Bot terbalik di Kelantan, Maritim Malaysia akan teruskan operasi pencarian

F1

Pada 29 Jun lepas, empat maut, manakala beberapa orang hilang selepas bot yang diorang naiki terbalik akibat ribut di kawasan perairan kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Kemasin. Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah kata; kejadian lebih kurang jam 8.30 malam pada Isnin tu babitkan sebuah bot dinaiki 20 pemancing termasuk tekong dan enam awak-awak.

“Dalam kumpulan itu ada empat ke lima buah bot. Jarak dalam 100 meter. Bot paling hampir datang menyelamat kerana ketika itu hujan lebat, ombak terlalu besar, pemandangan amat terhad. Bila dah reda, barulah dia dapat pergi untuk menyelamat. Sebab itu 12 orang berjaya diselamatkan,” – Abdullah, seperti yang dilaporkan Astro Awani

Dalam kejadian ni, 12 mangsa berjaya diselamatkan, 4 meninggal dunia, dan 4 lagi hilang

Dia kata pihaknya terima maklumat tentang kejadian ni selepas laporan dibuat di Balai Polis Badang pada pukul 10.11 malam sebelum dimajukan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok. Abdullah kata, berdasarkan maklumat, bot tu pada awalnya dipukul ribut sehingga menyebabkan sauhnya terputus sebelum dibadai ombak besar dan terbalik. Pada peringkat awal tragedi ni, difahamkan 12 mangsa diselamatkan bot lain yang berada berhampiran, manakala empat lagi disahkan meninggal dunia.

Pada hari kejadian tu, ada empat mangsa yang tak ditemukan dan dipercayai terperangkap di bawah bot yang terbalik. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat mangsa yang hilang dijalankan oleh pihak polis dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dan beberapa agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

C1
Operasi pencarian masih diteruskan. Via Berita Harian

Mereka yang terselamat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2 untuk pemeriksaan kesihatan, manakala empat mayat yang ditemukan dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat. Bot yang bawak pemancing dari Kampung Padang Tok La, Pasir Mas dikatakan berlepas dari Jeti Kuala Besar kira-kira jam 3 petang pada hari kejadian untuk tujuan memancing dan menyandat sotong dan mengikut perancangan awal akan kembali ke jeti pada jam 6 petang pada hari yang sama.

Dalam perkembangan terbaru, mayat keenam dah ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat. Dua lagi masih dicari…

Selepas operasi pencarian dan menyelamat dilaksanakan, Khamis lepas, mayat keenam mangsa tragedi bot terbalik di Bachok ditemui di kawasan perairan Laut China Selatan, kira kira 21 batu nautika dari Kuala Kemasin. Mangsa, Harun Daud, 57 tahun, ditemui terapung sekitar jam 4.19 petang sebelum dibawa ke jeti pendaratan ikan Kuala Kemasin.

Menurut Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman, mayat tersebut disahkan oleh anak mangsa berdasarkan pakaian terakhir yang dipakainya sebelum ke laut.

“Kami terima maklumat dari nelayan. Ketika pihak maritim sampai di lokasi, kami belum dapat mengesahkan mayat, sehinggalah dibawa naik ke jeti,” – Samsulmuddin, seperti yang dilaporkan Astro Awani

Menurutnya lagi, mayat tu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan sempurna dan pengecaman dibuat berdasarkan jam tangan yang dipakai serta dompet yang ada kat poket seluar mangsa. Mayat mangsa ditemui sekitar 9.2 batu nautika dari kawasan bot yang dinaikinya terbalik pada malam 29 Jun lepas. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

C1
Moga dipermudahkan urusan untuk pasukan yang tengah mencari. Via Awani

Sementara itu, operasi mencari dua lagi mangsa, Arman Ismail, dan Che Wadi Bakar, akan diteruskan. Setakat ni, lima mangsa yang meninggal dunia telah ditemukan sejak operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

Maritim Malaysia akan teruskan usaha mencari, dan buka kertas siasatan untuk rujukan masa hadapan

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dah buka kertas siasatan berhubung tragedi bot terbalik di perairan Kemasin. Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata kertas siasatan itu dimulakan sejak hari pertama kejadian dengan lihat pelbagai sudut terutama menjurus kepada kemalangan yang berlaku di laut.

Penemuan daripada hasil siasatan tu akan digunakan untuk kepentingan bersama apabila kejadian serupa berlaku. Bagi memastikan operasi menyelamat lebih berkesan, Muhd Nur Sham berkata pihaknya tidak akan mengurangkan anggota bertugas sebaliknya meningkatkan jumlah aset termasuk menggunakan helikopter.

“Untuk esok, operasi akan diperluaskan menjurus ke Pulau Perhentian… kita juga akan menggunakan khidmat helikopter bagi memantau keadaan dari udara. Kita juga meminta rakan nelayan yang berada di laut untuk turut sama memerhatikan kemungkinan terjumpa mangsa,” – Muhd Nur Sham, seperti yang dilaporkan Astro Awani

Bagi mereka yang kaki pancing, atau suka dengan aktiviti air, utamakan keselamatan

Walaupun pesanan macam berhati-hati di jalan raya, atau jaga keselamatan diri ni macam dah klise gila, tapi kadang-kadang ia adalah benda yang perlu dilakukan. Cuaca dan ombak laut ni memang ada ramalan, tapi kadang-kadang ramalan tu tak semestinya betul. Kalau korang bercadang nak pergi buat aktiviti laut, pastiikan keselamatan korang adalah benda yang paling diutamakan. Andainya ramalan cuaca tunjukkan yang pada waktu tu bahaya untuk turun ke laut, ada baiknya korang tangguhkan dulu hajat tu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *