Dalam hidup ni, bolehlah dikatakan kita pernah hilang sesuatu. Kadang-kadang tu kita hilang hati kita sebab berikan hati dan perasaan pada orang yang salah. Bukan main romantis kan? Okay, berbalik kepada bab hilang barang ni, ia memang akan menyakitkan hati kita, lebih-lebih lagi kalau barang yang hilang tu sebenarnya penting dalam hidup kita.
Kalau benda tu mahal pulak, habislah poket jadi nipis. Takpe, bak kata pepatah; patah tumbuh hilang akan berganti. Biasalah tu hilang sesuatu, janji jangan hilang pedoman ye. #sentap
Jepun simpan 900,000 barangan kat Lost and Found diorang…
Selalunya benda kalau hilang kat Malaysia, kita boleh ‘halalkan’ je lah, sebab kebarangkalian nak jumpa barang tu balik pun susah. Kalau barang yang hilang kata masjid pun susah nak cari, apa lagi benda-benda lainkan? Cuma ada satu negara ni kalau korang hilang barang, korang tak payah nak risau sangat, sebab selalunya akan dapat semula. Tak lain tak bukan, Jepun.
Kalau korang tertinggal telefon bimbit kat dalam kereta api di Jepun, peluang untuk benda tu dijumpai semula adalah lebih 90 peratus. Mungkin ada yang kata tak logik, tapi benda tu memang berlaku kat sana, korang cuma perlu ke kaunter ‘lost & found’, dan selalunya akan dapat balik.
Kalau ikut laporan The Vocket dan coretan dari Facebook Zunita Ramli, pada 2017, kaunter ‘Lost & Found’ simpan lebih 900,000 barang yang tidak dituntut termasuk dompet, iPhone, cermin mata gelap dan macam-macam lagi.
Kebiasaannya pada hari hujan, secara purata sebanyak 3,000 kaki payung tertinggal dijumpai kat bandar Tokyo.
Bukan setakat simpan barang yang hilang, diorang jugak berusaha untuk cari pemilik.
Oleh sebab benda tu, kerajaan Jepun bina pusat penyimpanan barang tak dituntut dengan keluasan 660 meter kaki persegi yang hanya menyimpan payung sahaja.
Disebabkan jumlah bilangan barangan tidak dituntut semakin hari semakin meningkat, pusat penyimpanan ‘Lost & Found’ terpaksa diubah suai menjadi bangunan enam tingkat hanya untuk simpan barang yang tak dituntut.
Kalau ikut laporan The Japan Times, barangan seperti cermin mata, kunci, duit dan beberapa barang lagi sering ditemui oleh polis dan nilaian boleh mencecah jutaan ringgit setiap tahun.
Selain simpan barang yang hilang, ada pelbagai kaedah atau langkah diambil oleh kerajaan bagi mengurangkan barang tak dituntut. Antara langkah;
1. Hubungi ahli keluarga atau tuan punya
Kalau diorang ada maklumat keluarga kat dalam dompet atau telefon yang tertinggal, pihak polis akan hubungi keluarga atau tuan punya badan. Tetapi terdapat juga kes walaupun telah dihubungi, masih tak dituntut. Ini menjadikan bilangan barang yang tidak dituntut semakin meningkat.
2. Jualan ‘Tetsudou Wasuremono’
Jika setelah beberapa jangka masa yang lama dan barang masih lagi tak dituntut, pihak ‘Lost & Found’ akan buat jualan yang dipanggil ‘Tetsudou Wasuremono’ atau ‘barangan yang terlupa di dalam kereta api’. Barang-barang ni dilelong serendah ¥60 (RM2.32).
3. Jualan pukal, tak boleh pilih barangan, cuma boleh pilih kotak…
Jualan secara pukal juga selalunya dilakukan untuk kosongkan ruang simpanan dengan cepat. Biasanya, ianya dijual secara kotak besar. Tidak boleh dipilih barang di dalamnya, kalau bernasib baik, mungkin barang tu bernilai tinggi.
Setiap daripada kita patutnya ada sikap jujur dan tak ambik hak orang lain…
Kita selalu melihat tinggi sikap yang dimiliki oleh orang Jepun, tapi sebenarnya benda yang orang Jepun buat ni benda asas kot. Kalau benda tu bukan korang punya, janganlah gatal tangan nak pergi ambik. Cuma benda tu lagi sedap didengar daripada dibaca. So, apa kata bermula hari ni kita jadi lebih jujur dan berusaha untuk tak ambil hak orang lain.
Artikel ini diambil dan diolah daripada artikel Sinar Harian yang bertajuk Budaya ‘lost & found’ di Jepun, hebat!.