Rakyat Malaysia berkemahiran tinggi, majikan senang je nak cari pekerja. Tapi kerja takde…

F1
Rakyat Malaysia berkemahiran tinggi, majikan senang je nak cari pekerja. Tapi kerja takde…

Pernah tak anda terfikir sebenarnya kedudukan Malaysia sekarang ni macam mana? Tahun 2020 akan berakhir dalam masa beberapa bulan lagi, dan kita pun tak pasti macam mana pencapaian negara kita selepas ini. Pandemik COVID-19 dah menyebabkan banyak sektor ekonomi terjejas. Memandangkan baru-baru ini baru keluar laporan mengenai KDNK negara kita pada suku kedua tahun ini meyusut teruk, tapi kita boleh faham ianya disebabkan oleh tercetusnya Pandemik COVID-19. Iyalah, kita ber-PKP sampai 3 bulan lebih, hampir semua sektor ekonomi tak boleh jalan, kan?

Walaubagaimanapun, kita masih boleh lihat macam mana perkembangan dan pencapaian negara kita pada tahun lepas di peringkat global. Jadi, kali ini, kami nak kongsi secara ringkas tentang kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Global 2019 yang dikeluarkan oleh World Economics Forum (WEF).

Apakah faktor-faktor yang diambil kira dalam laporan ini?

Laporan Indeks Daya Saing Global 2019 ni bukan ambil kira satu atau dua faktor saja, Tapi kesemuanya ada 12 faktor utama yang ditekankan, dan faktor-faktor ini diletakkan dalam 4 kategori utama. Anda boleh rujuk pada rajah di bawah untuk setiap kategori dan faktor-faktor yang telah disebutkan tadi.

12 Pillars
via WEF

Untuk menilai keupayaan dan pencapaian sesebuah negara, secara kasarnya kita hanya merujuk kepada pertumbuhan KDNK setiap tahun. Tapi kita tak tahu secara terperinci, bagaimana sebenarnya kedudukan negara kita di peringkat global. Untuk laporan ini, 4 kategori ini memberi fokus kepada persekitaran dalam negara yang membantu pertumbuhan ekonomi, pasaran tempatan, sumber manusia dan ekosistem inovasi.

Malaysia berada pada tangga ke-27 daripada 141 negara di seluruh dunia pada tahun 2019

Menarik, bukan? Kita berada pada tahap 30 negara terbaik di seluruh dunia. Mari kita lihat pula carta di bawah untuk kedudukan negara kita dalam setiap kategori dalam laporan ini.

Malaysia Performance
via WEF

Memandangkan ruang dalam artikel ini tidaklah begitu besar, kami hanya akan mengulas beberapa faktor saja. Kalau anda perasan, kedudukan negara kita dalam sektor pasaran ekonomi sebenarnya sangat baik, berada di tangga 20 teratas. Kita juga mempunyai daya inovasi yang tinggi. Tapi faktor ini dilihat kurang seimbang. Faktor yang sepatutnya menyokong pasaran tempatan dilihat seolah-olah kurang membantu jika dilihat pada kedudukan dalam rajah di atas. Untuk itu, kami akan mengulas tentang 4 faktor sahaja iaitu Infrastruktur, Penerimaan ICT (ICT Adoption), Kemahiran (Skills) dan Pasaran Buruh (Labour Market).

Infrastruktur Pengangkutan di Malaysia tak teruk, tapi juga tak begitu bagus

Infra
via WEF

Orang putih cakap ‘so-so’ je. Menurut laporan ini, tahap penghubungan (connectivity) jalan raya kita hanyalah 40% sahaja. Maksudnya, tak lebih separuh jalan-jalan dalam negara ini mampu menghubungkan kita ke setiap tempat. Daripada 141 buah negara di seluruh dunia, kita berada pada tangga ke-133!

Tapi hanya faktor itu sahaja yang teruk. Lain-lain faktor seperti kualiti jalan raya, negara kita mempunyai kualiti jalan raya yang sangat baik, iaitu pada tangga ke-19. Selain jalan raya, pengangkutan awam seperti servis tren juga diambil kira. Negara kita hanya menumpukan servis tren di kawasan Lembah Klang (LRT, MRT, Monorail dan lain-lain). Jadi, seperti juga jalan raya, kepadatan laluan rel juga sangat rendah iaitu hanya 17.1% sahaja. Tapi, kadar efficiency servis tren agak tinggi juga. Kita berada pada tangga ke-13 di seluruh dunia!

Jadi dipendekkan cerita, jaringan pengangkutan kita tak luas, tapi untuk kualiti sistem yang ada, masih bagus.

Orang Malaysia pengguna online tegar, lebih 80% orang dewasa di Malaysia menggunakan internet

Biasa kita nampak tentera bawang Malaysia muncul dengan sangat ramai apabila ada isu yang menghina Malaysia, kan? Rupa-rupanya, lebih 80% orang dewasa di Malaysia merupakan pengguna Internet. Jadi, tak hairanlah kenapa ramai sangat bawang di media sosial sampai orang luar pun tahu macam mana perangai rakyat Malaysia di media sosial.

