Menteri saran jangan ke Bon Odori, Sultan titah jangan sekat pengunjung Islam

bonodori f1

Salah satu keunikan Malaysia adalah kita terbuka nak anjurkan perayaan, baik dari segi kebudayaan, keagamaan dan sejarah. Keunikan inilah yang mewarnai hari-hari kita sebagai sorang warga Malaysia. Akan tetapi, kadangkala satu-satu keunikan ni turut diselubungi beberapa cabaran dan tanggapan dari pelbagai pihak.

Misalnya dalam kes baru-baru ni berkaitan Bon Odori. Festival Bon Odori ni memang dah lama diraikan di Malaysia dan ditunggu oleh para peminat kebudayaan asing khususnya Jepun. Namun kali ni, menteri keluarkan kenyataan supaya umat Islam tak berkunjung ke perayaan tersebut. Kenyataan ni disambut pulak dengan titah Sultan, merangkap ketua agama negeri tempat berlangsungnya sambutan tersebut. Kami ringkaskan ceritanya…

bonodori
Via Berita Harian

Menteri Agama nasihatkan umat Islam jangan sertai Bon Odori, ini sebabnya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad nasihatkan umat Islam agar tak sertai Festival Bon Odori. Festival tu akan berlangsung pada 16 Julai ni. Salah satu sebab kenapa Menteri tak suruh orang Islam ke festival tersebut kerana ia didapati mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

“Jadi kami nasihatkan orang Islam tidak menyertainya atau apa-apa juga program yang membabitkan soal agama serta akidah,” – seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Difahamkan, festival Bon Odori ni secara sejarahnya merupakan perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang diorang. Poster promosi penganjuran tu turut paparkan imej anime wanita berhijab yang sedang memakai kimono. Poster tersebut mengundang reaksi negatif bagi sesetengah wargamaya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut berpandangan sama dengan Idris Ahmad. Katanya, umat Islam tak patut sertai acara tersebut bagi memelihara kesucian pegangan agama.

“Acara ini mengingati roh atau semangat nenek-moyang yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik. Orang Islam mesti selalu menjaga kesucian kepercayaan mereka.

Mengingati roh nenek-moyang dengan menari, menyembah semangat mereka dan sebagainya tidak digalakkan dalam Islam. Ini boleh membawa dosa syirik kepada Allah,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

Sultan Selangor dah campur tangan, titah teruskan dengan Bon Odori

Selepas kenyataan tersebut dikeluarkan oleh dua orang autoriti agama Islam di Malaysia, rata-rata wargamaya bersetuju dengan pendapat Menteri Agama dan Mufti Pulau Pinang. Akhirnya Sultan Selangor sendiri yang bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor tak sekat program kebudayaan Jepun Bon Odori di Shah Alam tu.

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad kata selepas menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, Sultan Sharafuddin Idris Shah  tak berkenan apa-apa ketetapan untuk menghalang festival tu dijalankan dan disertai umat Islam.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan tentang perkara seumpana ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.”

sultan sharafuddin idris shah bernama 2412297 20220608184011
Via The Sun Daily

Sambungnya lagi, baginda berpendirian;

“banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada dalam budaya”.

Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

bonodori 1
Via Rileklah.com

Baginda juga bertitah agar pegawai Jais dan Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis tersebut bagi melihat sendiri apa yang berlaku. TIndakan ni perlu dibuat bagi bersikap adil, lagi-lagi dengan norma hidup bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Selangor.

“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melibat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja-pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di negeri Selangor,” – seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Tak cukup dengan tu, baginda tegur Menteri agar turut hadir ke Bon Odori dengan harapan Idris Ahmad faham perbezaan di antara agama dan budaya. Untuk pengetahuan korang, Idris Ahmad ni jugak sebahagian dari kepimpinan PAS.

“Baginda juga tidak mahu menteri itu menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi Jakim,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

bonodori2
Via Japanese Station

Ikut sejarahnya, festival Bon Odori ni bermula dari upacara berehat untuk roh nenek moyang orang Jepun terutamanya tarian tu. Lama-lama, ia berkembang dan bertukar jadi satu bentuk hiburan dan perayaan. Sekarang ni, ia jadi pesta tempatan dan perayaan musim panas je. Biasanya diorang buat pada bulan Ogos, tapi di Malaysia ni, diorang saje nak buat Julai. Lantaran tu, semangat Bon Odori di Malaysia takdelah sama dengan apa yang benar-benar diamalkan oleh masyarakat Jepun.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *