Teringin nak ucapkan selamat Hari Krismas pada member? Ikut panduan ini…

F1

Setiap Malaysia dikunjungi perayaan Krismas, pasti akan berlaku perdebatan hangat kat media sosial berkenaan hukuman ucapan Hari Krismas. Hari ini kami bawakan pandangan dari Pejabat Mufti Wilayah, sebab bagi kami pandangan daripada ofisnya yang sesuai dengan Malaysia.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penganut Kristian kat Malaysia adalah ketiga terbesar – mencapai 9.2% daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Ia meliputi beberapa aliran dalam Kristian di Malaysia; Roman Catholic, Protestant, Anglican, Baptist, gereja-gereja tanpa aliran khusus, gereja-gereja Karismatik, Lutheran, Methodist, Presbyterian dan Brethren.

S1
Via KLxpress

Apabila kita tengok benda ni, keberadaan dan hak diorang untuk hidup bersama-sama sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia perlu diraikan dengan sewajarnya.

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Surah al-Hujurat: 13)

Pandangan pertama kata haram untuk orang Islam ucap tahniah pada perayaan agama lain…

Para ulama’ berbeza pandangan dalam nyatakan hukum ucap tahniah bagi perayaan bukan Muslim atau dalam konteks artikel ni; Hari Krismas. Sebabnya sebahagian ulama’ yang haramkan lihat ucapan “tahniah” ni bawak konotasi iktiraf agama lain, dan menyebarkan syiar mereka.

S1
Via SAYS

Manakala, bagi ulama’ yang benarkannya pula lihat ia adalah harapan bagi keselamatan dan keamanan, atau simbol hubungan sosial dengan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, tanpa berniat untuk mengiktiraf kebenaran agama lain.

Secara umumnya, jumhur ulama’ keempat-empat mazhab haramkan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan diorang.

Mazhab Syafie: Menurut Imam al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj, dihukum ta’zir (Hukuman takzir adalah hukuman yang tak ditentukan kadar atau bentuk di dalam Al-Quran dan Hadis.) bagi sesiapa yang ikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka. (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 9/244)

S1
Mufti Wilayah Persekutuan. Via Oh! Bulan

Mazhab Hanafi: Menurut Abu Hafs al-Kabir dari mazhab Hanafi, jika seorang lelaki beribadah kepada Allah 50 tahun lamanya, kemudian datangnya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan telur kepada sebahagian musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tu, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya. (Lihat Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 8/555).

Mazhab Maliki: Ibn al-Haj al-Maliki secara ringkasnya larang orang Islam melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan di hari perayaan mereka. (Lihat al-Madkhal, 2/46-48).

Sorry, tak boleh ucap. Via Giphy

Mazhab Hanbali: Imam al-Buhuti jelaskan hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sewaktu perayaan mereka adalah diharamkan kerana ia merupakan satu bentuk pengagungan kepada mereka. (Lihat Kasyf al-Qina’, 3/131)

Secara keseluruhan, tak boleh bagi mereka (umat Islam) untuk mengkhususkan perayaan-perayaan orang bukan Islam dengan perbuatan yang merupakan syiar agama lain.

Cuma, ada juga ulama yang mengharuskan perbuatan ucap selamat kepada perayaan bukan Islam

Syeikh Muhammad Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki ketika ditanya: “Sekiranya seorang Muslim pergi ke rumah orang bukan Islam pada hari perayaannya dan mengucapkan ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’. Adakah ia dikira sebagai terkeluar daripada Islam atau tidak?

Dia menjawab: “Tidak terkeluar daripada Islam seseorang Muslim yang berkata kepada seorang Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’ di mana dia tak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan tidak meredhai kekufuran. (Rujuk Fath al-‘Ali al-Malik fi al-Fatwa ‘ala Mazhab al-Imam Malik, 2/350)

Via Giphy

Menurut Imam al-Mardawi, diharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka jika ada maslahah yang rajih, seperti untuk mengharapkan mereka menerima hidayah Islam. (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 4/234-235)

Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah takde ijmak (kesepakatan ulama) yang jelas haramkan benda ni. Syeikh al-Syarif Hatim al-Awni menyebut bahawa asas bagi keharusan berserta garis panduan ini adalah kerana:

  • Tidak ada dalil yang jelas secara khusus dalam al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan larangan atau keharusan mengucapkan tahniah kepada diorang.
  • Tidak ada diriwayatkan teks-teks secara khusus daripada salafussoleh dalam kalangan sahabat, tabi’ dan tabi’al-tabi’in juga imam-imam mazhab (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie dan Imam Ahmad) berkenaan hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sempena perayaan diorang.
S1
Via Blog FAZ

Apabila takde dalil yang jelas daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan salafussoleh, maka kenyataan yang menegaskan haramnya mengucapkan tahniah sebagai ijma’, masih boleh di bahaskan akan ketepatannya.

Kalau nak ucap jugak, korang digalakkan untuk ikut panduan yang diberikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan ni…

Kalau ikut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, diharuskan untuk ucap Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk ucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan baiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apa lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja.

https://www.youtube.com/watch?v=Xjt01Fx8Dm4&t=41s

Sekiranya takde keperluan seperti disebutkan, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan cenderung kepada makruhnya ucapan tu sebab ia boleh timbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar.

Memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, diorang lihat takde keperluannya dan tak boleh dilakukan. Ucapan tu hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, takde paksaan dalam agama dan tak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.

S1
Via KLExpress

Dibolehkan jugak untuk hadir ke majilis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal. Sekiranya majlis tu diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk hadirkan diri.

Tak payah nak gaduh-gaduh, boleh ikut mana-mana ulama yang diyakini…

Apabila kita bincang tentang agama – ia umpama air di lautan, perbahasan tentangnya terlalu besar. Oleh sebab itu – sebagai orang awam; kita boleh menumpang mana-mana ulama yang kita yakini. Ulama tu pula biarlah yang benar-benar diperakukan ilmunya, bukan yang tiba-tiba keluar dari rancangan realiti TV.

Kalau nak buat kajian pun boleh je, cuma perlu ada orang yang bimbing kalau korang bukan dari aliran agama. Sebabnya seperti cabang ilmu yang lain – ia ada method khusus. Dalam isu ucapan Hari Krismas ni, terpulang koranglah nak ikut pandangan yang mana.

Artikel ni diambil dan disunting daripada artikel bertajuk TAHQIQ AL-MASAIL 7: HUKUM MENGUCAPKAN “MERRY CHRISTMAS” KEPADA MEREKA YANG BERAGAMA KRISTIAN terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Untuk lebih banyak penerangan dan dalil, sila lawati artikel asal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *