Kita bekerja keras sepanjang hidup untuk memastikan kita mampu menampung diri dan keluarga. Ramai dalam kalangan kita mengumpul aset untuk memastikan orang-orang yang tersayang berada dalam keadaan yang selesa. Atas sebab ini jugaklah kita ambil produk perlindungan kewangan seperti insurans, untuk memindahkan risiko kehilangan pendapatan kepada penanggung insurans. Sebab itu kita selalu dengar ayat sayangi diri dan keluarga, lindungi nyawa anda dengan melanggan insurans.
Sikap bekerja keras dan bersedia untuk menghadapi risiko adalah sikap yang terpuji, lebih-lebih lagi ia akan membantu keluarga menghadapi hari-hari yang sukar. Cuma, ada sesetengah individu yang kurang mengambil perhatian tentang kepentingan untuk menguruskan harta setelah meninggal dunia. Disebabkan hal ini, kita kerap mendengar ada keluarga yang berpecah-belah setelah kematian ahli keluarga. Selalunya ia berpunca daripada isu perebutan harta.
Akibat pergaduhan harta sesama ahli keluarga, ada nyawa yang telah melayang
Kami ingin bawakan korang dua cerita tentang pergaduhan ahli keluarga akibat perebutan harta pusaka yang membawa kepada kematian. Macam yang kami kata tadi, walaupun hal pewarisan harta adalah sesuatu yang penting, masih ramai yang memandang mudah. Menurut laporan Berita Harian, pada tahun lepas, sepasang suami isteri warga emas nyaris maut selepas dilanggar dan ditetak oleh ahli keluarganya, dipercayai kerana berebut harta pusaka di Kampung Chuang Rasa, Selangor.
Saksi yang ada di tempat kejadian melihat kedua-dua mangsa yang sedang menunggang motosikal dilanggar sebuah kereta Proton Iswara berwarna hitam sebelum pemandu kereta keluar dan menetak mangsa. Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, kejadian itu turut dilihat beberapa saksi yang kemudiannya membantu mangsa.
“Hasil siasatan awal juga turut mendapati suspek adalah seorang lelaki yang juga adik kandung mangsa. Motif kejadian tetak dikenal pasti kerana perebutan harta pusaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” – Superintendan Arsad Kamaruddin, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Selain daripada cerita ahli keluarga melanggar warga emas kerana berebut harta, ada juga cerita tentang pergaduhan dua beradik berkaitan isu tanah pusaka yang menyebabkan si seorang lelaki maut selepas kepalanya dihentak menggunakan alat pemadam api oleh adiknya sendiri. Dalam kes ini, mangsa; Lim Poh Hau, 59 tahun, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Sebelum kejadian ni berlaku, mangsa dikatakan pergi ke rumah adiknya di Kampung Sama Gagah sebelum berlaku pertengkaran. Mangsa dipercayai memulakan pergaduhan dengan melanggar adiknya menggunakan motosikal. Disebabkan berang dengan tindakan itu, adiknya menyembur muka mangsa menggunakan alat pemadam api selain menghentak belakang kepalanya sehingga maut.
Sebenarnya ada banyak lagi cerita berkaitan perebutan harta pusaka yang menyebabkan kematian, ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan kerana keluarga seharusnya kekal bersama – lebih-lebih lagi selepas kematian orang tersayang. Kita sepatutnya mencari jalan untuk memastikan hal seperti ini tak berlaku dalam keluarga kita. Salah satu caranya adalah menggunakan kaedah yang kami akan cadangkan ni…
Kerjasama di antara Allianz Malaysia dan RHB Trustees Berhad akan beri jaminan terhadap waris anda
Untuk mengatasi masalah ini, sebuah syarikat perlindungan kewangan telah datang dengan idea yang bernas untuk memastikan warisan untuk keluarga tersayang akan terpelihara. Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) ada menjalin kerjasama dengan RHB Trustees Berhad sebagai pemegang amanah untuk memastikan akan ada pihak yang boleh dipercayai untuk membantu menguruskan dan melindungi warisan bagi keluarga mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Joseph Gross, sehingga 31 Disember 2021, Allianz Life akan merujuk pelanggan yang ada jumlah keseluruhan polisi insurans dengan jumlah yang diinsuranskan (minimum RM500,000) kepada RHB Trustees. Rujukan ini membolehkan pelanggan merangka amanah insurans bagi diwarisi ahli keluarga mereka dengan kadar tetap istimewa iaitu pada RM500 untuk setiap amanah insurans.
Sebagai syarikat penanggung insurans, Allianz Malaysia memberi penekanan terhadap kepentingan perancangan warisan dan perlindungan pendapatan keluarga. Kebanyakan individu menghabiskan masa seumur hidup untuk mengumpul kekayaan, tetapi kurang menyedari kentingkan proses pentadbiran harta pusaka selepas meninggal dunia. Oleh sebab itu, waris mungkin tidak boleh mewarisi hak mereka. Joseph berkata, tanpa mengira jenis aset kekayaan, sama ada hartanah, akaun deposit tetap atau barang kemas, setiap individu harus meneliti cara mewariskan harta dan aset mereka.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif RHB Trustees, Kumpulan Perbankan RHB, Tony Chien berkata, pihaknya percaya bahawa strategi pemindahan harta diperlukan dalam perancangan kewangan komprehensif.
“Laporan statistik baru-baru ini menunjukkan 70 peratus rakyat Malaysia masih tidak mempunyai Perancangan Harta atau Warisan yang betul. Oleh itu, kerjasama bersama Allianz ini ialah langkah utama yang strategik untuk RHB Trustees, yang membolehkan kami membantu masyarakat untuk merancang secara profesional Perancangan Warisan bagi melindungi orang yang mereka sayang,” – Tony Chien, seperti yang dilaporkan MyMetro
Kerjasama ini akan memastikan tak ada lagi isu-isu pergaduhan di antara ahli-ahli keluarga tentang harta pusaka kerana harta warisan akan diuruskan oleh RHB Trustees Berhad mengikut wasiat yang telah diberikan oleh pelanggan Allianz Malaysia. Selain itu, ia juga dapat elakkan perebutan harta di Mahkamah yang akan mengambil masa berbulan-bulan dan kos guaman yang tinggi. Ia akan menjamin masa hadapan keluarga yang telah ditinggalkan.
Adalah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk memastikan waris dalam keadaaan selesa
Keluarga adalah aset terpenting yang dimiliki oleh seseorang. Setelah pemergian kita, sudah tentu kita ingin memastikan keluarga kita hidup dalam keadaan yang selesa dan tak berpecah-belah. Kita tidak mahu keluarga kita hidup dalam bebanan hutang atau terpaksa diusir dari rumah sendiri. Perkara ini dapat diatasi dengan melanggan produk perlindungan kewangan seperti insurans nyawa. Apabila kita telah melanggan mana-mana produk perlindungan kewangan, kita harus pastikan perlindungan ini memiliki pemegang amanah yang baik untuk menguruskan harta setelah pemergian kita.
Kalau korang berminat untuk melanggan produk perlindungan nyawa dari Allianz Malaysia Berhad, korang bolehlah pergi ke website rasmi mereka. Korang boleh je tanyakan sebarang kemusykilan kepada mereka sebelum melakukan apa-apa langganan. Adakah korang rasa wasiat dan melantik pemegang amanah yang berkaliber mampu menyelesaikan isu pergaduhan di antara keluarga?