Serpihan roket China akhirnya turun ke bumi, ini perancangan angkasa China

f1

Ekspedisi aeroangkasa sentiasa menjadi suatu perkara yang membanggakan dan menarik perhatian ramai. Ye lah, misteri angkasa lepas yang tak terbatas ni kita rajin terokai. Kat Bulan, kita dah hantar banyak misi untuk menyelidik tentang Bulan. Lepas tu, kita hantar lagi beberapa misi penerokaan untuk melihat Marikh. Ternyata macam-macam dah kita hantar misi ke luar angkasa, yang mana semuanya perlukan roket jugak sebagai cara pengangkutan utama. Kalau dulu, kita ingatkan roket ni sekadar bawa orang je kan… haa sebenarnya roket pun boleh jugak dihantar untuk bawa barang je.

728 X 90

Baru-baru ni, China pun dah masuk ke dalam arena aeroangkasa dengan pelancaran Long March 5B. Walaupun ia bukanlah pelancaran kali pertama, tetapi insiden yang berlaku semasa pelancaran tu sedikit sebanyak buatkan ramai sedar dengan kewujudan roket buatan China ni. Sedikit berbeza dengan rancangan negara Barat, China setakat ni hanya menghantar pakej untuk bina stesen mereka di luar angkasa.

angkasa china long march
Via Asia Times

Roket terbesar China sebenarnya mula dibina pada 2010, dicadangkan angkut modul stesen angkasa

Untuk pengetahuan korang, bukan Elon Musk je yang tengah sibuk lancarkan roket. Lebih kurang 11 tahun lalu, China pun dah mulai buat percubaan untuk lancarkan roket diorang. Roket diorang digelar Long March, dan sepanjang tahun-tahun tu, diorang jugak dah banyak cipta pelbagai versi Long March. Bahkan, Long March turut mencatatkan 15-25% daripada jumlah keseluruhan pelancaran roket angkasa dunia. Roket Long March ni jugak antara contoh kebijakan China nak elak embargo Amerika Syarikat, iaitu bila diorang nak cuba roket ni… diorang lancarkan atas nama syarikat telekomunikasi yang nak letakkan satelit di luar bumi.

Program Long March ni pertama sekali diluluskan pada 2007, dimana ia dibina di Tianjin, sebuah bandar berdekatan Beijing. Manakala tapak pelancarannya tu dibina kat Hainan. Beberapa versi enjin penggalak telah dicipta, dimana ada dua enjin utama telah digunakan. Sementara tu, ada empat lagi enjin penggalak yang turut dicadangkan dan bakal diuji kelak. Ujian pertama diorang dilakukan pada 2016 dengan sedikit masalah teknikal sehinggalah pada 2019, Long March 5 yang dah diperbaiki daripada hasil ujian pelancaran lalu dah berjaya tanpa sebarang masalah.

china long march
Long March.. -Via Firstpost

Pada ujian keempat pelancaran Long March, program aeroangkasa China diperluas lagi menjadi pesawat angkasa untuk penjelajahan angkasa pulak. Prototaip pertama kapal tersebut cuba dibawa dalam pelancaran Long March, dan bolehlah dikatakan berjaya apabila ia dah boleh sampai ke orbit rendah Bumi. Tahun lalu, China sekali lagi membawa prototaip pesawat angkasa dan berjaya mendarat di utara China berdekatan Mongolia.

Jadi dengan sejarah kejayaan yang dah kami sebut, kenapa pulak ramai jadi risau apabila China lancarkan Long March baru-baru ni? Siap ada yang dakwa China ni tak bertanggungjawab apabila diorang gagal kawal beban yang diorang bawa ke luar bumi kali ni. China senyap je, sambil keluar kenyataan selamba bahawa kargo yang diorang bawa tu takkan mendarat di kawasan berpenghuni.

Sebelum ni bawa satelit dan pesawat tanpa kru, sekarang bawa modul baharu untuk stesen angkasa China

Program aeroangkasa China turut merangkumi rancangan nak bina stesen angkasa, lebih kurang macam International Space Station (ISS). Modul utama binaan tu dirancangkan akan berfungsi pada 2022 lepas modul-modul yang lain dilancarkan dan berhubung di orbit. Dalam roket tu, ada beberapa enjin penggalak sisi dah dijatuhkan kat Laut Pasifik. Modul utamanya, Tianhe pulak terus dilancarkan ke dalam orbit.

roket long march china
Via CGTN

Lazimnya dalam fasa pelepasan roket khususnya untuk bahagian yang boleh cecah ke orbit tu, diorang akan tetapkan agar kargo yang diorang bawa tu boleh jatuh kat tengah-tengah laut. Malangnya, China tak buat macam tu sehinggakan enjin penggalak yang ‘tercerai’ dari Long March tu terapung-apung je kat orbit. Hal ni menggusarkan ramai sebab boleh jadi serpihan enjin tu akan jatuh di mana-mana kawasan berpenghuni. Tambah lagi, di sebalik kejayaan pelancaran Long March; China dah banyak kali sebenarnya buat macam tu.

Diorang biarkan je bahagian daripada roket yang dilancarkan tu jatuh kat beberapa kawasan terpencil. Maksudnya, diorang biasanya tak tetapkan trajektori tu supaya mendarat di lautan macam NASA. Pada tahun lalu, serpihan dari enjin penggalak Long March 5B yang bawa prototaip kapsul pesawat angkasa tu jatuh kat sebuah kampung di Ivory Coast. Tahun ni pulak, China buat benda yang sama – dan akhirnya beberapa hari lalu, jatuh berdekatan Kepulauan Marshall.

Kenyataan rasmi NASA pada 9 Mei jelas menunjukkan ketidakpuashatian diorang mengenai cara China menguruskan sisa serpihan roket yang diorang lancarkan tu. Silap haribulan, boleh jadi serpihan daripada sesi pelancaran lain akan jatuh di kota bandar hingga mengorbankan nyawa serta harta benda. Dahlah rancangan aeroangkasa China ni dijangkakan akan berlangsung dua hingga tiga dekad seterusnya…

“Negara peneroka angkasa mesti mengurangkan risiko kemasukan semula objek angkasa terhadap orang ramai dan harta benda di Bumi dan meningkatkan ketelusan berkenaan operasi ini. Jelas bahawa China kini sedang gagal mencapai piawaian tanggungjawab tentang debris angkasa mereka” – seperti yang dipetik oleh Nasa.gov

Untuk berlaku adil, insiden ni tak hanya berlaku dari tangan China je. Serpihan roket Space-X pun pernah jatuh kat ladang pekebun di Washington. Pada 1979 pulak, debris angkasa milik American Skylab pernah jatuh di Lautan Hindi, tetapi serpihannya merentasi kawasan Australia Barat. Insiden ni membuatkan Presiden AS ketika tu, Jimmy Carter memohon maaf.

Jika dilihat, kejayaan China dan komitmen diorang untuk meneroka bidang aeroangkasa adalah suatu langkah besar dalam sejarah manusia. Akan tetapi, janganlah sampai ia memudaratkan orang lain pulak… serpihan roket diorang, tak pasal-pasal kita yang menderita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *