Non Muslim ada pelbagai definisi, dan ia akan mengikut pengetahuan seseorang. Ada yang menggambarkan non Muslim itu sebagai tidak beragama Islam, dan ada memberikan gambaran bahawa mereka belum beragama Islam. Ada pulak yang katakan non Muslim itu wajib kafir, sedangkan dalam pihak lain pula menyatakan bahawa non Muslim tidak semestinya kafir. Bahkan terdapat non Muslim yang tidak kafir, dan ada kafir yang dari kalangan muslim.
Perkataan kafir, maksudnya tidak terhad kepada orang yang bukan Islam je
Persoalan lain juga timbul; bagaimana pula wujud non Muslim yang adil, tidak rasuah, melaksanakan amanah, baik dan sebagainya? Apakah mereka ini ke neraka, ataupun mereka ada harapan untuk ke syurga? Yang juga berbangkit soalan, muslim yang melakukan kejahatan sebanyak mana pun, tetap akhirnya ke syurga.
Dari sudut bahasa, kalimah kafir ini bermakna menutup (al-Satr). Dalam terminologi arab, Tukang kebun itu disebut sebagai “kafir” kerana, tukang keban itu menutup benih tumbuhan dengan tanah. Dalam aliran Sunni, kalimah Kafir dari sudut al-Quran dan Hadis pula dilihat pada dua maksud, iaitu al-Khuruj min al-Millah (keluar dari agama) dan al-Kufr Dun al-Kufr (kafir yang tidak terkeluar agama), atau disebut dalam bahasa mudah sebagai kufur nikmat.
Kebiasaannya, apabila disebut kufur, difahami bahawa ia adalah terkeluar dari Islam. Orang Hindu, Buddha, Kristian, aties dan sebagainya disebut sebagai kafir. Ini difahami dari al-Quran dan hadis dalam banyak ayat. Namun, mungkin agak baru dalam masyarakat Malaysia melihat makna kufur di sini merujuk kepada orang beragama Islam yang melakukan dosa besar. Ia disebut dalam istilah athar sahabat sebagai “al-Kufr Dun al-Kufr”.
Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menggunakan kalimah kufur yang merujuk kepada melakukan dosa besar, bukan bermaksud terkeluar dari agama.
Adakah benar semua orang kafir akan dimasukkan ke neraka?
Dalam al-Quran, Allah menyatakan konsep ahli syurga adalah menerima Islam setelah diberikan penjelasan yang jelas. Ini berdasarkan kepada Firman Allah dari surah al-Baqarah, ayat 111 dan 112. Dalam ayat 111, Allah menyatakan orang Yahudi dan Nasrani dakwa bahawa sesiapa pun tidak boleh masuk ke syurga kecuali mereka itu Yahudi dan Nasrani.
Allah nyatakan bahawa itu hanya andaian mereka sahaja. Bahkan, Allah mencabar mereka agar datang hujah, jika mereka yakin mereka kalangan yang benar. Dalam ayat ke 112 pula, Allah pun menjelaskan siapa yang sebenarnya masuk ke syurga, iaitu mereka yang “as-la-ma” dirinya kepada Allah dan melakukan muhsin (melakukan kebaikan, atau amal soleh), maka baginya balasan pahala di sisi tuhan, tanpa takut dan mereka tidak akan bersedih.
Dalam ayat 111, Allah jelaskan bahawa penentuan syurga itu bukan berasaskan kepada dakwaan mereka dari aliran apa, seperti Yahudi dan Nasrani dakwa bahawa mereka adalah sebenar-benar ahli syurga. Namun, dijelaskan dalam ayat ini bahawa syurga itu berasaskan kepada burhan, iaitu hujah yang mantap dan jelas. Lalu, pada ayat 112, Allah menjelaskan bahawa kalangan yang masuk syurga adalah kalangan yang “as-la-ma” dirinya kepada Allah.
Dalam kalangan ulama Islam memberikan beberapa penjelasan terhadap maksud tersebut. Al-Qurtubi menyatakan, maknanya adalah penyerahan diri dan tunduk. Dinukilkan juga makna lain adalah melakukan amalan secara ikhlas. Dalam Mafatih al-Ghaib, al-Razi menyatakan antara maksudnya adalah penyerahan diri disertakan dengan burhan (hujah yang kukuh).
Dari pemahaman ini, jelas bahawa yang dikatakan ahli syurga di sini adalah;
- Penjelasan ilmu berbentuk hujah yang kuat.
- Setelah penjelasan yang kuat, baru mereka menerimanya.
Dengan ada dua faktor ini, baru kalangan yang menolak itu disebut sebagai kafir dan masuk ke neraka. Namun, jika tidak ada penjelasan langsung, ataupun ada penjelasan tetapi tidak kukuh, atau memberikan penjelasan yang salah, ataupun orang Islam sendiri menampilkan watak yang tidak benar terhadap maksud Islam, maka penolakan itu tidak boleh dianggap sebagai kafir dan masuk neraka.
Manusia masuk ke dalam syurga kerana rahmat Allah, bukan semata-mata amalan
Pasti akan dibangkitkan berkenaan rahmat dan kasih sayang, bukan sikap menghakimi orang lain. Ada satu kisah – satu kelompok tawanan perang dibawa berjumpa dengan nabi saw. Dalam ramai-ramai tawanan perang itu, ada seorang ibu sedang menyusukan anaknya. Lalu, ada seorang anak kecil yang menangis, ibu tersebut ambil budak terbabit. Melihat keadaan itu, Baginda saw bertanya kepada sahabat, apakah ibu ini sanggup campakkan anaknya ke dalam api? Sahabat menjawab, ibu ini tidak akan sanggup campak anaknya ke dalam api.
Lalu Nabi saw terus berkata, “Sesungguhnya Allah lebih sayangkan hambaNya lebih dari ibu ini sayangkan anaknya.”
Begitu juga dengan hadis bahawa Nabi saw berbual dengan Aisyah. Nabi saw menyatakan satu perkara penting, iaitu Nabi saw kata kepada Aisyah, bahawa seseorang itu tidak boleh masuk ke syurga dengan semata-mata amalannya. Lalu, Aisyah bertanya kepada Nabi, “walaupun kamu, wahai Rasulullah?” Jawab nabi saw bahawa termasuk juga Nabi, kecuali Allah memberikan keampunan dan rahmat.
Dengan ini, jelas bahawa soal selamat di akhirat dengan masuk ke syurga berasaskan kepada rahmat dari Allah, bukan disebabkan amalan yang dilakukan seseorang muslim itu. Namun, mungkin ada yang bangkitkan persoalan. Kalau begitu, maka tidak perlulah masuk Islam, tidak perlulah beramal?
Jawapannya, macam kita bekerja di sesuatu majikan. Kita tidak akan diberi gaji tidak bekerja. Namun begitu, jika tanpa kerja, majikan nak bagi gaji juga, ia tidak pelik bagi majikan. Tetapi, majikan mana hendak bagi gaji kepada pekerja yang tidak bekerja?
Maka begitulah dalam isu masuk ke syurga. Memang boleh masuk syurga tanpa amal, apabila tuhan memberikan kasih sayangNya. Namun, amalan yang dilakukan ini adalah cara untuk membuktikan kejujuran dan sayang kita kepada tuhan. Ini kerana, sifat jujur dan sayang mesti ada komitmen. Komitmen itu berbentuk amalan.
Soal syurga dan neraka ni, bukan urusan kita. Oleh sebab tu, jangan nak memandai-mandai
Dalam al-Quran (Surah al-A’raf, ayat 156), Allah ada menyatakan bahawa rahmat Allah mengatasi segala-galanya. Soal syurga dan neraka, ia adalah soal ketentuan Tuhan. Namun, tugas kita sebagai manusia adalah menyeru kepada kebaikan. Perkara ini ditekan sendiri oleh al-Quran, bahawa tugas Muhammad saw adalah menyampaikan, sedangkan penentuan hidayah adalah Allah swt.
Artikel ini diambil dari artikel yang dikarang oleh ustaz Wan Ji bin Wan Hussin yang merupakan Pengarah Akademik SAUDARA. Dia menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir (Ijazah Syariah Islamiyyah) dan memperolehi Sarjana Sastera di Universiti Malaysia Kelantan (kajian Maqasid Syariah). Beberapa kandungan dalam artikel ini telah disunting oleh pasukan editorial ORANGKATA. Untuk penjelasan yang lebih lengkap, sila rujuk artikel asal.