Kepada yang telah menyaksikan filem “Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal”, pasti dapat melihat kisah pengembaraan pasangan kembar popular ini ke sebuah kerajaan bernama Inderaloka, selepas menemui sebilah keris dalam bilik stor.
Pengembaraan ini akhrinya membawa mereka bertemu pelbagai watak dan cerita dongeng popular tempatan, antaranya Mat Jenin, Si Tanggang, Batu Belah Batu Bertangkup, Bawang Putih Bawang Merah dan Nujum Pak Belalang. Bukan sahaja memberi ‘tribute’ kepada karya-karya Tan Sri P. Ramlee, malah dengan inspirasi ala “The Chronicles of Narnia” – kanak-kanak dari dunia moden yang masuk ke dalam satu alam kerajaan yang sedang ditawan oleh watak jahat, naskah hebat ini menerima pujian banyak pihak tanpa mengira lapisan umur.
Sebenarnya Raja Bersiong ni ada beberapa versi filem
Kerajaan Inderaloka dalam filem tersebut ditawan oleh satu watak jahat bernama ‘Raja Bersiong’. Raja Bersiong pernah diangkat menjadi filem pada 1963 dan 1968. Filem Raja Bersiong merupakan naskah yang diterbitkan buat kali pertama di Singapura (yang ketika itu merupakan sebahagian dari Persekutuan Tanah Melayu/Malaya) pada tahun 1963.
Filem Raja Bersiong versi sulung diarahkan oleh Ramon A. Estella, dan diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna. Seniwati Maria Menado yang membuat kelainan apabila menjadi wanita pertama menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri, Maria Menado Productions, yang menerbitkan filem Siti Zubaidah (1961) and Raja Bersiong (1963).
Versi kedua pula menampilkan pengarah Jamil Sulong pada 1968. Untuk filem versi tahun 1968, sinematografinya dalam filem berwarna terbitan Malay Film Productions Ltd. Filem Melayu klasik ini adalah lakonan Ahmad Mahmud, Sarimah, Nor Azizah, Zaiton, Aziz Jaafar, Normadiah, Ibrahim Pendek dan Omar Suwita. Raja Bersiong digambarkan sebagai seorang yang dahagakan darah kerana kecuaian tukang masaknya menitiskan darah ke dalam masakan.
Ia mengisahkan Raja Ong Maha Perita Deria, pemerintah Negeri Kalaha. Karya ini merupakan sebuah filem epik bergenre sejarah cetusan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Almarhum), Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Pembikinan filem ini menelan belanja sebanyak RM750,000, iaitu 10 kali ganda lebih tinggi berbanding filem-filem Malaysia pada zaman tersebut.
Namun, filem ini tidak ditayangkan di kaca TV kerana dikatakan menyentuh sensitiviti masyarakat. Malangnya, filem ini gagal mencapai tahap ‘box-office’, sehingga memaksa Shaw Brothers menutup Studio Malay Film Productions.
Asal-usul hikayat Raja Bersiong yang ramai tak tahu
Terdapat pelbagai versi tentang kisah Raja Bersiong, sama ada yang dicatat di dalam hikayat, mahupun yang diceritakan secara lisan, dari mulut ke mulut. Tatkala ramai yang melihat kisah Raja Bersiong sebagai sebuah mitos, ramai juga pengkaji yang cuba menggali cerita di balik nama yang sangat dekat dengan kita ini. Dari sisi sejarah, selain menggunakan warna merah sebagai bendera negeri, Kedah dan Kelantan mempunyai susur galur ikatan sejarah yang kuat, juga dekat dengan pengaruh Siam.
Di dalam Hikayat Seri Kelantan (1915) dan Hikayat Merong Mahawangsa (1136) ada disebut berkenaan anak-anak Raja Bersiong (Raja Phra Ong Maha Perita Deria) iaitu Raja Sakti 1 dan Raja Phra Ong Mahapudisat. Raja Bersiong juga sering dikaitkan dengan Raja Buluh Betong (dikatakan cucu Raja Bersiong) serta Raja Jembal di Kelantan, memandangkan gelaran Raja Jembal ni adalah Raja Wijaya Indra Long Betong. Di dalam ‘Royal Ark’, dinyatakan bahawa Raja Bersiong juga digelar sebagai Sri Paduka Maharaja Dharmaraja I.
