Kadang-kadang dalam hidup ni, kita rasa diri kita dah diuji dengan cubaan yang betul-betul hebat. Biasalah tu kehidupan, ada turun naik. Selalunya kita dinasihatkan – kalau tengah senang, jangan tengok yang lagi senang, dan kalau tengah ditimpa musibah pulak, tengok orang yang lagi susah daripada kita. Pesanan ni diberikan supaya kita tahu apa erti bersyukur. Sebab bersyukur ni lebih hebat daripada bersabar. Kalau tengah susah nak buat apa kan? Sabar je lah. Tapi berapa kali kita bersyukur tentang hidup yang kita ada hari ni? Jarang weh.
Apabila kami terbaca kisah tentang seorang bapa tunggal yang susah dan anak-anaknya terpaksa tak pergi sekolah, sedih. Mata berkaca-kaca, dan hati rasa sedikit dirobek.
Ayahnya terpaksa pilih di antara kerjaya atau menjaga anak-anaknya…
Anaknya pulak kena buat pilihan sama ada mahu ke sekolah atau gunakan wang bagi mengalas perut seisi keluarga, macam tulah cerita duka yang dihadapi seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nurhanifah Mohd Fadillah yang sudah lama tak pergi sekolah. Tak dapat kami bayangkan kalau berada di tempatnya, alahai. Mesti hidup rasa terhimpit sangat.
Kalau ikut cerita anak sulung daripada tiga beradik tu, kehidupan diorang kat Kuching, Sarawak bersama bapa, Mohd Fadillah Idris, berubah sepenuhnya selepas kematian ibunya pada tahun 2009.
“Dekat 90 hari dah saya tak pergi sekolah. Cikgu ada minta bapa hantar ke sekolah, tapi dia memang tak mampu sebab kekurangan wang. Tak ada duit untuk beli minyak kereta. “Saya pun kena pilih, sama ada duit yang ada mahu digunakan beli minyak kereta untuk ke sekolah atau beli makanan untuk keluarga sebab pernah hampir seminggu kami tak makan. Saya fikir pasal adik-adik, jadi saya pilih untuk beli makanan,” – Nurhanifah, seperti yang dilaporkan oleh MSTAR
Dia juga kata persiapan untuk SPM dah 70 peratus. Dia belajar dari 7.30 pagi sampai 10 malam kat rumah, buat jadual sendiri. Dia jugak sedihlah sebab tak ada kawan, hanya kucing dua ekor jadi penemannya. Dia berborak dengan kucing mengenai topik dalam subjek Sejarah untuk lebih senang nak hafal. Kadang-kadang dia tengok muka kucing untuk ingat formula Matematik.
Kisahnya dan dua adiknya, Nurhazlina, 14 dan Mohammed Haziq, 12, yang mengalami cacat penglihatan tular kat Twitter sejak Sabtu lalu. Ia dikongsi oleh Asfaridah Umar yang juga Penolong Pegawai Sosio Ekonomi badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (Yakin) sehingga menerima lebih 12,000 perkongsian di platform media sosial.
Lebih menyedihkan, Nurhanifah pun ada masalah asma seperti arwah ibunya…
Nurhanifah kata dia turut mewarisi penyakit asma yang menjadi punca kematian ibunya, sejak 10 tahun lalu. Dalam nada hiba, dia mengakui cukup tabah untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan, biarpun pernah hidup senang suatu ketika dahulu.
“Dulu bapa kerja pelantar minyak, gaji berbelas ribu. Tapi masa tu kami tak cukup kasih sayang. Emak meninggal pun bapa tahu tiga hari selepas tu. Jadi bapa tak nak perkara ni berulang lagi. Sekarang dia kerja mekanik di rumah, tak boleh kerja jauh sebab nak jaga adik bongsu saya. Dulu masa mula-mula jatuh susah, adik pernah tanya ayah kenapa kita dah tak kaya? Masa tu saya seorang je yang faham,” – Nurhanifah, seperti yang dilaporkan oleh MSTAR
Tambah Nurhanifah lagi, diorang menyewa sebuah bilik kat sebuah rumah di Kuching yang turut dikongsi bersama dua lagi keluarga lain. Keluarga tu turut menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ia masih tak mencukupi untuk menanggung kehidupan mereka. Nurhanifah ada cita-cita untuk bekerja sebagai pegawai kerajaan apabila menamatkan pembelajaran kelak. Bagi sesiapa yang mahu memberi bantuan, mereka boleh berhubung dengan Mohd Fadillah kat talian 011-56551982.
Bantulah setakat yang kita termampu, tak boleh bantu semua, jangan tinggalkan semua…
Hidup bermasyarakat ni, kita perlu saling bantu-membantu di antara satu dengan yang lain. Barangkali hari ini orang memerlukan bantuan kita, esok, lusa? Mungkin kita pulak yang akan memerlukan bantuan daripada orang ramai. Hidup ni memang macam roda, kadang-kadang kita berada kat atas, dan kadang-kadang kita akan tersungkur. Kalau korang mampu, bantulah mana yang patut.