Apabila berbicara tentang kematian, sudah tentu ia akan mendatangkan kegerunan dalam hati kita. Lebih-lebih lagi kalau korang kaki enjoy, mesti akan rasa seram sebab khuatir tak dapat jawab soalan-soalan yang bakal diberikan kat alam kubur. Kalaulah kita tahu bila kita akan mati, dah tentu kita akan enjoy gila-gila. Nanti dekat-dekat nak mati, beribadahlah banyak-banyak. Itulah antara hikmah tuhan merahsiakan umur seseorang. Bukan benda barulah – ada member yang baru je lepak sama-sama, tiba-tiba ada berita yang dia dah meninggal dunia. Misterikan hal-hal kematian ni?
Mati dalam keadaan husnul khatimah, kematian yang didambakan setiap insan…
Bagi yang mungkin baru dengar istilah ni, kematian husnul khatimah membawa maksud kematian yang penyudahnya baik atau kesudahan yang terbaik. Dipendekkan cerita, mati dalam keadaan berimanlah. Ada jugak istilah yang dipanggil suul khatimah iaitu kematian yang menakutkan dan menggerunkan. Keadaan kematian suul khatimah maksudnya seseorang itu mati di dalam keadaan mereka tidak bersedia kembali menemui Allah. Nak dipendekkan cerita juga – mati dalam keadaan tak beriman.
Oleh sebab kita tak tahu mati ni bila nak mai, selalunya ada juga orang yang mati dalam keadaan mengejut. Siap ada hadis lagi pasal benda ni.
Daripada Aisyah, beliau berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan kematian mengejut. Lalu Baginda bersabda maksudnya: “(Mati mengejut) adalah suatu kesenangan bagi seorang Mukmin dan penyesalan bagi orang derhaka.” – (Riwayat Imam Ahmad – 25556)
Lepas tu, ada jugak hadis yang kata; kalau Allah sayang pada seseorang tu – Dia akan memberikan hidayah dan menunjukkan jalan yang benar apabila ajal dah dekat nak sampai. Maksudnya, makin dekat ajal dia, makin kuatlah dia beribadah. Harap-harap kita macam ni lah. Sebab siapa yang tak nak mati dalam keadaan yang baik kan?
Rasulullah SAW bersabda: “ Jika Allah menyintai seseorang itu, Dia akan memberikan penghormatan baginya” . Lalu apabila ditanya oleh para sahabat bagaimanakah penghormatan yang diberikan itu? Rasulullah menjawab, Allah akan memimpin seseorang itu untuk melakukan amal soleh ketika mana dia sedang mendekati ajalnya sehingga para jiran tetangganya akan meredhainya. – (Riwayat Amru bin Abdul A’s).
Semalam media sosial kecoh kerana kematian seorang khatib ketika memberi Khutbah Jumaat
Khatib Masjid Al-Bukhary, Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim, 68 tahun, dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat semalam. Eksekutif Kanan Masjid Al Bukhary, Abdul Rahman Yaacob, 42 tahun, ketika ditemui Sinar Harian berkata, Allahyarham tiba-tiba rebah dan kejadian itu dirakamkan oleh beberapa jemaah.
Dia kata, jemaah masjid yang merupakan doktor kemudiannya membantu Allahyarham yang pengsan sebelum dibawa dengan ambulans ke hospital. Bagaimanapun, Allahyarham yang merupakan Timbalan Pengerusi 1 Masjid Al-Bukhary disahkan telah meninggal dunia. Dia turut menambah, sesungguhnya, kematian Ustaz Ku Yaacob amat dicemburui memandangkan Allahyarham seorang yang sangat baik.
Abdul Rahman kata, Allahyarham juga amat komited dalam melaksanakan tugas dan tidak pernah meninggikan suara apabila berbicara. Hati pula terasa tenang apabila berdampingan dengan arwah kerana tutur katanya yang lemah lembut, tersusun dan berbudi perketi. Menurut, Allahyarham yang merupakan bekas guru agama di sebuah sekolah sering memberi tazkirah sebelum solat Zohor pada hari Isnin dan Sabtu, selain membaca khutbah Jumaat.
https://www.youtube.com/watch?v=v83BPsZ2VmE
Dia bersama Allahyarham Ustaz Ku Yaacob turut berbincang mengenai latihan protokol sebelum membaca khutbah apabila Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin akan menunaikan solat Jumaat di masjid itu sebelum Syawal lalu. Menurutnya, Allahyarham dilihat amat tekun mempelajari protokol itu dan tidak menolak untuk melakukan bacaan khutbah terbabit.
Bagaimana pulak agaknya pengakhiran hidup kita?
Saja je kami bagi artikel yang berbentuk tazkirah, sebabnya Ramadan pun dah habis, syaitan-syaitan pun dah banyak yang kembali untuk bekerja seperti biasa. Kami takdelah nak korang terus jadi ustaz atau kuat beragama lepas baca artikel ni, mengarut tu. Cuma kami nak ingatkan, dalam kita tengah bersuka-ria, ingat jugak ye, bila-bila masa kita boleh mati.