FCBF

Projek ini melibatkan 1,300 kanak-kanak, 70% adalah pelarian

Yayasan Barca (The Barca Foundation) yang dimiliki oleh Barcelona FC, melaksanakan program yang digelar FutbolNet di lembah tersebut. Mereka melatih para jurulatih untuk memahami kurikulum berasaskan sukan, dengan kerjasama Cross Cultures Project Association sejak 2016. Projek ini melibatkan 1,300 kanak-kanak di 6 kawasan di lembah tersebut, di mana 70% daripada yang terlibat adalah pelarian.

Program ini dijalankan di beberapa negara: Kem pelarian (Skaramagas, Lesbos dan Mória di Greece); kawasan sekolah di bandar (Athens); pusat yang menghimpunkan anak-anak gelandangan (Sicily dan Calabria, Itali); dan Lembah Bekaa, Lubnan.

Selain itu, 6,000 kanak-kanak (75% rakyat Lubnan dan 25% Syria), menjalani program ini dalam sesi Pendidikan Jasmani di sekolah mereka. Pada peringkat awal, mereka mengalami masalah kerana ada ibu bapa anak-anak Syria yang tidak membenarkan anak mereka bermain dengan kanak-kanak dari negara lain.

Rasha Al Drsini, 33, melarikan diri daripada perang di Syria untuk ke Bekaa yang lebih selamat. Beliau yang memang meminati sukan, mengambil bahagian dalam program ini. Dengan menyertainya, beliau dapat melupakan penderitaannya dan mengurangkan tekanan menerusi aktiviti yang dijalankan.

Via FCBF

Hadil Taimi, anak kecil Lubnan berusia 12 tahun, menyatakan keselesaannya bermain bersama anak-anak Syria, yang dianggap mempunyai banyak persamaan dengannya. Fatima Taan, 13, dari Syria menambah, di tempat asalnya beliau tidak dibenarkan bermain bola kerana berhijab. Tetapi, kini beliau boleh beraksi di atas padang di bawah kendalian jurulatih wanita yang berwibawa.

Riham Rahul, 23 tahun, kini berkhdimat untuk tahun kedua bersama FutbolNet, percaya bahawa bola sepak adalah seni yang unik: ia baik untuk kesihatan badan; dapat mengurangkan rasa amarah; serta dapat dapat membantu diet kita.

Via Twitter

Kini, 40% daripada jurulatihnya adalah wanita, dan 30% daripada kanak-kanak yang menyertai program ini adalah budak perempuan. Jumlah ini adalah jauh lebih banyak berbanding kebanyakan negara di Barat.

Program untuk memberi didikan dan harapan kepada pelarian

Program ini bukan sahaja mendidik para pesertanya untuk saling menghormati, malah membantu anak-anak ini untuk mengurangkan rasa gentar setiap kali berdepan dengan pemain lain yang mempunyai fizikal lebih besar daripada mereka.

Nampaknya, bukan sahaja bola sepak dapat memberikan harapan baru kepada anak-anak pelarian, malah juga menghapuskan mentaliti bahawa kaum wanita hanya sesuai duduk di rumah dan memasak di dapur. Nyata, sukan kini bukan hanya penyatu, tapi pemberi harapan baru. Bersama kita membantu saudara kita yang terperangkap dalam konflik kemanusiaan di Syria, Palestin, Yaman dan di mana saja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *