Siapa yang belum tengok filem animasi Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal, kami recommend korang tengok kat wayang. Tapi kali ni ORANGKATA bukan nak review filem, pada pendapat kami filem ni memang best dan sesuai untuk seisi keluarga jadi pergilah support dan tengok sendiri.
Selain animasi berkualiti dan jalan cerita yang menghiburkan, kami sebenarnya sangat tertarik dengan penggunaan elemen cerita rakyat yang bersahaja untuk melengkapkan filem ni. Jadi kami nak refresh sikit beberapa cerita rakyat yang digunakan so korang boleh la cerita kat anak-anak (atau golongan milennial) yang mungkin tak tahu menahu pun kisah-kisah ni (tanpa spoiler).
1. Mat Jenin, jenis member yang suka pau makanan kita
Mat Jenin sebenarnya pemuda kampung yang tak rajin bekerja dan terkenal sebagai seorang yang kuat berangan. Jenis member yang suka makan free, Mat Jenin kadang-kadang akan lepak je kat kedai makan tunggu sampai ada yang sanggup belanja dia.
Kalau tak ada orang belanja baru sanggup berkerja, tu pun cukup-cukup untuk makan je dan biasanya dia ambil upah petik buah kelapa. Satu hari dia diupah oleh seorang makcik tua kampung untuk petik buah kelapa dan dijanjikan ganjaran telur ayam.
Tapi disebabkan dia kuat berangan, sambil panjat tu dia dah fikir nak peram telur ayam sampai dapat seekor ayam, lepas tu ayam tu membesar hasilkan banyak lagi telur. Bila ada banyak ayam dia nak gantikan dengan kambing, kemudian kambing ganti dengan lembu. Dia punya berangan sampai jadi kaya raya, bangsawan, kahwin anak raja. Dalam bayangan dia gurau senda dengan puteri raja tu dia terlepas grip kat pokok lalu jatuh dan meninggal dunia.
2. Batu Belah Batu Bertangkup, kisah ibu yang merajuk
Batu Belah Batu Bertangkup berkisarkan seorang bernama Mak Timah yang dah kehilangan suami dan sejak tu kemurungan. Dia ada dua orang anak, Mawar (ada kata Melur) dan Pekan. Satu hari Mak Timah ni teringin makan telur ikan tembakul, jadi dia pun pergi tangkap ikan tembakul dan suruh Mawar masak gulai.
Lepas suruh Mawar masak tu Mak Timah keluar kejap, jadi Melur asingkan sikit bahagian untuk mak dia. Tapi Pekan kebulur agaknya, makan bertambah sampai habis semua lauk yang dimasak. Bila balik nak makan Mak Timah kecewa habis la dapat tahu anak-anak dia dah habiskan telur tembakul yang dia idamkan tu.
Mak Timah pun berlari ke Batu Belah Batu Bertangkup, yang memang menakutkan orang kampung dengan bunyi kuat dan ada belahan macam mulut. Dia pun offer diri untuk dimakan menyebabkan Mawar dan Pekan kesal dengan apa yang diorang dah lakukan. Kisah ni pernah dijadikan filem oleh Jamil Sulong dan filem ni lah yang biasanya jadi rujukan (dan digunakan mak-mak kalau anak buat nakal tak dengar cakap).
3. Raja Bersiong, raja yang menghisap darah. Sepupu drakula kot?
Dalam banyak-banyak cerita rakyat yang ada dalam Upin Ipin tu, yang ni sebenarnya kisah paling mengerikan. Mengikut legenda, Raja Bersiong, atau nama sebenar dia Raja Ong Maha Perita Deria ialah raja keempat keturunan Merong Mahawangsa di Langkasuka.
Dia ni seorang raja yang kejam dan tak berperikemanusiaan. Ikut cerita, dia ada dua tukang masak yang dipercayai. Satu hari, tukang masak dia ni terpotong sikit jari dan darah masuk ke dalam masakan kesukaan dia. Nak buat cerita, dia rasa masakan tu lebih sedap dari biasa dan bila dapat tahu sebab bercampur darah maka diarahkan hulubalang dia untuk bunuh tawanan dalam penjara dan simpan darah dalam bekas.
Hari-hari dia makan masakan bercampur darah sampai tumbuh siong yang dibanggakan (macam dracula). Disebabkan dia dah ketagih darah dan bekalan pun dah berkurangan, dia arahkan askar dia untuk bunuh orang tak bersalah dan budak-budak pun. Pendekkan cerita, sebab orang ramai dah tak tahan dengan kekejaman dia ni, menteri dan askar dia sendiri memberontak dan akhirnya Raja Bersiong terpaksa melarikan diri. Kisah ni pun pernah difilemkan pada tahun 1968, lakonan Ahmad Mahmud dan Sarimah.
4. Si Tanggang, kalau di Indonesia kisah ni dinamakan Malin Kundang, di Brunei Nakhoda Manis
Ini mungkin kisah paling popular dalam senarai ni sebab cerita ni dikongsi oleh jiran nusantara kita, Indonesia dan Brunei dengan versi tersendiri.
Kisahnya berkisarkan satu pasangan miskin di kampung iaitu Mak Deruma dan Si Talang. Pasangan ni ada seorang anak bernama Si Tanggang. Satu hari Si Tanggang ni berjaya jadi crew kapal besar yang berlabuh berdekatan kampung dia. Nakhoda kapal tu tertarik dengan kerajinan Si Tanggang dan slow-slow dia naik pangkat sehingga satu hari bila nakhoda tu meninggal dunia dia ganti tempatnya.
Selain jadi nakhoda kapal, dia juga berjaya berkahwin dengan puteri raja. Sekian lama dia berlayar akhirnya satu hari dia berlabuh semula ke kampung halaman. Beberapa orang kampung cam Si Tanggang ni dan beritahu mak ayah Si Tanggang (dalam beberapa versi lain kata ayahnya dah meninggal dunia). Teruja nak jumpa anak, Mak Deruma siap bawa pisang salai kegemaran Si Tanggang. Tapi bila sampai ke kapal, Si Tanggang malu dengan isteri dia dan buat-buat tak kenal malah menghalau maknya yang berpakaian compang-camping.
Kecewa dengan sikap anaknya tu, Mak Deruma menyumpah anaknya. Sumpahan Mak Deruma menyebabkan Si Tanggang, isteri dia, anak-anak kapal dan kapal tu jadi batu. Yang claim legenda ni real kata peninggalan Si Tanggang yang batu ni sebenarnya di gua Batu Caves, tapi ada juga yang claim di Bukit Treh, Muar.
5. Bawang Merah Bawang Putih, bukan sinetron Indonesia masa kita budak lagi
Macam Si Tanggang, kisah ni pun dikongsi dengan Indonesia atas nama yang sama. Cuma kisah Bawang Merah Bawang Putih ni banyak versi jadi kami ambil versi yang popular masa kecik-kecik dulu dan rasanya yang dirujuk dalam filem Upin Ipin.
Kisah berkisarkan pasangan suami isteri yang berkahwin tapi tak dapat anak. Satu hari si suami ni kata dia nak berkahwin satu lagi untuk sambung zuriat sebab dengan isteri pertama, Mak Labu, tak berjaya. Dia kahwin dengan Mak Kundur, tapi nasib baik lak dua-dua isteri ngandung! Anak dengan Mak Labu nama Bawang Merah, anak dengan Mak Kundur nama Bawah Putih (ada versi lain yang terbalikkan Bawang Merah dan Bawang Putih ni).
Mak Kundur dan Bawang Putih ni tak berapa baik sangat orangnya. Bila ayah mereka meninggal dunia, Mak Kundur jadi lebih kejam. Mak Labu dibunuh Mak Kundur bila dia ditolak jatuh perigi. Lepas Mak Labu meninggal dunia, Bawang Merah dilayan macam kuli.
Mak Labu ni roh dia macam masuk dalam ikan kaloi, dan hari-hari Bawang Merah ni habiskan masa dengan ikan tu. Sampailah satu hari Mak Kundur dapat tahu, dia masaknya ikan kaloi tu dan bagi Bawang Merah makan. Bila dapat tahu, kecewa la Bawang Merah ni. Dia kutip-kutip tulang ikan kaloi tu dan tanam kat kawasan berdekatan rumah.
Tak lama lepas tu dekat tempat yang ditanam tulang tu tumbuh pokok, Bawang Merah gantung buaian dan hari-hari dia buai di situ sambil nyanyi penuh merdu. Nyanyian dia pikat seorang putera raja sampai masa dia kahwin dengan putera raja tu walaupun Mak Kundur cuba sabotaj.
Apabila difilemkan, boleh bantu generasi baharu untuk kenal cerita rakyat
Ramai kanak-kanak hari ni tak tahu pasal cerita rakyat kita yang gempak-gempak. Cerita rakyat kat atas ni dan banyak lagi cerita lain sebenarnya sangat menarik dan kami rasa patut diberi nafas baru dalam bentuk filem, atau filem animasi. Tapi tak nak lah diberi nafas baru jadi macam Badang. Nak buat filem tu biarlah ada standard macam Upin Ipin tu.