Internet
via WEF

Untuk bahagian ini, kita akan ulas mengikut kadar populasi. Dalam setiap 100 orang rakyat Malaysia, ada 116.7 pelanggan servis mobile broadband (data internet di telefon pintar). Eh, kenapa lebih 100? Berkemungkinan, satu orang melanggan lebih dari satu servis tersebut. Tapi, memang ada pengguna yang beli lebih daripada satu telefon pintar, kan? Jadi, tak boleh nak agak juga sebenarnya daripada 100 orang itu, berapa ramai sebenarnya yang memang melanggan servis ini. Kita berada pada kedudukan ke-19 sebagai pengguna mobile broadband paling ramai di dunia.

Rakyat Malaysia berkemahiran tinggi, majikan mudah nak cari pekerja cuma jawatan kosong yang kurang

Bahagian ini sangat penting untuk kita ambil tahu. Kadar pengangguran di Malaysia pada tahun lepas (2019) ialah sebanyak 3.4%. Dan kadar ini akan meningkat pasca COVID-19. Sekarang pun dah ramai hilang pekerjaan.

Skills
via WEF

Menurut laporan WEF ini, Malaysia berada pada tangga ke-11 daripada 141 buah negara yang paling senang nak cari pekerja berkemahiran. Bila ada orang berpendapat bahawa graduan universiti tak ada skills, sebenarnya pendapatnya tak tepat. Kadar kemahiran graduan kita sangat bagus, iaitu pada tangga ke-17 terbaik di dunia! Lebih menarik, seiring dengan kadar pengguna Internet yang tinggi juga, kemahiran digital dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tangga ke-10 terbaik di dunia!

Tapi kita juga tak boleh nafikan, kemahiran vokasional di Malaysia juga sangat bagus, iaitu pada tangga ke-12 paling tinggi di dunia. Memang tak pelik dan ajaib pun kalau majikan di Malaysia senang sangat nak dapatkan pekerja berkemahiran. Tapi, dari sudut latihan dalam industri pun, majikan kita bagus juga. Untuk itu, kita berada pada tangga ke-8 paling tinggi di dunia.

Haa, berapa banyak perkataan ‘paling tinggi di dunia’ yang kita dah sebut?

Soalnya, mengapa penggangguran masih tinggi? Hal ini disebabkan jawatan kosong yang kurang. Bukan salah graduan, bukan juga sebab kualiti, bukan juga sebab majikan memilih, tapi keupayaan untuk mengambil pekerja itu yang merupakan masalah besar. Adakah pendapatan dari perniagaan di Malaysia tak mampu nak wujudkan peluang pekerjaan yang tinggi?

Rakyat kita sangat produktif, tapi Hak Pekerja tidak setara dengan produktiviti

Produktiviti
via WEF

Adalah sesuatu yang sangat menyedihkan dalam laporan ini ialah betapa produktifnya pekerja di Malaysia! Pekerja di Malaysia merupakan paling ramai yang produktif iaitu ke-6 paling produktif di dunia! Sayang sekali, hak pekerja kita dilaporkan berada pada tangga ke-57! Padahal, dari sudut polisi dalam negara, polisi negara kita berada pada tahap yang tinggi, iaitu pada tangga ke-16 terbaik di dunia. Entah mengapa, Hak Pekerja di Malaysia tidak setara pula.

Dari sudut fleksibiliti pula, kita tak berapa susah nak ‘kawtim’ bab-bab gaji ni. Tahap fleksibiliti minta gaji ini, kita berada pada tangga ke-35 di dunia. Ironinya, walaupun produktif,  majikan di Malaysia antara paling tinggi suka ambil buruh dari luar. Majikan di Malaysia menduduki tangga ke-19 paling senang ambil pekerja luar. 

Tapi nak kata majikan di Malaysia tak bagus pun, tak boleh juga. Laporan ini menunjukkan hubungan majikan dengan pekerja sangat baik (ke-14 terbaik di dunia) dan mereka juga melaksanakan praktis terbaik dalam pengambilan dan pemberhentian pekerja (ke-10 terbaik di dunia).

2019 membuktikan negara kita cemerlang di peringkat global, moga dapat atasi krisis Covid-19

Laporan ini membuktikan negara kita antara 30 yang terbaik di dunia dari sudut pertumbuhan ekonomi. Walaubagaimanapun, kita harus akui juga bahawa keadaan negara kita tidak menjamin peluang pekerjaan kepada segenap rakyatnya yang berkemahiran tinggi. Banyak lagi faktor yang anda boleh baca secara sekilas lalu dalam laporan ini. Memandangkan ruang yang terhad, kami tidak dapat mengulas secara keseluruhannya dan terpaksa memilih beberapa point penting sahaja.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top