Dah tengok video tular di media sosial, yang pemain ragbi sekolah dari Jepun gigih mengutip sampah ketika pertandingan ragbi jemputan di sekolah terkemuka Malaysia MCKK?
https://twitter.com/ali70asyraf/status/1101794861311700993?s=19
Apa perasaan ye bila tengok atlet luar ni mengutip sampah yang bersepahan di atas padang sedangkan mereka datang nak main ragbi. Kami di ORANGKATA berasa malu dan segan dengan apa yang berlaku, walaupun bukanlah kami yang buang sampah tu. Tapi ia mencerminkan adab dan kelakuan rakyat kita juga.
Kalau Jepun dikenali dengan sikap yang berdisiplin, kemas, saling menghormati, kita ni semakin lama dah jadi opposite semua tu. Kami berikan beberapa sikap memalukan negara tahap world class kita:
1) Tak apalah pasal sampah-sampah dan makanan ni, nanti ada la orang lain kemas
Kita bab menguruskan sampah ni memang teruk. Tak kisah la kempen apa pun kerajaan buat, sama ada kitar semula, asingkan sampah atau denda buang sampah merata, semua confirm tak jadi.
Pergi la pantai ke, konsert atau ceramah, pasar malam, memang pada kebiasaannya keadaan sampah sarap bertimbun tu dah jadi resam. Kita ada sikap tak kisah tengok sampah di buang merata-rata, siap boleh cakap kat diri sendiri, “nanti ada lah orang yang kemas tu”.
Kalau pergi kedai makan macam McDonald, KFC atau ke IKEA pun, tengoklah sendiri betapa sepahnya kita, dan tak rasa nak mengemas pun. Tinggal je makanan atas meja sebab rasa ada orang lain yang akan kemas.
Kalau di flat dan PPRT pun kita dah boleh berjenaka je bab orang buang sampah dari tingkat atas. Ingat tak dulu ada kematian sebab ada orang campak kerusi dari tingkat atas flat terkena orang di bawah?
2) Kita semua juara F1…double, triple parking tu hak kami!
Kalau orang luar negara datang ke Malaysia, first impression mesti gempak sebab KLIA memang taraf antarabangsa. Lepas tu bawa dia keluar perkarangan airport Sepang tu baru lah dia nampak taring rakyat Malaysia ni.
Kalau bab driving jangan cerita lah, kita memang juara dunia. Semua driver kereta persis Lewis Hamilton yang bawa motor semua jelmaan Valentino Rossi. Performance semua memberasangkan atas jalanraya, dengan tak beri signal, kejar lampu hijau (ingat kes langgar ambulans baru ni), langgar lampu merah lagi.
Lepas tu bila parking kena la double park, triple park. Walaupun parking banyak kosong, tapi sebab kita nak masuk kedai “sekejap je”, kita parking tengah jalan tak kisah la menyusahkan orang lain. Ni berlaku kat shoplot, perkarangan sekolah, dan waktu solat jumaat pun; niat nak dapat pahala solat, tapi menyusahkan orang lain dapat apa?
3) Apa yang perlu dilakukan apabila tak bersetuju? Maki lerr…
Kami pernah tulis artikel tentang buli siber dan kami nak ulangi point tu di sini sebab bab yang ni memang agak melampau. Kalau kita tak berminat dengan sesuatu atau rasa tak kena dengan pendapat kita terus keluar caci maki.
Tak tau mana pergi budaya rakyat Malaysia yang dulu orang kata lemah lembut, sopan santun tu. Kalau baca dekat ruangan komen Facebook ORANGKATA pun cukup la. Tak bersetuju je terus keluar perkataan-perkataan kesat. Kami anggap diri kami kental lagi (sobs), tapi bayangkan kalau orang yang kurang kuat mental sampai ada kes yang bunuh diri, depresi dan terganggu periuk nasi.
Komen jelik berunsur perkauman, ugut bunuh, rogol dan seangkatan dengannya dah biasa sangat kita tengok di laman seperti Facebook dan Twitter. Kadang-kadang tu yang keluarkan kata kesat tu kalau tengok profail punya la alim, jadi kami tak tau mana datang sikap terlalu membenci ni sebab agama tak ajar kan?
4) Dah penat shopping takkan la nak kena simpan troli elok-elok pulak, penat kot
Kita ni bukan setakat sampah je buang merata-rata, kalau pergi pasaraya atau shopping mall, cuba perhati perangai lepas habis shopping tu macam mana. Dah masukkan barang dalam kereta, kita alih sikit je troli tu supaya kereta boleh keluar parking.
Tak kisah la pasar raya baru, cantik, menawan kalau di parking lot troli sepah-sepah tu wajib. Sedangkan kebanyakan pasar raya dah sediakan tempat letak troli. Kita memang tak fikir menyusahkan orang lain, asalkan senang untuk kita. Memang lah akan ada orang yang kutip troli tu nanti, tapi sebelum tu kalau ada orang nak parking, atau nak keluar parking dah jadi satu hal. Pemalas pun agak-agak lah.
Benda ni nampak macam kecil, tapi yang kecil ni lah yang mencerminkan tahap pemikiran dan sikap kita sebenarnya.
Orang susun selipar pun kita kagum? Bertaubatlah
Lebih kurang macam korang kagum tengok pemimpin solat.
Ini cuma beberapa contoh mudah yang kami guna untuk beri kesedaran. Kalau nak ikutkan banyak lagi tapi kena buat siri yang panjang lah. Apa pun yang kami nak sampaikan kat sini, kalau tengok balik video peradaban orang Jepun kutip sampah di tanahair kita tu, kita patut sedarlah yang kita sebenarnya lebih banyak memperkecilkan negara sendiri dengan sikap acuh tak acuh kita ni.
Kita punyalah tak biasa dengan sikap baik macam tu sampai tengok Syed Saddiq kutip sampah di stadium pun kita kagum sedangkan buang sampah sepatutnya perkara biasa. Dulu pernah juga viral seorang lelaki susun selipar di masjid, padahal menyusun kasut tu pun satu perkara biasa yang orang Jepun ajar asas dari tadika lagi. Kami cukup bangga dengan remaja yang susun kasut tu, dan suka juga berita baik yang viral ni…tapi kalau orang susun kasut pun sangat mengagumkan di Malaysia ni, nampak lah mentaliti kita sebenarnya.
Jadi eloklah kita muhasabah diri elok-elok, dan hentilah memalukan negara dengan sikap-sikap buruk macam kat atas tu. Apa yang orang Jepun tu buat perkara asas, benda yang kita boleh sangat buat kalau nak. Tak guna juga ada infrastruktur first class kalau mentaliti kita ni masih third class, memalukan.