Antara lawak pasal ejen insurans yang kita selalu dengar adalah berhati-hati dengan rakan yang tiba-tiba nak belanja kita makan, kemungkinan dia nak jual insurans kat kita. Ayat ni menunjukkan ada sesetengah masyarakat kita yang skeptikal tentang insurans. Situasi ni mungkin berlaku kerana ada yang tak faham tentang konsep insurans sebagai perlindungan ketika ditimpa musibah. Yalah, ada ke orang yang bangun pagi terfikir nak beli insurans kan?
Ramai yang tak tahu konsep insurans terawal adalah berkaitan dengan barang penghantaran, kerana kargo selalu hilang, rosak atau dicuri. Untuk atasi masalah ni, pengurangan risiko menggunakan kaedah penyatuan risiko, pindahan risiko kepada peminjam wang dilakukan. Nampak tak konsep insurans ni macam mana? Ia digunakan untuk membantu kita pada “hari-hari malang” yang kita tak pasti bila akan terjadi.
Untuk insurans nyawa pulak, bukti awal mengenai insurans nyawa datang dari Mesir. Pada tahun 2,500 SM, masyarakat kumpulkan wang diorang untuk biayai pengebumian mana-mana ahli masyarakat yang meninggal dunia. Pada abad ke-3 SM pulak, Yunani dan Rom mula bentuk masyarakat yang tawarkan bentuk awal insurans hayat. Insurans ni akan bayar perbelanjaan pengebumian anggota masyarakat, dan sesekali bagi bayaran kepada keluarga yang meninggal dunia.
Kat Malaysia pulak, industri insurans bermula pada abad ke-18. Industri insurans masa tu berdasarkan sistem British sebab diperkenalkan dan dikendalikan oleh syarikat dan agensi perdagangan Britain. Cuma sedikit je penduduk tempatan yang terlibat dengan industri ni masa tu, sebabnya diorang takde kepakaran.
Ada laporan yang mengatakan 85% rakyat Malaysia takde apa-apa perlindungan takaful atau insurans
Salah satu soalan terpenting yang perlu dijawab ketika bercakap tentang isu insurans; berapa banyak orang di Malaysia ni yang sebenarnya ada insurans? Macam yang kami kata awal-awal tadi, takde orang yang bangun pagi terfikir nak beli insurans. Cuba fikir elok-elok, dalam satu hari, berapa kali kita fikir tentang kebarangkalian kita akan dikunjungi musibah atau masalah? Selalunya kita cuma akan pening kepala apabila musibah atau masalah tu dah jadi, tanpa ambil langkah berjaga-jaga sebelum ia berlaku.
Faktor ni kami rasakan merupakan faktor utama mengapa masih ramai rakyat Malaysia takde insurans. Pada tahun lepas, ada laporan yang mengatakan kesedaran yang rendah terhadap kepentingan insurans di Malaysia terbukti kerana kira-kira 85 peratus penduduk masih lagi takde perlindungan takaful atau insurans yang secukupnya ketika berlaku kecemasan. Apabila ada kecemasan, barulah diorang akan mula tertekan akibat takde perlindungan.
Kenyataan ini selari dengan laporan Berita Harian yang mengatakan kadar penembusan produk insurans konvensional dan takaful di Malaysia masih rendah dan jauh daripada sasaran yang ditetapkan. Dalam laporan tu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd (Allianz Malaysia), Zakri Khir kata, kadar polisi yang dicatatkan ketika ini di bawah 40 peratus dan jauh berbeza dengan kebanyakan negara serantau.
“Ini kerana, ramai yang risau mengenai kesihatan tetapi jumlah itu juga masih rendah dan jauh dari sasaran. Pengguna di Malaysia ini kurang peka untuk ambil tahu mengenai kepentingan memiliki polisi insurans. Malah, program pelan perlindungan Takaful dan insurans yang mampu milik di bawah naungan Bank Negara Malaysia (BNM) juga masih rendah walaupun kadar polisinya murah berbanding polisi perlindungan lain,” – Zakri Khir, seperti yang dilaporkan Berita Harian pada 25 Julai 2019
Ramai yang tak tau sebenarnya ada dua jenis insurans di pasaran, bukan sejenis je
Apabila bercakap tentang insurans, ada banyak jenis insurans yang boleh didapati di pasaran. Cuma secara mudah ia boleh dibahagikan kepada dua, iaitu insurans hayat dan am. Hahh…mesti ada yang baru tahu tentang benda ni kan? Sebab itu kami kata, sebelum korang tanam stigma tentang insurans, korang kena faham dulu jenis insurans yang mudah ni. Okay, mari kami terangkan.
Kita mulakan dengan insurans hayat (nyawa) dulu. Bagi mereka yang tak tahu, insurans hayat ni bertujuan untuk melindungi kewangan keluarga sekiranya korang meninggal dunia. Ia boleh bantu mereka yang kita tinggalkan untuk menyara hidup, walaupun kita dah takde. Wang jaminan dari insurans hayat ni akan dibayar kepada penama yang ada pada insurans tu. Ia juga menawarkan tanggungan kewangan bagi mereka yang tak mampu bekerja disebabkan kecacatan akibat kemalangan atau penyakit kritikal. Malang tak berbau kan.
Untuk insurans am pulak, ia adalah polisi insurans yang akan lindungi korang dari sebarang kerugian atau kerosakan yang ditanggung, selain daripada risiko yang dilindungi insurans hayat. Selalunya, tempoh perlindungan untuk kebanyakan polisi dan pelan insurans am adalah setahun dan perlukan korang bayar premium secara sekali gus. Di antara kerugian yang dilindungi di bawah insurans am ni adalah harta benda; contohnya kecurian kereta atau kebakaran rumah. Selain tu, ada jugak insurans untuk kemalangan dan kesihatan.
Memahami kedua-dua jenis insurans ni penting untuk korang mula berbual pasal insurans atau tak kena “game” oleh orang yang tak bertanggungjawab. Korang kena faham betul-betul terma dan syarat yang dikenakan sebelum korang mula ambik apa-apa jenis insurans. Apa yang pasti, ia diperlukan dalam kehidupan seharian kita, sebab kita tak tahu bila kita akan ditimpa musibah. Macam yang kita selalu diajar kat sekolah lah, sediakan payung sebelum hujan, nanti basah kuyup.
Sebelum lakukan apa-apa pembelian insurans, korang kena lakukan kajian mendalam dulu
Kami harap melalui artikel ni korang dapatlah faham sedikit sebanyak tentang apa benda tu insurans dan bagaimana ia boleh bantu kita dalam situasi yang memerlukan. Apa yang paling penting, lepas ni korang boleh mula buat kajian tentang jenis-jenis pakej insurans yang ada di Malaysia. Lepas lakukan kajian yang teliti dan dengar nasihat daripada ejen insurans yang boleh dipercayai, korang bolehlah sediakan bajet untuk beli. Jangan risau, lepas ni kami akan tulis lebih banyak lagi tentang insurans.