Bulan lepas seorang warga Amerika Syarikat, John Allen Chau, telah dibunuh di kepulauan Utara Sentinel. Dia dibunuh orang Sentinelese yang masih gunakan senjata lembing dan anak panah, siap orangnya bercawat. Pernah dengar tentang mereka? Amish, Mashco-Piro, Pintupi? Dalam era globalisasi ini, mereka ini boleh dikatakan masyarakat mundur sebab tak banyak berhubung dengan negara luar, ketat mengawal tradisi kaum dan komuniti.
Malaysia? Kita ni negara diplomatik. Bukan sekadar dari sudut politik, dari sudut ekonomi dan budaya pun kita open. Kalau dulu kita dikenali sebagai satu masyarakat berperibahasa, beragama, sopan santun yang mengekalkan budaya serta amalan nenek moyang, sekarang benda dah lain. Kami perhati beberapa faktor besar yang pantas sebabkan benda ni berlaku…
1. Terikut dengan budaya orang lain
Globalisasi merupakan fenomena yang tidak dapat dielakkan dan memberi kesan kepada hampir seluruh masyarakat dunia. Di Malaysia, fenomena ini mempunyai sentuhan yang menarik kerana sifat masyarakat majmuk dengan fahaman dan pengaruh yang pelbagai.
Revolusi Iran, pemerkasaan ABIM dan fenomena al-Arqam menyaksikan Islamisasi masyarakat melayu yang semakin terpengaruh dengan kebangkitan Islam akhir tahun 70-an, kelantangan pendakwah sejak itu serta kejayaan gerakan seperti al-Arqam yang mempunyai ribuan ahli selain ratusan cawangan perniagaan di dalam dan luar negara di dalam pelbagai industri (Al-Arqam diisytihar sebagai ajaran sesat pada tahun 1994).
Apa yang berlaku sekitar perubahan itu perlu dilihat dari konteks Malaysia tahun 70-an dan sebelumnya, yang tak meletakkan pegangan agama sebagai asas utama, sehinggakan memakai tudung litup seluruh kepala dikatakan janggal dan dikaitkan dengan benda negatif, dilihat sebagai ekstrem.
Maju ke hadapan pada masa ini dan kita lihat pengaruh lain pula dalam masyarakat terutamanya budaya barat dan Asia Timur. Dengan adanya laman sosial seperti Facebook dan YouTube, masyarakat semakin terbuka kepada budaya hiburan yang dianggap bertentangan dengan fahaman tradisional Islam.
Jadi apa yang kita sedang alami pada masa ini adalah pertembungan budaya di antara golongan konservatif dan yang moden. Namun apa yang menarik adalah kedua-duanya bukanlah budaya masyarakat Melayu atau Malaysia yang asal.
Mungkin ini kesan penjajahan beratus tahun dan penghakisan sistematik beberapa aspek budaya yang diterapkan oleh imperialisme Britain dahulu sehingga kita kurang keyakinan diri. Lihat sahaja India dan Afghanistan misalnya, yang hingga sekarang masih bergelut mencari identiti sendiri.
2. Media so-syial, mendekatkan yang jauh, menjauhkan yang dekat
Konsep Global Village yang diilhamkan oleh Marshall McLuhan sejak tahun 1960-an kini jadi realiti apabila dunia ini seakan-akan begitu kecil dan semua negara berjiran akibat perkembangan teknologi media elektronik. Kehidupan masyarakat Malaysia pada masa ini bagaikan satu rancangan televisyen realiti yang mana setiap perkembangan hidup ditayangkan kepada dunia.
Laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram antara lain menampilkan gaya hidup baru rakyat Malaysia yang tidak lagi malu-malu. Jika dulu selebriti mengambil gambar di kolam renang untuk majalah Mangga sudah mencetus kontroversi besar, kini gambaran begitu boleh dilihat setiap hari dan sudah menjadi perkara biasa di Instagram. Ini bertentangan label konservatif yang sering dikaitkan dengan masyarakat Malaysia.
Kini bukan sahaja selebriti bergambar di kolam renang, tapi macam-macam lagi. Figura seperti Nur Sajat sentiasa membahagi pendapat, tetapi followers di Instagram tetap berjuta.