Raja Bersiong juga digambarkan sebagai raja keempat daripada keturunan Merong Mahawangsa dan cukup sinonim dengan Baling, Kedah, yang bersempadan dengan Perak dan beberapa kawasan di sana. Nama ‘Kuala Ketil’ dikatakan berasal daripada perbuatan Raja Bersiong iaitu ‘kutil’ atau ‘cabut’ kerana cubaan mencabut siungnya yang sakit ketika melarikan diri. Kemudian, tempat di mana baginda memegang siongnya ketika menyelamatkan diri, dinamakan ‘Kuala Pegang’.
Ingat lagi tak ada filem yang bertajuk Hikayat Merong Mahawangsa?
Apabila tiba di satu kawasan, Raja Bersiong cuba menanggalkan giginya yang sakit itu dengan memulas siungnya sehingga tercabut. Perkataan ‘pulas’ itu kemudiannya dikatakan menjadi asas kepada nama ‘Pulai’. Dikatakan kerana terlalu sakit, Raja Bersiong memulas keluar kedua-dua siungnya, sebelum membalingnya jauh ke suatu tempat yang kini dikenali sebagai ‘Baling’.
Nama Weng dikatakan diambil daripada bunyi kelajuan yang dihasilkan oleh gigi yang dibaling itu. Kononnya, apabila suing itu dibaling, sebelah bukit runtuh, lalu dinamakan ‘Bukit Sebelah’. Akhir sekali, gigi itu jatuh di satu kawasan yang kini dikenali sebagai ‘Siung’.
Ada juga kisah di mana Raja Bersiong dikatakan terlalu gemar makan bayam bersama darah manusia, sehingga dikejar oleh rakyatnya, sebelum melarikan diri ke Selama, Perak, sehingga tempat itu dinamakan sebagai ‘Kota Raja Bersiong’, Ijok.
Para pengkaji sejarah nafikan kewujudan Raja Bersiong
Namun, para pengkaji sejarah menafikan dakwaan lisan yang mendakwa kewujudan Raja Bersiong. Istana lama dan terbiar berusia lebih 100 tahun di Taman Tabung Haji, Bukit Tinggi, Kepala Batas yang didakwa milik Raja Bersiong, sebenarnya adalah kepunyaan Tunku Dhiauddin ibni Sultan Zainal Rashid atau lebih dikenali sebagai Tunku Kudin, Raja Muda Kedah ketika pemerintahan abangnya, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada 1854 hingga 1879.
Batu nisan di Kampung Seberang Tok Soh Pinang Tunggal, Kuala Muda juga dikatakan milik raja berkenaan. Tetapi, berdasarkan kajian, ia sebenarnya adalah milik seorang ulama’ silam.
Nama ‘Pulai’ sebenarnya berasal daripada nama sejenis pokok, iaitu pokok pulai, dan mempunyai beberapa jenis seperti Pulai Basong, Pulai Lilin, Pulai Penipu Paya dan Pulai Penipu Bukit. ‘Baling’ pula berasal daripada perkataan Siam iaitu ‘Ban’ (kampung) dan ‘Ling’ (kera), yang berkait dengan pengaruh Siam di sana, semenjak dulu.
Pandangan yang paling popular menyatakan bahawa kisah Raja Bersiong hanyalah perlambangan kepada seorang raja yang zalim. Sama ada ianya hanya satu mitos atau kisah benar, legenda kezaliman Raja Bersiong meminum darah manusia, akan terus menarik perhatian para peminat sastera dan sejarah tanah air. Sudah tentu kisah raja ini bersalut tebal dengan lumut-lumut mitos.
Tetapi yang lebih utama adalah untuk kita memelihara tinggalan pusara serta binaan silam (khususnya istana dan rumah ibadat) yang sangat tinggi nilai khazanahnya. Jika kapal Portugis dan Kota A Farmosa boleh kita bina dan pelihara, apalagi tinggalan nenek moyang yang sangat berikat dengan tamadun serta akar bangsa.