Jenama-jenama fesyen seperti H&M, Nike dan Adidas ni merupakan jenama yang begitu dikenali seluruh dunia. Kat Malaysia, ramai je yang tetap akan bertandang ke stor-stor rasmi jenama ni sambil cuci mata nak tengok kalau ada promosi ke tak. Populariti jenama-jenama ni jugak berjaya memenangi hati para pembeli di China sendiri. Meskipun China boleh dikatakan sebagai antara pusat pembuatan produk dari jenama ni, ternyata ego syarikat-syarikat berjenama ni pun tinggi jugak.
Ego tinggi ni kadangkala ada kebaikan; orang masih boleh terima dan hormat. Tetapi apa yang jadi baru-baru ni membuatkan China boikot habis syarikat-syarikat jenama ni di China, dan berkemungkinan merosakkan hubungan antara negara pembuat dengan negara yang setakat bijak memasarkannya ke seluruh dunia. Ia jadi perbualan hangat para peniaga, sekaligus menutup periuk nasi syarikat ni di China.
H&M dikecam teruk kerana dikatakan “makan nasi orang China tapi pecahkan mangkuk orang China yang lain”
Sudah terang lagi bersuluh, apabila korang nak syarikat korang tu terus berjaya dan disokong oleh semua negara… korang kena sedikit sebanyak tau jugak perihal politik dunia dan bagaimana korang boleh ambik kesempatan dengan perkembangan tersebut. China dan Amerika Syarikat ni adalah musuh setanding dalam dunia perniagaan, sehinggakan perang perdagangan tu terus berjalan dari satu Presiden ke Presiden Amerika Syarikat yang lain.
Dari satu sisi lagi, kita kena sedar bahawa syarikat-syarikat jenama dari Barat ni ada kecenderungan untuk pro jugak kepada Barat. Ni termasuklah keberpihakan diorang dalam isu Xinjiang. Isu penindasan Uyghur di Xinjiang ni begitu menyayat hati kita sebagai sebahagian daripada ummah Muslim yang lebih besar, dan sebagai sorang manusia yang amat memerlukan jaminan keselamatan dan masa depan yang lebih baik untuk hidup. Keberpihakan ni memang penting, bahkan menjadi antara nilai penarik agar para pengguna terus setia nak beli produk syarikat-syarikat ni.
Susulan kritikan ke atas China yang bertalu-talu dilemparkan dari media asing, ramai di Barat menyeru agar kerajaan-kerajaan diaorang buat sesuatu untuk menekan China lebih kuat khususnya berkenaan dakwaan kem tahanan dan pembunuhan genosid yang berlaku di Xinjiang. Seruan ni dah lama dan amat jelas, tetapi ia masih lagi cuma didendangkan di peringkat politik antarabangsa je lah.
Seruan ni tak kacau sangat pun kehendak pasaran dan perniagaan seharian diaorang sangat pun. Sampailah kenyataan terbuka H&M baru-baru ni dilihat mengundang kecaman ramai. H&M kata akan berhenti gunakan kapas dari Xinjiang disebabkan ada laporan berlakunya unsur penggunaan tenaga buruh paksa dalam proses pengeluaran kapas tersebut.
Kenyataan tersebut dikeluarkan dalam laman sesawangnya yang tak bertarikh, namun ia tetap memuncakkan reaksi negatif dalam kalangan rakyat. Media kerajaan China menyelar tindakan H&M, sehinggakan ada sorang pengacara berita ni dakwa syarikat-syarikat Barat ni senang je nak ‘makan nasi China sambil pecahkan periuk nasinya’. Ramai jugak yang kata benda ni tindakan hipokrit dari syarikat-syarikat Barat, dan tentulah rakyat China termasuklah artis-artis negara tersebut menarik diri dari bekerjasama dengan syarikat-syarikat berjenama yang kritik pasal Xinjiang.
Walaupun Xinjiang dah lama jadi tumpuan import kapas, tetapi isu buruh masih lagi berleluasa di bawah nama syarikat-syarikat jenama besar
Xinjiang sememangnya kawasan pengeluar kapas berkualiti yang menguntungkan bagi China. 22.4% daripada keperluan kapas yang diperdagangkan di dunia pada tahun 2019 adalah dari China, dengan purata sebanyak 5.91 juta ton pada 2020. Oleh sebab keuntungan yang banyak dari industri kapas ni, China Cotton Industry Alliance (CCIA) kata diorang nak sasarkan rantaian kapas yang berkualiti tinggi dan menafikan wujudnya usaha buruh paksa di sana.
Tindakan H&M ni turut diikuti oleh beberapa jenama popular lain seperti Nike dan Adidas. Mengikut analisis beberapa orang usahawan besar di sana, tindakan ni akan memakan diri syarikat-syarikat besar ni disebabkan diorang masih bergantung kepada pasaran di China. Dunia melihat penurunan nilai saham dalam ketiga-tiga jenama tersebut, lalu dijadikan hujah bahawa sekiranya syarikat-syarikat besar ni tak pertimbangkan semula strategi diorang, boleh jadi ia akan terus menguncup di China.
“Penurunan nilai saham syarikat-syarikat ini cuma sedikit sahaja jika dibandingkan dengan kerugian mereka di masa depan. Dan nilai jenama syarikat Barat ini biasanya diukur dari segi potensi pertumbuhan mereka, jadi ia mungkin akan berkurang separuh dalam tempoh lima tahun lagi sekiranya mereka tidak ingin memperbetulkan diskriminasi mereka terhadap China”-Zhang Yi, CEO iiMedia Research, seperti yang dilaporkan oleh Global Times
Walaupun syarikat-syarikat ni boleh tuding jari ke atas polisi Barat yang nak tekan China atas isu Uyghur di Xinjiang, diorang ni pun sebenarnya talam dua muka jugak. Sebelum ni, syarikat-syarikat ni didakwa banyak terlibat dalam isu buruh di negara membangun. H&M takdelah beretika sangat sebagaimana yang cuba ditonjolkan, apabila pada 2018, syarikat tersebut didakwa tak jaga kebajikan para pekerjanya di kilang-kilangnya serata Asia Tenggara.
Nike pulak dah lama didakwa tak jaga kebajikan para pekerjanya, dan turut terlibat dalam penggunaan buruh kanak-kanak. Begitu jugak dengan Adidas. Fakta dan dapatan lalu seperti ni begitu mudah didapati kat Internet, jadi ramai jugak melihat tindakan ni lebih kepada tindakan politikal je berbanding tindakan berasaskan etika kemanusiaan. Ramai antara rakyat tu berpendapat syarikat-syarikat ni macam sama je lah dengan kebanyakan orang luar yang selalu fikir buruk pasal negara mereka, jadi diorang secara terbuka nak boikot barang-barang berjenama ni.
Setakat ni, semua produk H&M ditarik keluar dari laman web perniagaan terbesar di China seperti Taobao. Selain dari artis dan tokoh pempengaruh yang dibayar untuk jadi duta syarikat kat China tarik diri, tuan-tuan penyewa kedai-kedai berjenama ni pun sanggup usir keluar mana-mana cawangan H&M dan sedozen syarikat Barat yang ikut jejak H&M tu. Adakah ni suatu kesilapan yang dapat diperbetulkan kelak? Bersama-samalah kita menanti perkembangannya lepas ni.