Baru ini dikejutkan lagi dengan berita penangkapan seorang bapa ayam, Jason Cock, yang telah menggunakan laman WeChat untuk tawarkan khidmat pelacuran gadis. Selain WeChat, Bigo dan Tik Tok serta aplikasi lain juga boleh disalahguna dan berupaya mengeksploitasi golongan muda. Kita tidak boleh menafikan bahawa masyarakat sudah beralih kepada suatu budaya baru yang harus dipantau.
3. 140 perkataan je?! Kthxbye
Bahasa Malaysia merupakan antara bahasa yang penuh dengan kesantunan dan sapaan. Kesantunan ini jugalah yang mencerminkan tamadun bangsa yang dikaitkan semula dengan sifat berperibahasa, lemah lembut, dan sopan santun.
Kesantunan bahasa ini jadi lebih samar apabila teknologi seperti telefon bimbit, yang satu masa dulu pernah menghadkan jumlah perkataan yang boleh digunakan dalam satu hantaran teks SMS. Dengan limitasi yang ditetapkan, pengguna telefon bimbit terpaksa menjadi lebih kreatif dengan penulisan sehingga perkataan yang panjang dan yang pendek pun perlu dipendekkan lagi.
Hi aq x phm apa yg korg ckp niew. Bleh taip btul2 x? Tks
Kesannya agak ketara apabila golongan muda terutamanya tidak dapat memahiri bahasa ibunda dengan baik sama ada dalam pertuturan mahupun penulisan. Keunikan Bahasa Malaysia juga bermakna bahasa pertuturan dan penulisan adalah berbeza, kerana apa yang biasanya digunakan dalam penulisan tidak sama dengan kaedah bercakap, dan ini bermakna seseorang itu perlu menguasai dua aspek bahasa yang berbeza.
Penggunaan teknologi bukanlah negatif semata-mata kerana kemudahan yang disediakan membolehkan komunikasi berlaku dengan lebih lancar, pantas malah melatih pengguna untuk lebih kreatif dalam penulisan. Tetapi bahasa juga perlu dihargai dalam forma asalnya agar keistimewaan sifat kesantunan itu tidak dipinggirkan – lagipun macam kami cakap tadi, ia mencerminkaan budaya bangsa.
4. Cikgu Internet, Cikgu Google, Cikgu Wikipedia
Antara yang jadi pegangan kita sejak berkurun lama adalah pantang larang. Nenek moyang kita mempunyai terlalu banyak pantang larang sampai kalau kita nak buat sesuatu di rumah depan mak ayah, mesti kita tengok mereka dulu. Takutlah ada tersalah buat.
Jangan duduk atas bantal, jangan potong kuku waktu malam, anak dara jangan duduk di tangga, jangan menyanyi dekat dapur, orang mengandung jangan makan ayam, jangan buka payung dalam rumah, dan macam-macam lagi. Jangan, jangan, jangan.
Tetapi terima kasih kepada internet (dan logik akal), sekarang kita lihat kepercayaan karut marut dan pantang larang ni dah berkurangan. Contohnya orang mengandung yang sekarang kita tengok dah lebih ramai yang tak ikut pantang dua bulan seperti dulu.
Kalau orang putih tu boleh rilek keluar ke Red Carpet dua minggu lepas beranak, kenapa kita tak boleh?
Ilmu perubatan, diet pemakanan, hubungan ibu bapa dan anak, semuanya sedikit sebanyak dipengaruhi oleh apa yang kita baca di internet. Selain itu, ada juga pakar-pakar yang menggunakan laman media sosial untuk beri bimbingan secara terus, seperti golongan doktor yang melawan mitos perubatan dan memberi tunjuk ajar menggunakan hashtag #MedTweetMy.
Peralihan budaya ini bukan persoalan negatif dan positif, kerana ia memang akan berlaku secara semulajadi. Melainkan kita seperti Sentinelese dan Pintupi dan lebih rela mengasingkan diri dari kemodenan, apa yang lebih penting adalah memastikan masyarakat terus berhubung secara positif dan membina.