Pihak imigresen Australia telah batalkan visa 1,779 orang rakyat Malaysia di antara Julai 2017 hingga Februari 2019, atas dakwaan mencegah aktiviti penipuan terancang untuk memasuki negara kanggaru dan wallabi tu. Berita ABC Australia nyatakan data yang dibekalkan kepada Dewan Senat negara itu menunjukkan terdapat 20 permohonan yang ditolak setiap minggu, – ianya adalah satu pertiga daripada jumlah kes penipuan secara keseluruhannya, meskipun pelancong Malaysia merangkumi hanya satu daripada 20 orang pelancong ke negara itu.
Warga Malaysia yang mohon visa perlindungan berdepan tekanan keluarga, diskriminasi agama dan kaum
Menurut maklumat daripada Jabatan Hal-Ehwal Dalam Negeri Australia, di antara tahun 2016 dan 2017 sahaja, lebih 10,000 rakyat Malaysian tinggal lebih masa di Australia, kemudian diikuti oleh rakyat China seramai 6,500 orang dan lebih 5,000 orang lagi dari pelancong ‘backpackers’ Amerika Syarikat dan Britain. Terdapat ramai pelancong dari Malaysia yang cuba kekal lama di Australia dengan menggunakan kelompangan yang sedia ada pada undang-undang di sana.
Sistem visa elektronik pelancong telah diperkenalkan kepada rakyat Malaysia sejak 1997. Dengan datang melalui visa elektronik pelancong, mereka kemudiannya memohon visa perlindungan untuk memanjangkan tempoh tinggal di sana. Jika permohonan mereka ditolak, mereka akan merayu keputusan tersebut, sehinggalah proses rayuan dibuat.
Sejak beberapa tahun lepas, jumlah rakyat Malaysia yang memohon visa perlindungan mencanak naik kepada 3,500 di antara 2016 dan 2017, sebelum meningkat kepada 10,000 pada tahun-tahun berikutnya.
Walaupun permohonan ditolak, mereka boleh tinggal di negara tu dengan hak penuh untuk bekerja sementara menanti proses rayuan selama 2 hingga 3 tahun – melibatkan kos sebanyak RM145.3 juta kepada Australia sejak 3 tahun lepas.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya ada menyatakan di dalam Dewan Rakyat bahawa rakyat Malaysia yang memohon visa perlindungan di Australia dakwa diorang berdepan tekanan keluarga, diskriminasi agama dan kaum, selain penderaan di rumah. Namun, mereka lebih selesa mencari perlindungan di Australia kerana gaji yang lebih tinggi.
Akibat tekanan kos sara hidup yang membebankan…
Ramai rakyat Malaysia yang sanggup mengejar pendapatan lumayan, biarpun terpaksa membanting tulang empat kerat sebagai buruh ladang buah-buahan dan sayuran di Australia. Dengan keadaan ekonomi tidak menentu, tekanan kos sara hidup dan tawaran kerja pula terhad di Malaysia, ramai yang sanggup ke negara ‘Down Under’ itu untuk menambah pendapatan keluarga.
Mereka dinjanjikan untuk memperoleh sekitar RM6,000 sebulan, dianggap lumayan kerana hanya perlu bekerja sebagai pemetik buah epal, strawberi, tomato mahupun tembikai.
Namun, fakta yang tak diketahui ramai; setiap hari, mereka perlu petik tanaman dengan berjalan kaki dalam kawasan ladang yang mencecah keluasan antara 10 hingga 12 hektar. Ramai yang tertarik bekerja sebagai pemetik buah Australia selepas berhubung menerusi laman sosial dengan para ‘scammers’ yang hanya menjanjikan bulan dan bintang.
Realitinya, mereka juga perlu membayar sewa rumah secara mingguan dan tambang ulang-alik ke ladang setiap hari, pada harga yang agak mahal. Mereka perlu bangun seawal 4 pagi, dan biasanya habis bekerja pada jam 5:30 petang. Bayaran juga bergantung kepada jenis dan musim buah serta sayuran, selain tahap kerajinan masing-masing.
Malah, mereka juga perlu bayar ribuan ringgit kepada ejen untuk urusan proses dokumentasi sebagai pekerja ladang dan penempatan. Ada yang sanggup menjual kereta dan motor, semata-mata ingin ke sana. Malangnya, ada kes rakyat Malaysia ditipu oleh ejen yang mengambil kesempatan, kerana apabila sampai ke sana, tiada kerja yang dijanjikan dan ada yang tidak langsung dibayar gaji.
Ada juga yang didapati tidak mempunyai dokumen dan syarat visa yang ditetapkan, sehingga mereka ditahan oleh pihak berkuasa Australia. Sebagai contoh, pada Disember 2018 lepas, 8 rakyat Malaysia ditahan di Pasukan Kawalan Sempadan Australia (ABF) kerana disyaki terbabit dalam pengurusan sebuah sindiket eksploitasi pekerja di negeri New South Wales.
Mati-mati letak kepercayaan, akhirnya dibunuh oleh keegoan sendiri
Ramai yang sanggup bergolok dan bergadai semata-mata merealisasikan impian bekerja di Asutralia, New Zealand, Jepun mahupun Korea Selatan, kerana melihat kadar tukaran matawang mereka lebih besar berbanding duit kita. Meskipun dengan niat baik untuk membantu keluarga di kampung, tapi ramai juga yang tak cakna dengan isu dokumentasi serta perundangan di negara-negara yang disebutkan tadi.
Di sinilah para ejen tak bertauliah memainkan peranan mereka selaku penipu yang berpengalaman.
Jadi, semua perlu buat kerja rumah sedikit: kajilah dulu latar belakang ejen, tanya betul-betul lokasi rumah serta jarak dengan ladang di sana. Tanya juga tentang pengangkutan dan kadar gaji sebenar, selepas ditolak apa yang perlu. Tanya dan kaji, sampai hadam dan lumat dalam benak fikiran masing-masing. Tanya, jangan fikir nak gaji naik haji saja, tapi kerja nak lenggang kangkung dan sila panggung.
Perkara paling asas: jangan masuk negara orang secara haram. Baik guna visa pelancong atau tinggal melebihi tempoh masa yang ditetapkan, akhirnya rebahtersembam juga sang tupai ke tanah, sebijak mana ia melompat sekalipun. Tak salah nak mengembara dan berkelana di luar negara, malah menjadi satu Sunnah untuk kita bermusafir – mengenal tempat dan budaya negeri orang.
Tak pasal-pasal orang yang nak melancong ke Australia pulak yang dapat masalah…
Bila pihak berkuasa Australia ketatkan kemasukan ke negara itu, bukan saja buruh haram yang susah, rakyat Malaysia lain yang nak ke sana atas urusan melancong atau bekerja juga akan terkesan. Ya, ramai yang jadi gelap mata, atas keterpaksaan hidup mahupun mengejar kemewahan dunia, namun akhirnya ditipu hidup-hidup. Duit dah habis, ejen lari, habuk pun tak dapat. Berwaspadalah!