Novel sains fiksyen ulung antarabangsa ada senjata macam KERIS Melayu?

Ramai yang minat dengan novel, dan antara novel fiksyen sains yang dianggap terbaik adalah Dune yang terbit pada 1965 dan menjadi novel pertama Saga Dune. Novel ni ditulis oleh Frank Herbert. Pengarah John Harrison, yang mengadaptasi novel ini menjadi siri di televisyen pada tahun 2000, menyifatkan novel ini bersifat sejagat dan renungan kepada “keadaan manusia dan dilema moral”, bukan fiksyen sains.

Penulis fiksyen sains Britain, Arthur C. Clarke menyatakan hanya novel Lord of the Rings boleh menyaingi Dune.

Novel ni telah memenangi Anugerah Nebula dan Anugerah Hugo yang menjadi rebutan novel-novel fiksyen sains

Dune yang berlatarbelakangkan masa hadapan di mana dunia merupakan masyarakat melibatkan pelbagai planet yang bersifat feudal – keluarga-keluarga bangsawan kuasi planet-planet tertentu. Watak utama adalah Paul Atreides, yang mana keluarga mereka ditugaskan menjaga planet Arrakis yang seperti padang pasir. Tetapi ia juga satu-satunya sumber ‘melange’, rempah-ratus yang memanjangkan umur dan meningkatkan kebolehan mental. ‘Dadah’ ini adalah kemestian untuk perjalanan antara planet.

Frank Herbert menggabungkan isu-isu alam sekitar, empayar yang berada di penghujung hayat, isu gender, politik minyak Timur Tengah dan falsafah Zen Buddha – sama seperti minat Tolkien di dalam bahasa Zaman Pertengahan menjadi inspirasi buku Lord of the Rings.

Bukan dadah macam ni. Via KOSMO

Salah satu perkara menarik, adalah senjata pilihan puak Fremen yang menjadi orang asal planet Arrakis adalah Crysknife yang berbentuk bengkok. Senjata ini berasaskan keris Melayu. Jika keris Melayu tak dibenarkan dikeluarkan dari sarung kecuali kerana ada hajat, Crysknife hanya boleh keluar dari sarung sekiranya ia akan mendapat darah. Semasa Stilgar, naib (Ketua) Fremen dilantik, beliau kena cium Crysknife seperti upacara Raja-Raja Melayu.

Senjata biasa di dalam Dune, Lasgun mahupun perisai tak boleh diguna di Arrakis, maka Crysknife memainkan perana penting. Banyak perkataan dalam Dune diambil dari bahasa Arab, Parsi dan Yahudi. Bahasa Fremen misalnya mengandungi perkataan jihad, Mahdi dan Shaitan.

Macam ni kot Crysknife. Via Twitter

Buku the Sabres of Paradise (1960) yang ditulis oleh Lesley Blanch adalah antara inspirasi kepada Dune. Buku ini menceritakan sejarah jihad Islam menentang penjajahan Rusia di Kaukasus.

Sabres of Paradise menceritakan kehidupan Imam Shamil Daghestan, antara rakan Amir Abdul Qadir al Jazairi yang pernah ORANGKATA tulis dulu. Imam Shamil digelar Singa Daghestan.

Watak jahat utama Dune mempunyai nama ala Rusia

Apa nama ala Rusia tu? Baron Vladimir Harkonnen. Begitu juga, istilah yang digunakan oleh Imam Shamil terhadap Tsar Rusia, Padishah dan gabenornya, Siridar juga digunakan di dalam novel Dune.

Malah bendera House of Atreides adalah hijau dan hitam – hijau melambangkan Islam dan hitam adalah warna para murid (pengikut tarikat) Imam Shamil yang berjihad bersamanya. Imam Shamil merupakan Imam Daghestan dan seorang syeikh tarikat Naqsyabandi.

https://www.youtube.com/watch?v=d0vNffArN5Q

Dalam satu peperangan pada tahun 1839, beliau tewas dan banyak pemimpin Daghestan dan Chechnya menyatakan kesetiaan mereka kepada Tsar. Beliau meninggalkan Daghestan untuk ke Chechnya, dalam apa yang diibaratkan sebagai taktik sama seperti hijrah Rasulullah s.a.w.

Kekuatan Imam Shamil ini terletak pada karisma, sifat warak dan keadilan dia dalam melaksanakan syariah. Taktiknya berkesan menggunakan pendekatan perang gerila. Dia pernah bekerjasama dengan Hadji Murad – watak utama dalam novel Leo Tolstoy.

Akhirnya, harapan Imam Shamil untuk menghalau Rusia dari Kaukasus tak tercapai apabila Turki Uthmaniyyah, Britain dan Perancis tidak memberikan bantuan. Dia menyerah kalah pada 1859.

Bukan senang nak perang, kena banyak baca. Via Giphy

Meninggal dunia di Madinah selepas menunaikan haji

Imam Shamil dihantar ke Saint Petersburg untuk bertemu secara langsung dengan Tsar. Pada 1869, dia dibenarkan menunaikan ibadah haji, dan dia ke Istanbul bertemu Sultan Abdulaziz. Kemudian, dia menaiki kapal sama dengan Amir Abdul Qadir. Dia meninggal dunia di Madinah selepas menunaikan haji.

Dia mempunyai beberapa orang isteri termasuk seorang berketurunan Rusia dan Armenia Anna Ivanovna Ulykhanova. Dia memeluk Islam dan kemudian berpindah ke Empayar Uthmaniyyah dan dibayar pencen oleh Kerajaan Uthmaniyyah. Dua anak lelaki sulungnya terus tinggal di Rusia, menjadi pegawai tentera Rusia. Dua anak lelaki kecilnya pula berkhidmat di dalam tentera Turki Uthmaniyyah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *