Tengah viral di media sosial video seorang penunggang motosikal marah dan menampar muka wanita yang memandu kereta jenis Honda Civic. Dari apa yang kami lihat, penunggang motosikal tu marah kerana wanita tu tak berikan ‘signal’ ketika mahu membelok.
Dalam video tu, lelaki yang tengah berang tu jatuhkan motosikalnya dan terus memarahi mangsa. Seorang lelaki yang menyaksikan kejadian itu segera datang menghalangnya dari bertindak kasar, malangnya terlambat bila lelaki itu sempat menampar muka mangsa sebanyak dua kali. Keadaan menjadi kecoh, beberapa orang awam tampil membantu meleraikan kejadian itu dari menjadi semakin buruk.
https://www.youtube.com/watch?v=KP2TSe7j8Vk
Semalam kami terjumpa satu kajian yang katakan perempuan yang lanjut usia selalunya akan lakukan beberapa kesalahan jalan raya. Bukan kami nak ‘victim blaming’ – dah sah-sah kami rasa memukul orang lain tu satu kesalahan yang serius. Tapi ada kajian ni yang sesuai untuk terangkan sikap tak bagi signal ni.
Wanita yang berumur 50 tahun ke atas ada kecenderungan tak gunakan signal
Hasil kajian ni dilakukan oleh Kumpulan Penyelidikan Ergonomik (ERGO-UM) Jabatan Kejuruteraan Mekanik, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) menunjukkan wanita berumur 50 tahun ke atas lebih banyak melakukan kesalahan ketika memandu berbanding lelaki berusia sama.
Kajian sejak 2016 tu dijalankan Profesor Madya Ir Dr Siti Zawiah Md Dawal bersama Profesor Ir Dr Nukman Yusoff serta penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal, Nurul Izzah Abd Rahman. Dr Siti Zawiah kata, berdasarkan hasil kajian, hampir 80 peratus daripada jumlah pemandu wanita tidak memberi isyarat ketika berhenti di persimpangan jalan.
Hasil kajian juga mendapati wanita tidak memberi isyarat ketika menukar lorong di lebuh raya. Manakala 53 peratus lelaki pula didapati melakukan lebih banyak kesalahan di lebuh raya dan juga tidak memberi isyarat ketika menukar lorong.
Kesalahan tu mungkin disebabkan faktor peningkatan usia yang boleh menyebabkan penurunan fungsi dan persepsi visual, kognitif (proses mental seperti perhatian, kelajuan memproses maklumat dan daya ingatan) serta psikomotor (pergerakan fizikal) yang mana ketiga-tiga elemen itu saling berkait rapat.
Siti Zawiah kata, kajian dimulakan dengan soal selidik menggunakan Driving Habits Questionnaire dibangunkan penyelidik dari Universiti Alabama, Amerika Syarikat.
“Ia dilakukan secara rawak terhadap 182 pemandu yang majoritinya mempunyai pengalaman memandu lebih 21 tahun serta memilih kereta jenis sedan sebagai kenderaan paling kerap digunakan semasa memandu,” katanya.
Lebih separuh warga yang berusia hadapi masalah ketika memandu
Katanya, hasil kajian menunjukkan 54 peratus jumlah peserta berumur 50 tahun ke atas mengalami kesukaran memandu ketika waktu puncak manakala 45 peratus berdepan masalah sewaktu aliran trafik berkapasiti tinggi.
“Kajian diteruskan dengan menjalankan eskperimen awal terhadap 30 pemandu lelaki dan wanita berumur 50 tahun ke atas bertujuan mengetahui sejauh mana umur mempengaruhi cara pemanduan mereka menerusi analisis ergonomik ketika memandu di tiga jenis jalan iaitu di bandar, luar bandar dan lebuh raya dalam tempoh 30 minit iaitu 10 minit untuk setiap laluan,” katanya.
Dr Siti Zawiyah berkata, eksperimen itu dijalankan menggunakan kaedah pengukuran khas Elektroensefalografi (EEG) dengan memakaikan alat Electro-cap pada kepala peserta bagi merekod dan memantau isyarat otak di samping penilaian subjektif oleh pemandu menggunakan soal selidik.
Data tu seterusnya dianalisis untuk mengetahui beban kerja serta sejauh mana kepantasan pemandu bertindak apabila berdepan sesuatu situasi. Kata Dr Siti Zawiah, kesalahan pemanduan dinilai berdasarkan Kurikulum Pendidikan Pemandu ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika eksperimen dijalankan.
Jangan gunakan kekerasan di jalan raya
Kalau ikut kajian ni, nampaknya bukan perempuan yang berusia je terkesan dengan masalah pemanduan di jalan raya. Lelaki pun hadapi masalah yang sama, tapi kurang sikit. Lagi satu, janganlah nak jadi samseng di jalan raya, sebab kekerasan ni selalunya akan berakhir dengan penyesalan.