Rupanya ada indeks untuk tentukan ke-Islaman sesebuah negara

Kata-kata seperti; ‘pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tiada orang Muslim; kembali ke Timur melihat orang Muslim, tetapi tiada Islam’ diucapkan oleh seorang tokoh pembaharu Islam di Mesir pada abad ke-19. Dalam abad ini, kata-kata ni masih relevan seperti boleh dilihat dalam Laporan Indeks Islamicity bagi tahun 2018.

Negara kita, Malaysia menduduki tangga ke 47 daripada 153 negara. Seperti kata-kata di atas, negara yang menduduki tangga ke atas ialah negara bukan Islam iaitu New Zealand. Lebih mengejutkan, negara Islam yang tertinggi hanya berada di kedudukan ke 45 iaitu United Arab Emirates.

Macam ni kot graf indeks yang dikaji ni. Via giphy

Apa benda sebenarnya Indeks Islamicity ni?Ada orang Malaysia yang terlibat tak?

Indeks Islamicity diasaskan oleh Hossein Askari, Hossein Mohammadkhan, Mostafa Ami, dan seorang warga Malaysia, Liza Mydin. Pengasas utama, Hossein Askari lahir di Iran dan kemudiannya berpindah ke United Kingdom dan seterusnya, United States. Di sana, beliau menamatkan pembelajaran Sarjana Muda dalam kejuruteraan dan Doktor Falsafah (Phd) dalam Ekonomi di Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Beliau telah menulis 29 buah buku dan lebih seratus artikel dalam isu pembangunan ekonomi di Timur Tengah, ekonomi dan kewangan islam, perdagangan antarabangsa, ekonomi pertanian, ekonomi minyak dan isu sekatan ekonomi. Sekarang beliau mengajar di George Washington University, US.

Via MWN

Hossein Mohammadkhan pula adalah pakar kajian dalam bidang sosio-ekonomi, kemajuan perniagaan dan kewangan. Wakil Malaysia dalam mengasas Islamicity, Liza Mydin pula pemegang Phd dari International Centre for Education in Islamic Finance dan kini sedang bertugas di Maybank sebagai Ketua Penyelidik. Sekarang, Islamicity ditadbir dibawah Yayasan Islamicity (Islamicity Foundation) dibantu oleh wakil-wakil di hampir semua negara Islam seluruh dunia.

Antara warga Malaysia lain yang terlibat dalam projek ini ialah Dr. Jomo Kwame Sundaram, Ahli Majlis Penasihat Kerajaan. Beliau bertindak sebagai ahli penasihat yayasan untuk memastikan indeks Islamicity mencapai misinya.

via pixabay

Diasaskan kerana pengasanya fikir umat Islam dah semakin jauh daripada ajaran Islam yang sebenar

Idea untuk melakukan indeks ini bermula apabila empat pengasasnya rasa ajaran Nabi Muhammad SAW semakin terpinggir di dalam perbincangan umum. Lagi-lagi apabila orang agama berkepentingan, ahli politik, institusi, organisasi dan individu tertentu sahaja yang sering membentuk perbincangan agama sehingga kadang-kadang terbatas menjadi debat Muslim vs Muslim, Muslim vs Kristian, dan Muslim vs Yahudi. Kerangka seperti ini hanya akan menyebabkan perpecahan berbanding perpaduan.

Sepatutnya ilmu yang diturunkan oleh Rasulullah SAW yang berpandukan Quran terutamanya dan Hadis perlu menjadi ‘benchmark’ untuk panduan institusi kenegaraan yang berkesan, bukannya ajaran geng-geng berkepentingan seperti yang disebut di atas. Jadi, misi utamanya adalah untuk memberi pemahaman kepada orang bukan Islam terhadap fungsi institusi kenegaraan mengikut ajaran Rasulullah.

Via WSJ

Indikator yang dikaji oleh indeks ini bertujuan untuk mengukur prestasi Perdana Menteri/Presiden, kerajaan, dan rakyat keseluruhan sama ada mereka mengikut ajaran kenegaraan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Indeks ni juga mengambil kira beberapa prinsip ekonomi asas termasuklah pendidikan, peluang ekonomi, peluang ekonomi sama rata dalam pekerjaan, pengurangan kemiskinan, pencegahan kemiskinan dan kemajuan sosial dan intelek dalam komuniti.

Nampaknya negara bukan Islam, lebih ‘Islam’ kerana mengikuti nilai-nilai Islam

via wikimedia

Indeks Islamicity terbahagi kepada lima iaitu Indeks Ekonomi, Indeks Undang-Undang dan Tadbir Urus, Indeks Hak Asasi Manusia dan Politik, Indeks Hubungan Antarabangsa dan Indeks Keseluruhan.

Bagi Indeks Keseluruhan, New Zealand terus menjadi negara yang menjuarai carta indeks tiga tahun berturut-turut (2018-2018) dengan 9.20 mata daripada 10 . Walaupun hanya menduduki tangga ke-2 bagi Ekonomi, ke-4 bagi Undang-Undang dan Tadbir Urus, ke-5 bagi Hak Asasi Manusia, dan ke-7 bagi Hubungan Antarabangsa, secara purata sudah cukup untuk New Zealand meninggalkan tempat kedua, Sweden dengan 0.22 mata.

