Kalau takde angin, masakan pokok bergoyang… Begitulah ceritanya pasal tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau lebih ringkasnya, SOSMA. Diperkenalkan untuk ganti ISA di bawah pentadbiran Barisan Nasional pada 2012, banyak pihak tetap nak akta ni dimansuhkan kerana kesan dari salahguna kerajaan terdahulu atas kepentingan politik.
Walaupun secara undang-undangnya, SOSMA dan ISA ni berbeza sebab SOSMA ni bolehkan tahanan dibicara kat mahkamah, tapi ada satu benda yang sama: ia sebenarnya menganiaya dan memperlekeh proses kita nak dapat keadilan khususnya untuk tahanan serta keluarganya.
Kena tahan walaupun tak tau salah ke tak…
Kalau korang ditahan SOSMA, boleh jadi korang memang akan dipenjarakan. Inilah nasib Lans Koperal Mustaza Abdul Rahman yang dituduh bersekongkol dengan gerakan militan IS sejak 2016, ditahan. Keluarganya amat yakin bahawa anaknya, Mustafa Abdul Rahman tak terlibat dengan gerakan tu. Mustafa mengaku tak bersalah namun disebabkan tak dapat buktikan keraguan munasabah, dia dihukum penjara selama 12 tahun.
Sepanjang tempoh tahanan tu, banyak benda yang telah disaksikan oleh abangnya, Mahathir Abdul Rahman yang kini merupakan seorang aktivis Desak Sampai Mansuh (DSM). Katanya dalam sebuah keratan akhbar yang dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi mereka:
“Rata-rata tahanan terdiri daripada rakyat marhaen dan terpaksa mengaku bersalah kerana tidak mampu menampung kos peguam. Keluarga kami sendiri terpaksa perlu bayar sebanyak RM100,000 sehingga terpaksa meminjam daripada saudara-mara dan bergadai harta”- Mahathir Abdul Rahman, Pengerusi Desak Sampai Mansuh (DSM)
Selain dari tu, antara masalah utama SOSMA ni adalah takde istilah yang cukup terperinci untuk definisikan apa tu pengganas sebenarnya, dan dia berpendapat kalau nak buat hukuman berkaitan pengganas dan keganasan, undang-undang sedia ada dah cukup. Dia mengulas perkara ni dalam Wacana Sinar Harian Siri 136 dengan tajuk “SOSMA: Mansuh atau Kekal?”, dengan penekanan bahawa pemilikan barang yang boleh dikaitkan dengan pengganas tu perlulah dijelaskan dulu kepada orang ramai.
“Boleh jadi orang memang tak tau pun memiliki sesetengah barangan tu boleh kena SOSMA,”
Macam kes dulu libatkan seorang gadis bekas sarjana Universiti Malaya, Siti Noor Aishah yang didakwa miliki buku berkaitan ideologi militan Islam sedangkan dia dakwa itu untuk kajian semata-mata. Ye lah, dah namanya pelajar sarjana. Kami tengok dalam senarai buku yang dikatakan menjadi kesalahan sampai kena tahan bawah SOSMA, takde satu pun yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Polis dikatakan bertindak keras kerana nak pengakuan…
Tahun lalu, kita digemparkan dengan kes tahanan SOSMA yang mati dalam lokap, R. Gopal Krishnan yang baru berusia 21 tahun. Walaupun kematiannya disifatkan takde unsur jenayah oleh polis dan turut dikaitkan dengan penyakit, tunangnya pula mendakwa dia mati kerana dipukul dalam tahanan. Bukan setakat tu, seorang bapa bernama Mohammad Nordin bin Mohammad Noor terpaksa menahan perit bila laporan kekerasan polis terhadap anaknya, Muhd Syahir di bawah SOSMA tak diteruskan oleh Timbalan Pendakwa Raya.
Syahredzan Johan juga kata SOSMA ni tak adil sebab keterangan dan pembuktiannya boleh diragui, hampir sama dengan apa yang dinyatakan oleh Pengerusi DSM dalam Wacana Sinar Harian.
“Contohnya, menurut Seksyen 18A SOSMA, apa-apa pernyataan oleh seseorang tertuduh sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa hendaklah diterima (admissible) sebagai keterangan.
Maka, apa yang selalu terjadi dalam kes-kes melibatkan tahanan SOSMA adalah individu yang ditahan akan diberi tekanan untuk menandatangani suatu ‘pengakuan’ di bawah Seksyen 18A SOSMA, dan yang akan kemudiannya digunakan di Mahkamah. Kebolehterimaan ‘pengakuan’ ini tidak boleh dicabar kerana peruntukkan Seksyen 18A.”- Syahredzan Johan, Peguam dan Aktivis Hak Asasi Manusia, Astro Awani pada 30 Oktober 2019
Nafikan saja tak cukup, kena dahulukan keadilan…
Bila berita kekerasan polis ni muncul, nampak gigih jugalah Ketua Polis nafikan. Idea mansuh SOSMA pun dah sampai bertulis dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat dulu. Bahkan sampai sekarang, takde satu bisik pun kat Dewan Rakyat pasal SOSMA. Apakah ni pun sekadar pick up line nak undi je? Hmm… nyawa dan hidup orang biasa ni tak boleh buat main, pak menteri. Keadilan untuk rakyat terutamanya tahanan SOSMA yang betul-betul tak bersalah wajib diutamakan.