Pakar kewangan Azizi Ali jelaskan isu gaji dan sikap boros, ini rupanya terjadi

duit gaji 1200 boros

Isu gaji ni isu yang sensitif kat Malaysia. Bertahun-tahun lamanya, kita dah bincang pasal isu gaji ni. Sebelum ni, ramai jugak yang hanya tau salahkan pekerja je. Kenyataan-kenyataan orang politik jugak selalunya bernada nak lindungi para majikan ni daripada kritikan dalam pelbagai aspek, seperti isu masalah gaji dan kesukaran graduan dapat kerja. Namun perlahan-lahan, naratif tu berubah apabila kita dah semakin kerap membicarakan dan menemukan kelemahan kerajaan sendiri dalam isu tersebut.

Sekarang ni, isu yang sama jugak kembali timbul. Orang dah sedar apa sebenarnya akar punca isu gaji ni, jadi bila nak kembali tukar kenyataan nak salahkan pekerja, tentulah akan mengundang reaksi ramai. Perkara ni, malangnya, terjadi seolah disengajakan kerana nak tarik perhatian orang je. Baru-baru ni, sorang pakar kewangan dipetik keluarkan kenyataan bahawa sikap boros punca gaji RM1,200 tak cukup. Sedangkan pakar kewangan tu rupanya salah faham soalan….

simpan duit
Via Money Compass

Gaji penjawat awam lebih rendah dari purata pendapatan isi rumah kasar, diorang bakal berdepan krisis kewangan yang teruk

Dalam satu artikel yang kami berjaya temui disalin dari seorang pengguna forum Cari.com.my, kakitangan awam yang terima gaji minimum RM1,200 bakal berhadapan dengan krisis kewangan yang teruk terutamanya jika tinggal di sekitar Lembah Klang. Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff kata, gaji pokok penjawat awam yang diterima ketika ni lebih rendah daripada purata pendapatan isi rumah kasar yang direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020 iaitu sebanyak RM7,089.

“Selain itu, gaji permulaan kakitangan awam juga berada di bawah Pendapatan Garis Ke­miskinan negara iaitu sebanyak RM2,208. Jumlah itu juga jauh lebih rendah daripada purata per­belanjaan isi rumah terutama di Selangor (RM5,830), Kuala Lumpur (RM6,913) dan Putrajaya (RM7,980)”- dilaporkan oleh Kosmo dan dipetik dari Cari.com.my

Setakat ni takde masalah lagi. Namun bila diteruskan pembacaan, tiba-tiba pulak nama sorang pakar kewangan, Azizi Ali timbul. Di sinilah orang dah mulai marah-marah dan kecam Azizi Ali ni kerana jawapan balasnya seolah mempertikaikan dan memperkecilkan isu gaji tak cukup. Azizi Ali didakwa menyatakan sikap boros berbelanja menjadi salah satu kepada penyumbang punca gaji minimum RM1,200 yang diterima penjawat awam pada setiap bulan tu tak cukup.

Gaji bulanan yang diterima jugak dikatakan tak diuruskan dengan baik serta teliti sehingga ada yang terpaksa buat dua kerja, berhutang dan ikat perut. Dia dipetik;

“Perbelanjaan secara tidak berhemah dan melebihi kemampuan ini berpunca daripada tidak mempunyai ilmu pengurusan kewangan yang mencukupi. Mereka yang berbelanja secara berlebihan harus mempu­nyai disiplin dan belajar cara urus kewangan dengan baik,..

Pengurusan kewangan perlu dikawal dengan teliti bermula dari sekarang. Sampai bila perlu melakukan dua pekerjaan. Sehingga umur pencen?’”- seperti yang dipetik dari artikel Cari.com

pendapatan bawah 2k miskin
Via Facebook

Dalam berjela panjang tu, ada dua perkara yang menimbulkan reaksi marah. Pertama, kenyataan tu nak kata gaji minimum RM1,200 tu dah cukup untuk hidup dan tak perlu diteliti lagi, sebaliknya pengurusan kewangan tulah yang perlu diperbaiki. Kenyataan kedua pulak, berkenaan isu dua kerja ni. Dulu masa zaman BN memerintah negara, Ahmad Maslan pernah jadi duta promosi kempen dua kerja ni. Sedangkan kat negara lain, diorang mantapkan dulu sektor utama dan perbaiki kualiti hidup sehingga rakyatnya hanya perlu 1 kerja je.

Azizi Ali mengaku ada berlaku salah faham lepas tiba-tiba diajukan soalan, lepas ni lebih hati-hati keluarkan kenyataan

Memandangkan artikel tu nampaknya tak dapat lagi dicapai, maka kami ambil je sumbernya daripada salinan sorang pengguna forum Cari.com. Sehari selepas artikel tersebut disiarkan dan tular bagai api, Azizi Ali menerusi halaman Facebooknya menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku sehingga dia keluarkan kenyataan pasal sikap boros tadi tu. Ceritanya bermula seperti ni;

aziziali
Azizi Ali ni memang terkenal sejak awal 2000-an lagi.. -Via Teknik Pelaburan Emas

Beberapa hari sebelum kejadian, dia terima satu panggilan telefon daripada sorang wartawan akhbar tempatan dan jelaskan tujuan dia menelefon tu adalah untuk dapatkan pandangan peribadinya tentang gaji penjawat awam yang rendah dan boros berbelanja. Mulanya dia pun rasa pelik kerana wartawan selalu akan emelkan dulu soalan supaya dia dapat berikan jawapan yang menyeluruh. Tapi dia pun bersangka baik je lah, mungkin kali ni wartawan tu perlu jawapan pantas.

Wartawan tu buat kenyataan yang “pendapatan penjawat awam adalah serendah RM1,200 sebulan dan mereka menghadapi masalah kewangan kerana boros berbelanja’. Awalnya, Azizi Ali ni mengaku dia tak tau sangat tentang kenyataan tersebut dan minta wartawan tu jelaskan sikit. Wartawan tu pun ulang kenyataan tu beberapa kali. Bagi kami, tu bukanlah menjelaskan, sebaliknya nak bagi idea kat Azizi Ali agar dia dapat hujah yang mengiyakan kenyataan tersebut walaupun tak tau ianya betul atau salah.

penjelasan azizi ali
Penjelasan Azizi Ali terhadap isu gaji dan sikap boros.. -Via Facebook

Tu jugak selanjutnya terjadi kat Azizi Ali. Oleh sebab kenyataan tu diulang beberapa kali; maknanya Azizi Ali sekadar memberi respon tentang kenyataan tu je. Kaitan gaji rendah dan sikap boros tu awalnya adalah idea wartawan tersebut. Jadi sebagai mentor kewangan, Azizi Ali pun beri je lah solusi untuk orang yang boros berbelanja, tak hanya kepada penjawat awam mahupun orang bergaji RM1,200. Solusi yang disebutkannya:

  • Tambahkan ilmu kewangan dan pelaburan dengan membaca dan merujuk akaun media sosial yang relevan
  • Tambahkan pendapatan
  • Tambahkan disiplin diri
simpan duit2
Orang kaya pun boleh mufls kalau tak pandai urus duit.. -Via Keluarga.my

Malangnya, apa yang jadi pula adalah artikel yang tersiar tu pulak mengaitkan pandangan tu kepada keseluruhan kenyataan seolah-olah dari awal lagi Azizi Ali ni bersetuju sikap boroslah punca utama semua orang bergaji rendah ni tak cukup duit. Akhirnya yang dikecam bukanlah wartawan tu; Azizi Ali yang kena kecam pulak. Media yang siarkan dapat nama sebab tular dan dapat banyak pembaca untuk sesebuah artikel tu.

Sambung Azizi Ali lagi, selepas ni dia akan lebih berhati-hati khususnya bila ada wartawan lain minta pandangannya. Dia akan minta emelkan soalannya terlebih dahulu. Jika diorang minta pandangan menerusi telefon pulak, dia akan rekod semua perbualan. Mengakhiri hantaran penjelasan di Facebook miliknya, dia memohon maaf kepada semua yang rasa kurang senang dengan artikel tersebut.

azizialifb
Antara cadangan yang bernas.. -Via Facebook

Kami harap kes ni tak berlaku lagi kerana pada akhirnya, yang rugi adalah para pembaca jugak. Para pembaca yang pernah baca sesuatu kandungan yang sebenarnya tak betul, akan menyebarkannya kepada orang lain, lalu jadi kenyataan benar pulak untuk sesetengah yang lain. Kami di ORANGKATA sentiasa menjaga integriti dan tak hanya ‘memancing’ perhatian pembaca dengan khabar-khabar yang tak benar, apatah lagi berdasarkan satu kenyataan disulami niat tak lebih dari sekadar nak untungkan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *