Kisah legenda buaya putih yang selalu jadi bualan rakyat Malaysia

Panglima Ghee Hin Disumpah Jadi Buaya Putih Di Larut2 696x348

Buaya putih kalau dalam pandangan orang Barat, ia tak lebih dari sekadar seekor buaya yang lapar. Manakala warnanya yang putih dilihat sebagai jenis buaya unik yang mengalami hypomelanism. Setakat ni, yang dapat liputan umum pun ada dua ekor buaya putih iaitu ‘Michael Jackson’ dan ‘Pearl’ di Australia.

Dari nun jauh dah boleh nampak kat sungai sebab warnanya putih. Via Wildlifeworld.com

Bagi kita pula, dah lama Nusantara ni dengar kisah pasal buaya putih. Legenda buaya putih selalu diceritakan oleh orang tua untuk gambarkan kehebatan ilmu pahlawan dulu-dulu. Ada juga yang disampaikan sebagai pengajaran buat masyarakat. Kami senaraikan beberapa kisah buaya putih yang popular seluruh Malaysia.

Buaya putih penyayang di Kelantan, buaya tu dipercayai ada kesaktian…

Buaya putih ni terkenal sebagai sesuatu yang ditugaskan untuk jaga masyarakat kampung. Macam di Kampung Seri Kemudi, Bachok, ada seekor buaya putih yang dipercayai buaya sakti. Buaya putih ni juga biasanya dilihat bersama dengan kemudi emas tiap kali dia timbul di permukaan air. Ikut cerita, buaya putih sakti tu dah ambil seorang budak perempuan sebagai ‘anak angkat’ sampailah budak tersebut dewasa. Buaya tu dah sayang sangat kat anak angkatnya tu jadi selalulah diberikannya barang-barang emas.

Via weheartit

Lain pula kisah di Kampung Kok Pasir & Kampung Kok Keli di Kota Baru. Kat sini, buaya tak datang sendiri kat orang. Sebaliknya, buaya putih dijinakkan oleh seorang ulama bernama Tuan Guru Selehor. Tujuannya? Nak buaya putih tu jaga keselamatan sungai tu. Sebelum ni, dah ramai penduduk kampung yang tak dapat jalankan kehidupan mereka di sungai. Tak boleh mandi, tak boleh memancing dan menjala hanya sebab banyak buaya lain duduk sana. Lepas tu, buaya-buaya sungai tu dah lari sebab takutkan buaya putih ni.

Buaya kerabat kayangan di Langkawi…

Selain dari khabar air tasiknya yang mampu ‘menyuburkan’ wanita, Tasik Dayang Bunting juga turut mempunyai buaya putihnya sendiri. Bermulanya kisah tersebut adalah dengan turunnya seorang puteri kayangan yang bernama Puteri Dayang Sari (ada menyebut Mambang Sari) yang ingin mandi manda di kawasan tasik tu. Kecantikan puteri kayangan ni menawan hati seorang putera dinamakan Putera Teja.

Putera Teja ni minta tolong pada seorang tua untuk pikat hati puteri cantik dari kayangan. Orang tua tu suruhlah Putera Teja sapu air mata duyung pada wajahnya.

Kalaulah masih ada air mata duyung… Via Tenor

Menjadilah ajaib air mata duyung apabila puteri tu pun terpikat juga pada putera tu. Mereka mendirikan keluarga, dan lahirlah anak sulung mereka. Namun begitu, anak tersebut diserang sakit dan meninggal dunia. Selepas dikuburkan, dia dikatakan bertukar menjadi buaya putih yang dikatakan penjaga setia tasik tersebut sehingga kini.

Banjir kerana Buaya Putih di Selangor

Kongsi seorang penulis blog, dia yakin bahawa sejarah Kuala Kubu ada kaitan dengan legenda buaya putih. Terdapat sebuah empangan besar yang dibina oleh para penduduk kampung untuk menampung air daripada batang kayu serta ditambak dengan tanah merentang anak Sungai Selangor, iaitu Sungai Kubu. Dianggarkan tingginya adalah 1.6 meter manakala lebarnya melebihi 91.4 meter.

Tugu empangan lama. Via mommylatte.com

Kira-kira pada tahun 1883, empangan tersebut pecah lalu menghancurkan Kuala Kubu (yang lama) hinggakan kota tersebut terpaksa dibina semula menjadi Kuala Kubu Bharu. Pecahnya empangan tersebut ada kena mengena dengan keangkuhan Sir Cecil Ranking, pegawai Inggeris yang dikatakan menembak seekor buaya putih di sungai tersebut. Buaya putih tu juga bukan sebarang buaya; ia adalah ‘penunggu’ kuala yang menjaga sungai tu. Bahkan, buaya tu sempat gigit tangan kiri Ranking sehingga putus.

Pahang Tanah Haiwan Mistik

Tasik Chini, Pahang merupakan salah satu tempat yang terkenal dengan legenda misteri dan mistik. Mesti korang tak lupa lagi pasal khabar wujudnya naga di tasik tu, kan? Bukan setakat naga, siap ada kisah pengalaman orang pasal wujudnya istana lama di tasik tu. Jadi tak hairanlah kalau cerita buaya putih di Pahang.  Dalam ‘kerajaan naga’ ni, buaya-buaya putih ditugaskan jadi pengawal-pengawal istana. Di Tasik Paya Bungor pun wujud juga cerita orang tua pasal buaya putih yang tinggal di dasar tasik tersebut.

Dengar kata ada orang terjumpa ular sebesar tong. Mungkin tu ke yang dianggap naga Tasik Chini? Via Berita Harian

Tak macam legenda buaya di beberapa negeri lain, legenda buaya putih banyak terikat pada kebolehan pawang dulu-dulu untuk jinakkan buaya. Peranan ‘buaya putih’ dalam cerita Tasik Chini sebagai pengawal nampakkan hebatnya kedudukan buaya putih dalam sejarah lisan Melayu Pahang.

Pahlawan Cina disumpah guru silat Melayu jadi Buaya Putih

Mesti korang pernah dengar nama ‘Ghee Hin’, salah sebuah persatuan kongsi rahsia Cina di Larut. Peristiwa yang tertulis dalam arkib sejarah kita pun ada cerita pasal pergaduhan Ghee Hin dan Hai San pada 1842. Tapi tak sangka, rupanya ada juga Panglima Ghee Hin yang dikatakan berguru dengan orang Melayu!

Kisah dongeng ni dah siap dibukukan lagi. Via Goodreads

Nama panglima tersebut adalah Ah Chong, seorang lelaki daripada keluarga Hakka Kanton. Seorang panglima yang gagah, dia dikatakan turut berguru dengan seorang guru seni silat Melayu untuk meneguhkan ilmu mempertahankan dirinya. Namun begitu, dia dikatakan dah langgar janji terhadap gurunya kerana dah bunuh beberapa orang Melayu. Dia disumpah menjadi buaya putih disebabkan peristiwa tu.

Adakah ni buaya yang dimaksudkan? Via Perak Historical Crew

Ada juga menceritakan bahawa seekor buaya putih yang dikatakan sangat panjang, hingga mencecah keluasan sungai tersebut. Sebab nilah buaya tu diberi nama Tok Gedong, yang bermaksud “sangat besar”. Daripada nama ni jugalah, wujud nama Sungai Gedong di Perak. Mungkin buaya yang sama kot?

Bayangkan korang ada kembar buaya…

Tak macam kisah buaya putih yang lain, mitos buaya putih di Johor lagi luar biasa. Kisah pembukaan Kampung Rantau Panjang di Johor bermula dengan berpindahnya Tok Timbang Tahil dari Sumatera Barat. Kampung tu banyak sejarahnya yang tersendiri, dan antaranya adalah kisah buaya putih yang dikatakan merupakan kembar kepada anak keturunan Tok Timbang.

Kata Ishak Shariat, kembar buaya tu dilepaskan ke sungai apabila saiznya makin membesar. Tiap kali kembar manusianya menangis, kembar buaya tersebut dikatakan akan naik ke daratan. Walau bagaimanapun, kembar manusianya bernama Rahmat Taaral telah meninggal dunia akibat kemalangan.

