Keputusan mahkamah berkaitan perhimpunan aman

f1 min (22)

Keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan disifatkan satu kemenangan penting bagi rakyat Malaysia. Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, keputusan itu juga satu pengiktirafan bahawa undang-undang tersebut tidak seharusnya digunakan untuk mengekang suara rakyat atau menghukum mereka yang ingin menyatakan pendirian secara aman di ruang awam.

“Kes itu berpunca daripada cabaran undang-undang oleh aktivis Amir Abdul Hadi yang telah didakwa di bawah Seksyen 9(5) kerana didakwa gagal memberikan notis kepada pihak berkuasa sebelum menganjurkan protes terhadap isu kapal tempur pesisir (LCS) di hadapan Kompleks Sogo pada tahun 2022. Tahniah kami ucapkan kepada saudara Amir dan pasukan guamannya atas keberanian dan kecekalan mereka dalam memperjuangkan hak asasi rakyat Malaysia,” katanya

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Keputusan penting itu dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Bersih menegaskan bahawa kemenangan tersebut tidak seharusnya berakhir di mahkamah sahaja, sebaliknya mesti menjadi pemangkin kepada reformasi menyeluruh terhadap Akta Perhimpunan Aman.

“Undang-undang itu perlu dikaji semula dan dipinda agar ia benar-benar mencerminkan semangat Perlembagaan serta memenuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa,” ujarnya.

Tambah Bersih, lebih mustahak, proses pindaan tersebut mesti dilakukan dengan penglibatan menyeluruh dan bermakna daripada pemegang taruh seperti masyarakat sivil, pengamal undang-undang dan pihak berkepentingan lain. Menurutnya, penglibatan itu tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa pada saat akhir atau sekadar sebagai satu ritual ‘tanda semak’ yang tidak membawa sebarang makna substantif.

“Bersih berpandangan suara rakyat mesti didengar dan dihormati sejak awal proses perundangan dan bukan selepas segalanya telah diputuskan. Sering kali, keputusan rakyat untuk turun berhimpun disambut dengan gesaan supaya mereka menggunakan saluran betul,” ujarnya.

Menurut Bersih, perhimpunan aman bukan langkah terakhir ataupun ancaman, sebaliknya ekspresi langsung suara rakyat yang harus dihormati dan dilindungi dan bukannya disekat atau dipersoalkan kesahihannya. Justeru, Bersih menyeru Kerajaan Madani untuk membuktikan komitmen terhadap janji reformasi dengan memastikan bahawa pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman dilakukan secara telus, inklusif dan selari dengan semangat keputusan Mahkamah Persekutuan.

Ini kerana katanya, sebahagian daripada mereka yang kini berada di tampuk kuasa juga pernah merasai sendiri keperitan disekat daripada berhimpun dan ditekan kerana bersuara.

Kementerian Dalam Negeri akan perhalusi keputusan mahkamah

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

saifpppp
Saifuddin

Ia termasuk mempertimbangkan cadangan pindaan kepada peruntukan undang-undang yang terkesan, agar selari dengan kehendak Perlembagaan dan selaras dengan keputusan mahkamah tertinggi negara, kata menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kerajaan Madani akan terus memastikan keseimbangan antara kebebasan individu dan keperluan menjaga ketenteraman serta keselamatan awam. Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan setiap hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan dapat dilaksanakan dalam suasana yang aman, teratur dan bertanggungjawab,” katanya

Saifuddin berkata, kerajaan sentiasa menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan keluhuran Perlembagaan dengan memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman terus dipelihara. Sejak 2023, lebih 10,000 perhimpunan telah diadakan dan 98 peratus daripadanya berlangsung tanpa sebarang sekatan.

Pada 2024, angka itu meningkat kepada 99 peratus daripada lebih 7,000 perhimpunan menunjukkan rakyat Malaysia semakin matang dalam menggunakan hak untuk berhimpun secara aman dan bertanggungjawab.

Isu kebebasan berhimpun ini telah diberi perhatian serius oleh perdana menteri selaku peneraju utama agenda reformasi Kerajaan Madani apabila beliau t mengumumkan keputusan Kabinet untuk melaksanakan moratorium terhadap sebarang pendakwaan di Bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai langkah awal ke arah pembaharuan menyeluruh terhadap undang-undang berkaitan hak berhimpun.

Sejajar dengan komitmen tersebut, KDN juga akan membentangkan pindaan terhadap Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman dalam sidang Parlimen yang akan datang.

Nik Nazmi yang pernah didakwa di bawah akta ini nyatakan sokongan terhadap keputusan mahkamah

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berharap keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung perhimpunan aman menjadi titik tolak kepada semua pihak berkuasa dan institusi kerajaan untuk terus menghormati, melindungi dan memudah cara pelaksanaan hak asasi rakyat.

doc7qu0ithlhxl137tatjbi
Nik Nazmi

Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Setiawangsa berkenaan, beliau memandang positif kenyataan awal Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk melaksanakan pindaan terhadap Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman serta membawa cadangan pindaan kepada peruntukan undang-undang yang terkesan dalam sidang Parlimen akan datang.

Tambah beliau, ia juga menjadi peringatan penting bahawa undang-undang yang menindas suara rakyat harus dikaji semula dan dipinda agar sejajar dengan semangat reformasi dan prinsip hak asasi manusia.

“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua yang teguh memperjuangkan kebebasan berhimpun iaitu para peguam, aktivis, organisasi masyarakat sivil, dan wira-wira tidak didendang yang tidak pernah lelah menuntut keadilan. Kepada saudara Amir (Hadi), tahniah atas kemenangan ini. Ia adalah kemenangan anda, dan juga kemenangan untuk seluruh rakyat Malaysia. Kes ini membuktikan kepentingan institusi kehakiman yang bebas, dan ia tidak boleh diambil mudah sebagai salah tunjang negara demokrasi berParlimen seperti Malaysia,” katanya

Sementara itu, Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu juga bukan sahaja selaras dengan semangat Perlembagaan yang menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman, malah memperkukuh asas negara demokrasi yang sentiasa ditegakkan oleh rakyat Malaysia.

Malah, beliau turut mengimbas ketika pernah didakwa di bawah APA susulan penglibatan dalam penganjuran Himpunan Black 505, namun dilepas dan dibebaskan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 9(5) tidak berperlembagaan.

“Namun saya didakwa berkali-kali dan naik turun mahkamah. Akhirnya saya telah menang saman ke atas Kerajaan Malaysia dan Peguam Negara ketika itu, (Tan Sri) Abdul Gani Patail dan menerima ganti rugi RM230,000. Hanya kini— lebih sedekad kemudian — ketidakadilan itu akhirnya ditebus melalui penghakiman tertinggi negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *