Covid-19 dan pekerjaan, masih ramai majikan yang dikatakan “sambil lewa” kebajikan pekerja

F1

Dalam pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), salah satu inisiatif kerajaan untuk memacu semula ekonomi termasuklah pasaran dan industri kerja di Malaysia adalah dengan tubuhkan Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional. Ketika penulisan artikel ni, takde lagi sebarang pengumuman lanjut mengenainya.

Tapi kami terpanggil jugak nak kupas benda ni, sebab dengan norma baharu dan trend pekerjaan semasa… banyak benda yang kita kena ubah dan ambil kira. Sudah pasti keperluan majikan dan pihak atasan tu haruslah dipenuhi. Namun janganlah sampai mengeksploitasi tenaga muda pulak.

Hire Me Pls
Via My Two Cents

Program Subsidi Upah dah baik secara teori, kena wajibkan tunjuk bukti dari pihak majikan jugak

Program ni dah baik dah secara teorinya. Kami kata secara teori, sebab “dalam kertas” ni tak sama dengan “dalam realiti”. Lagipun program ni bukanlah perkara baharu dah, kerana sudahpun diperkenalkan dalam pakej PRIHATIN dulu.

Subsidi Upah 3 Bulan
Via Soyacincau

Di bawah PENJANA, program tersebut diperluaskan lagi dengan peruntukkan sebanyak RM5 bilion. Menurut BERNAMA, subsidi upah itu ditetapkan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja bagi setiap syarikat.

Walau bagaimanapun, banyak aduan dan keluhan yang terpapar di media sosial membuktikan bahawa segelintir majikan tak kisah pun pasal bantuan tersebut.

Tweet Penjana Majikan Subsidi Upah
Via Ohmedia

Ada yang kata majikan suruh pekerja uruskan sendiri lah, ada jugak yang kata majikan lebih suka suruh pekerja setuju dengan cuti tanpa gaji (unpaid leave), ada jugak majikan yang potong gaji je terus. Ada jugak yang kata majikan ambil subsidi tu, tapi tak bagi gaji atau dahpun berhentikan pekerja.

Ni suatu yang agak merunsingkan, kerana terlihat takde ketelusan dari segelintir pihak majikan untuk memanfaatkan program tersebut serta menumpukan kebajikan pekerja mereka. Kami rasa perkara ni harus diperhatikan kerajaan lepas ni kalau betul-betul nak tumpukan perhatian pada kebajikan pekerja.

Peluang pekerjaan banyak bergantung dengan tenaga asing, bukannya salah graduan dan belia Malaysia

Satu pandangan popular yang selalu dimainkan oleh ahli-ahli politik kita dulu adalah kita bergantung pada tenaga asing kerana rakyat Malaysia tak suka kerja 3D (dangerous, difficult, dirty). Pandangan ni malangnya, menyusup masuk kat pemikiran generasi lama sampaikan belia generasi muda dikritik bertalu-talu kerana “terlalu memilih”.

Keratan Akhbar Graduan Pilih Kerja
Apa taknya orang pun percaya bulat-bulat kenyataan tersebut.. Via Maukerja.my

Pandangan ni jugak pernah dibangkitkan dan digunakan sekali lagi oleh Tun Dr. Mahathir sendiri, dia kata sikap kita yang kena berubah. Tak jauh beza pun dengan pandangan tersebut ketika UMNO-BN memerintah dulu.

“Kita mempunyai kadar pengangguran sekitar 3.1 peratus bukan disebab ketiadaan pekerjaan tetapi memilih pekerjaan kerana kebanyakan mentaliti rakyat tidak mahu bekerja dalam tiga perkara ini iaitu kotor, bahaya dan sukar,”- Datuk Lokman Noor Adam, mantan Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan Malaysia (KKM), seperti dilaporkan Utusan Borneo pada 6 Mei 2017

Hal ni banyak dibidas oleh ramai pihak, termasuk dari platform media sendiri berkaitan dengan “sikap” ni. Kami jugak berpendapat bahawa pandangan ni adalah pandangan malas yang nak menangkan sesetengah pihak je supaya para pekerja terima gaji rendah walaupun tak sejajar dengan kos hidup yang ditanggung.

Skill Kemahiran Terlalu Memilih Graduan
Via Maukerja.my

Ramai je rakyat kita yang keluar bekerja di luar negara khususnya kat Singapura dalam sektor 3D ni. Apabila ditanya faktor pendorong mereka untuk berbuat demikian, mereka selalu menjawab tentang gaji. Kini ketika negara ingin merangka pemulihan semula ekonomi pasca COVID-19 ni, bukan mudah nak harapkan generasi muda ambil alih sektor 3D tanpa perubahan dari segi budaya kerja, keselamatan dan kadar upah yang wajar.

Tak kurang jugak ada pandangan yang kata orang Malaysia ni malas. Produktiviti rendah. Jadi mereka kata gaji kena rendah. Haa… ni satu lagi mitos yang sudah terbongkar, kerana kita sebenarnya mengalami masalah “terlebih kerja” hingga menggugat masa berkualiti untuk hidup sejahtera.

Pekerja Malaysia Produktiviti
Dah lama Bank Negara buktikan gaji kita rendah sangat.. -Via SiakapKeli

Generasi muda senang adaptasi diri dengan teknologi, bersediakah majikan dan kerajaan ubah paradigma kerja baharu?

Dengan perubahan zaman ke arah revolusi digital ni, kemahiran teknologi boleh dianggap sebagai kemahiran yang wajib sekarang. Jadi secara umumnya, dah tak susah sangat pun kalau generasi muda nak belajar kemahiran-kemahiran lain dalam bidang teknologi dan digital. Namun bagaimana pulak dengan majikan dan kerajaan?

Ni lagi satu hal yang harus diteliti jugak. Kami jumpa ‘nasihat’ yang sama je tentang keperluan generasi muda untuk memahirkan diri dalam kemahiran teknologi. Berikut antaranya:

“Kita perlu ada satu nilai tambah, kemahiran baharu dalam kalangan rakyat sendiri dan di sinilah peranan teknologi. Paling penting, generasi muda perlu membentuk minat dan kemahiran itu sendiri…”- Prof. Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), seperti yang dilaporkan Berita Harian pada 6 Jun 2020

Via Giphy

Nilai tambah ni sememangnya penting dalam zaman kini, namun begitu generasi milenial dilihat lebih bersedia menelusuri budaya kerja ketika norma baharu. Selain tu, mereka jugak lebih banyak menceburi ekonomi gig dan terlibat dalam keusahawanan digital. Kedua-duanya bukanlah ‘stabil’ sangat dari segi jaminan upah.

Namun begitu, kerajaan dan majikan sendiri tak banyak insentif mahupun inisiatif untuk memanfaatkan bakat dan kelebihan yang ada dalam kalangan generasi muda yang cepat beradaptasi dengan teknologi. Nilai tambah ni jugak seharusnya mewajarkan tuntutan gaji yang setimpal.

Kadangkala generasi muda pun kecewa dengan syarat, keperluan yang pelbagai namun hanya diberikan gaji yang kurang setimpal dan budaya kerja yang kurang memuaskan. Bila disuarakan hal ni, dicop pulak sebagai “generasi manja” sedangkan paradigma zaman dah jauh berubah.

Kalau nak sangat generasi muda ‘mencari’ sendiri nilai tambah ni, apa kata kerajaan pun sediakanlah infrastruktur yang membolehkan generasi muda ni menimba pengetahuan seperti inisiatif e-pembelajaran percuma. Ni adalah satu contoh yang amat baik, kerana ada peluang untuk sesiapa je tambah kemahiran dan dapat sijil.

Ni masa terbaik untuk rangka, ubah budaya kerja sesuai dengan tuntutan dan peredaran zaman

Kami harap kerajaan dan majikan dapat memberi pertimbangan serta ruang perbincangan dan tindakan dua hala untuk bersama-sama membina industri kerja yang sihat. Sebagaimana wujud platform untuk suarakan keluhan, luahan dan tuntutan majikan; seperti itulah kami nak kerajaan dan majikan memberi peluang tersebut kepada graduan dan pekerja muda yang berbakat.

Via Giphy

Selain tu, banyak lagi isu pekerjaan yang harus diselesaikan kerajaan. Kami lihat banyak saranan kerajaan yang nampak baik untuk pekerja tak diambil pusing oleh segelintir majikan. Oleh ni, besarlah harapan generasi muda agar kerajaan dapat bertindak tegas terhadap majikan seperti ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published.