Via iChef

Sejak 2015, tangga 10 ke atas terus dijuarai oleh negara Mat Saleh dimana rata-rata dari Eropah. Kedudukan negara-negara berpendapatan tinggi di atas Indeks Islamicity – pendapatan per kapita New Zealand ialah $41,000 dan Sweden ialah $53,000 – membuktikan ke-Islaman sesebuah negara jika mengikut Al-Quran tidak menghalang negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Wakil Asia Tenggara, Singapura mendapat tempat pertama bagi Asia pada tahun 2015 dengan 7.82 mata. Negara matahari terbit, Jepun kemudiannya mengungguli carta negara Asia dari tahun 2016 ke 2018 dan berada di tangga ke-15 keseluruhan pada tahun 2018 (8.13 mata), kedudukan terbaik negara Asia di carta keseluruhan. Selepas Jepun dan Singapura, Hong Kong di tangga ke-26 keseluruhan dengan 7.54 mata. Kemudian Korea Selatan di tangga ke-31 (7.20 mata) dan UAE (ke-45, 6.18 mata).

Negara-negara Asia yang berada di carta atas juga rata-rata negara yang mempunyai ekonomi yang memberangsangkan.

Macam mana pulak dengan Malaysia? Kita tak cukup Islam ke?

via MalayMail

Dalam indeks keseluruhan terbaru tahun 2018, Malaysia berada di kedudukan ke-47 dengan 6.02 mata. Bagi kategori negara Asia, Malaysia di kedudukan ke-6. Manakala bagi negara Islam pula Malaysia di kedudukan ke-3 hanya di belakang UAE dan Albania yang berada di kedudukan 45 dan 46.

Walaupun kelihatannya kedudukan Malaysia kelihatan agak baik kerana kita berada di tangga 50 teratas, markah Malaysia sebenarnya menurun sejak tahun 2016 di mana Malaysia skor 6.40 dan berada di kedudukan ke-41. Ini juga meletakkan Malaysia di tangga teratas di antara semua negara Islam. Daripada data ini, boleh dikatakan tahap keislaman negara kita telah menurun sejak tahun 2016 walaupun terdapat sedikit peningkatan dari tahun 2015 ke 2016.

Via Tanwir

Bagi keempat-empat sub-indeks diatas, Indeks Hak Asasi Manusia adalah indeks yang tercorot untuk Malaysia. Dalam indeks ini, Malaysia mendapat markah yang lebih rendah berbanding negara membangun lain termasuklah Filipina, Afrika Selatan dan juga Bosnia Herzegovina. Namun, negara-negara Islam secara keseluruhan memang mendapat markah rendah bagi Hak Asasi Manusia di mana Malaysia di ranking ke-4 jika kita ambil kira negara Islam sahaja. Maknanya, cara kita menjaga hak asasi di Malaysia tidak mengikut cara yang disuruh dalam Al-Quran dan Hadis.

Nampaknya indeks ni dikuasai oleh negara bukan Islam, tapi ada juga kritikan indeks ni

Kesemua negara di tangga ke-44 teratas terdiri daripada negara bukan Islam. Jika dilihat jadual ini dari bawah pula, 23 daripada 50 negara yang terbawah di dalam Indeks Keseluruhan juga terdiri daripada negara Islam sahaja. Memandangkan ini adalah indeks untuk mengukur keislaman negara, keputusan yang menunjukkan negara Islam lebih memenuhi  di bahagian bawah jadual dan bukannya di atas adalah sangat mengejutkan.

United Arab Emirates (UAE) adalah negara Islam yang paling atas di tangga ke-45 dengan 6.18 mata. Albania di tangga ke 46 dengan 6.04 mata dan diikuti oleh Malaysia (6.02) dan Qatar (6.01). Tiga negara di tangga tercorot bagi indeks keseluruhan juga adalah negara Islam iaitu Chad (1.69), Sudan (1.25) dan Yemen (0.97). Apakah ini bermaksud negara Islam rata-rata hanya pada nama tetapi tidak pada tindakan yang dilakukan?

Secara keseluruhan, indeks in menunjukkan negara-negara Islam hampir kesemuanya hanya melabel diri mereka sebagai “Islam” tetapi tidak mengikut ajaran yang disuruh di dalam Al Quran dan Hadis. Prinsip-prinsip Islam yang utama seperti keadilan, pembangunan lestari, pengurusan kekayaan, pekerjaan, ekonomi Islam, dan kewangan Islam lebih dapat dilihat di negara-negara bukan Islam berbanding negara yang melabel diri mereka sebagai Islam.

via flickr

Walaubagaimanapun, indeks ini tidak lari dari kritikan. Pengkritik mengatakan Indeks ini terlalu euro-centric kerana indeks ini tidak mengambil kira tahap ke-Islaman melalui perkara ibadah seperti solat lima waktu, berpuasa, menunaikan haji dan zakat. Indeks ini juga tidak menolak riba dalam analisis ekonominya menyebabkan perbuatan riba di hampir semua negara bukan Islam tidak diambil kira sebagai perkara yang tidak Islamik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *