Isu Ogy Ahmad Daud yang mahu disaman, terpaksa jual pes kari untuk kumpul dana

F1
Isu Ogy Ahmad Daud yang mahu disaman, terpaksa jual pes kari untuk kumpul dana

Bila cakap pasal dunia anak seni, tentunya kita mempunyai harapan yang besar apabila melihat pencapaian dunia seni di negara lain berjaya menembusi dan mengumpul peminat-peminat antarabangsa. Filem animasi kita seperti Upin dan Ipin menjadi kegilaan negara jiran, sekaligus membuktikan bahawa bakat seni kita tak lupus dan luput ditelan zaman.

Walaupun demikian, dunia seni ni pun penuh dengan cabaran, dugaan dan pancaroba yang tersendiri. Kes Ogy Ahmad Daud antaranya menarik perhatian kami terhadap nasib anak seni serta masalah dalam industri seni tu. Dalam kes Ogy ni pulak, berlaku pulak adegan saman-menyaman, penafian dan dakwaan dari anak seni lain.

Kak Ogy Insta
Via Astro Awani

Ogy Ahmad Daud dituduh tak lunaskan gaji, mungkir janji oleh para pelakon di bawah arahannya yang dipentaskan di Istana Budaya

Menjadi anak seni tak bermakna selalu untung dan kaya. Sebab tu lah dulu ketika sebahagian artis minta bantuan dari pihak kerajaan di awal pandemik, kami rasa reaksi warganet agak kritikal dengan anak-anak seni ni disebabkan mereka dikatakan selalu pamer kekayaan. Walau apapun, kita tak boleh bakulkan perilaku sebahagian kecil selebriti seni dengan anak seni yang memang perlukan bantuan.

Ogy Ahmad Daud ni memang agak terkenal, dan boleh dikatakan aktif jugak dalam industri seni serta hiburan. Dah puas jadi penyanyi, jadi pelakon pulak, lepas tu jadi pengacara dan kemudiannya, jadi sebahagian dari kelompok penerbit. Namun begitu, desas desus menyatakan bahawa Ogy tak bayar gaji para pelakon teater “Korupsi Dewan Semandung”.

Poster Dewan Semandung
Via Istana Budaya

Teater tersebut telah ditayangkan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu, membariskan beberapa pelakon komedi ternama seperti Man Raja Lawak, Sharif Zero, Azrul Zaidi, Tauke Jambu, Douglas Lim, Mark Adam dan ramai lagi. Ada jugak penampilan khas dari Prof Madya Dato’ Dr. Mohammad Asri Zainal Abidin (MAZA). Komedi seram ni boleh dikatakan antara genre filem popular jugak dalam kalangan rakyat.

Beberapa bulan selepas habis acara tersebut, Aloy Paradoks yang merupakan penulis skrip teater tu mulai membuka mulut tentang Ogy Ahmad Daud selaku pihak penerbit Ogy Ventures & Network yang sepatutnya menguruskan pembayaran gaji mereka. Aloy mendakwa Ogy belum lagi melunaskan baki tunggakan bayaran dan dilihat berdolak-dalik apabila diminta untuk memberi sebab kukuh dan tarikh baharu untuk melunaskannya.

Skrin Tangkap Layar Aloy Chat
Via Mstar

Kenyataan Aloy dikutip oleh beberapa platform media, dan Ogy terus membuat kenyataan balas terhadap dakwaan Aloy. Katanya;

“Dalam hal ini, saya mengaku belum menjelaskan bayaran semua orang kerana diuji dengan beberapa perkara belakangan ini termasuk wabak Covid-19 yang melanda negara kita. Selaku penerbit, saya sedang berusaha untuk selesaikan semua bayaran baki tertunggak… cuma sekarang usaha itu belum menyebelahi saya,”- Ogy Ahmad Daud, seperti yang dilaporkan Mstar pada 1 Mei 2020

Produksi Ogy Teater
Barisan pelakon dan kumpulan produksi.. Via MStar

Mengulas lanjut, dia memang dah bayar pun 30 peratus kepada para penulis skrip teater tu iaitu Aloy dan Rayza Mukmin. Dia akur dan sedar bahawa hutang mesti dibayar, serta mengakui mereka tak pernah buat perjumpaan secara berdepan dan lebih banyak berkomunikasi dalam kumpulan WhatsApp je.

Didesak dengan tuntutan bayaran dan saman, Ogy tengah usahakan kumpul dana jual pes kari pelbagai perisa

Tuntutan bayaran dan saman ke atas Ogy yang dilakukan oleh sebilangan yang terlibat dengan teater tu tak mematahkan semangat Ogy Ahmad Daud untuk terus mengumpul dana. Setelah gagal mendapatkan pinjaman bank untuk membayar kos pementasan tersebut, dia terpaksa menumpukan seluruh daya kudratnya untuk jual pes kari.

Dari dulu lagi, dia memang menjalankan perniagaan jual pes kari tu. Tersedia dalam beberapa perisa popular seperti kari daging dan ayam, dia turut menambah pilihan lain seperti sambal bilis belacan. Rakan-rakan artis seperti Khai Bahar dan Kazar Saisi turut menjual dan mempromosikan pes kari Ogy di media sosial mereka. Warganet jugak rata-rata memuji dan mendoakan kejayaan usaha tersebut.

Ogy Khai Bakar Fadlee
Via Kita Reporters

Isu tersebut turut menambah ‘populariti’ pes karinya, apabila jualan pes kari setakat 17 Mei tu adalah sebanyak 557 balang, membawa keuntungan sebanyak RM15,596. Jumlah tu sebenarnya masih sedikit berbanding jumlah tunggakan yang didakwa belum lagi ditunaikan iaitu sebanyak RM100,000.

“Terlalu bersyukur, dari hasil jualan dan kempen pes kari ini saya dapat bayar enam orang yang terlibat dalam teater itu. Memang ramai lagi yang belum dibayar dan saya masih berusaha nak dapatkan dana kerana memahami mereka nak beraya.”- Ogy Ahmad Daud, menerusi catatan di Instagram

View this post on Instagram

Terlalu Bersyukur. Dari Hasil Jualan Dan Kempen Pes Kari Ni Saya Dapat Bayar 6 Org Yg Terlibat Dlm Teater Tu Mmg Ramai Lagi Yg Belum Dibayar Dan Saya Masih Berusaha Nak Dapatkan Dana Kerana Memahamai Mereka Nak Beraya. Saya Nak Ucapkan Betbanyak2 Terima Kasih Kpd @khairulhakiminmuhammad Dan Team Yg Bersusah Payah Menjalankan Kempen Ini Dan Kpd Semua Pelanggan2 Yg Membeli Dgn Ikhlas Baik Utk Sendiri Maupun Membeli Utk Menderma Saya Terlalu Terharu Sangat.. Saya Sentiasa Berkata Allah Akan Tolong Dan Saya Takkan Putus Bermohon Berdoa Pada Allah Kerana Saya Wajib Bayar Hutang2 Ini Walaupun Saya Tak Ambil Satu Sen Pun Duit Hasil Jualan Tiket Dan Bukan Salah Saya Pun Dgn Apa Yg Terjadi Tetapi Saya Harus Menjaga Maruah Orglain Yg Terlibat Biar Saya Dikecam Tapi Saya Takakan Lari Daripada Tanggungjawab Saya Utk Menyelesaikan Hutang2 Ini Lambat Atau Cepat Saya Tetap Bayar

A post shared by Fauziah Ahmad Daud (@kak_ogy) on

Meskipun isu ni sudah ada sinar solusinya, kita kena persoalkan masalah dalam industri seni

Kami pernah bincangkan apa FINAS patut buat untuk memperbaiki lanskap industri seni tanah air. Apa yang terjadi dalam isu Ogy ni bukanlah suatu kes yang pelik, sebaliknya ia dah jadi seperti satu isu yang terpaksa ‘dibiasakan’ dalam industri seni. Hasrat kita untuk berdiri sama tinggi dengan populariti industri seni dan hiburan macam yang dimiliki Korea Selatan tu dah baik, tetapi sampai bila ia hanya wujud sebagai angan-angan je?

Masalah kewangan menjadi salah satu faktor utama yang membantutkan kerlipan bakat-bakat seni kita. Para pelabur luar termasuk bank jugak masih kurang berminat untuk melabur dalam industri seni kita, berbeza dengan apa yang berlaku di Hollywood misalnya. Sedangkan dalam kes 1MDB tu pun, Riza Aziz tu pun melabur duit negara kat filem luar jugak… bukan filem dalam negara. Stesen televisyen diberi kuasa monopoli yang agak besar untuk menentukan arah industri seni, maka tu sebablah asyik-asyik filem romantik klise je ditayangkan dalam arus perdana.

Banyak benda harus kita perhalusi sebenarnya, dan harapnya kita dapat meneladani kisah Ogy dan isu pembayaran tertunggak tu. Kita ada banyak bakat hebat, namun sejauh mana kita dapat beri ruang untuk mereka?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top