“Nape adik, mak?” Via Pinterest

Tiada khabar lagi didengari tentang kembar buaya putih tu. Dakwaan begini turut wujud dalam cerita-cerita rakyat lain seperti yang berlaku di Pangkalan Balak, dimana anak pertama yang dilahirkan tu adalah seekor buaya dan terpaksa dilepaskan di sungai.

Buaya putih, darah pun putih…

Legenda buaya putih yang selalu jadi buah mulut orang Sabah adalah legenda Si Terrunggari yang ‘berkampung’ di Sungai Kinabatangan. Sungai Kinabatangan merupakan sungai kedua terpanjang di Malaysia, jadi korang boleh bayangkan tak betapa jauhnya buaya Si Terrunggari boleh bergerak di Borneo? Berbalik kepada kisah buaya kita, Si Terrunggari adalah ketua buaya air tawar yang hidup bersama-sama dengan penduduk kampung masa tu.

Via Tumblr

Tiba-tiba pada suatu hari, buaya ni menculik seorang budak lelaki dari kampung tepi sungai. Orang ingat Si Terrunggari dah jadi buaya jahat dan dah makan budak tersebut. Rupa-rupanya, budak tu dijaga sebaiknya oleh buaya Terrunggari. Niatnya ‘menculik’ tu bertukar jadi ‘meminjam’, apabila seekor buaya besar air masin bernama Berlintang ingin cabar kuasa Terrunggari.

Sebelum waktu pertarungan tu, Terrunggari berpesan pada budak lelaki tu supaya perhatikan betul-betul warna darah yang timbul di air. Jika putih, maka Terrunggari kalah. Jika merah pula, Berlintanglah yang kalah. Pertarungan tu berlangsung dengan hebat sekali; sehinggalah darah merah timbul di permukaan air.

Sehingga kini, Orang Sungai masih lagi berpegang pada kepercayaan mereka terhadap buaya di sungai berdekatan mereka. Antara ‘pantang larang’ yang tak boleh dilanggar bila nak turun ke sungai adalah harus tunaikan dulu hasrat agar tak kempunan. Ertinya, tak boleh turun kalau tiba-tiba hati nak minum kopi tapi tak jadi minum kopi.

Buaya besar si Bujang Senang, famous ni…

Tak sah kalau tak sebut kisah buaya besar Bujang Senang di Sarawak. Kes mangsa dibaham buaya di Sarawak agak tinggi, lagi-lagi lepas kerajaan negeri umumkan pada 2015 sahaja, terdapat 2,236 ekor buaya di 45 sungai sepanjang 2,108.3 km. Manakala 10 sungai dah dikenalpasti sebagai lubuk buaya dengan populasi yang tinggi.

Memang kurus semangat kalau bot korang karam di tengah sungai kat Sarawak kan? Via Playbuzz

Bujang Senang dikatakan seekor buaya besar yang unik kerana ada garis putih di belakangnya. Awalnya, dia ni sebenarnya seorang pahlawan Iban yang digeruni musuh dengan nama asalnya adalah Simalungun. Dia dikatakan pahlawan berilmu kebal. Tak lut langsung dengan senjata biasa. Hanya satu je kelemahan pahlawan ni: air sungai.

Mayatnya ditenggelamkan oleh musuhnya dalam air Sungai Batang Lupar bersama isterinya yang dah ditombak mati. Ada juga mengatakan bahawa dia dan isterinya disumpah dewa menjadi buaya lalu bertekad untuk bunuh keturunan musuhnya tu. Mangsa Bujang Senang agak ramai, sebab dah mulai mengganas sejak 1940-an hinggalah 1992.

Dah mati Maharaja Buaya, tapi tak bermakna air yang tenang tu dah takde buaya. Dikatakan masih wujud lagi keturunan Bujang Senang. Via Gambar Foto Hewan

Sebenarnya, masih banyak lagi cerita buaya putih yang tak tersenarai dalam artikel ni. Walaupun legenda buaya putih kedengarannya macam tak masuk akal, namun cerita-cerita orang tua kita kena dikumpul sebagai salah satu cara kita mengumpul tradisi lisan sejarah masyarakat Malaysia.

Kongsikan pada kami jika korang ada cerita pasal buaya atau haiwan lain dari tempat korang membesar. Jom raikan sejarah lisan rakyat!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *