Ketika kita tengah sibuk mencari kat mana nak cari topeng muka dan melawan berita palsu pasal virus, orang kat United Kingdom pula sibuk menanti bagaimana nasib mereka lepas secara rasminya meninggalkan blok dunia European Union (EU) bermula pada 31 Januari lalu. Kami dah lama perhatikan isu politik luar khususnya United Kingdom sebab secara langsung, hubungan kita dengan mereka melebihi faktor hubungan sejarah dan sukan je tau!
Nak keluar blok EU sebab yakin Britain boleh pergi jauh tanpa EU…
Sejak 1973, hubungan UK dengan blok EU yang kini dianggotai oleh 28 negara perlahan-lahan menjadi tegang akibat kebangkitan Euroskeptism. Euroskeptism ni secara asasnya adalah sebuah doktrin politik yang kritikal terhadap gabungan negara-negara Eropah, dan biasanya disokong oleh golongan populis yang tak nak EU terlalu berkuasa melebihi kuasa pentadbiran negara sendiri.
Walaupun ramai nampak EU ni macam kuat sangat kan, tapi sebenarnya kerjasama antara negara dah semakin lemah sebab ada je rakyat negara lain dalam EU yang tak nak terlalu bergantung dengan negara lain mahu pun gabungan antara negara lain. Misalnya pada 1992, Perjanjian Maastricht yang sepatutnya jadi dokumen rasmi blok EU ditolak oleh rakyat Denmark. Penolakan tersebut diikuti dengan Norway, Scandinavia dan Perancis (ia hanya menang tipis je, iaitu sebanyak 51% sokong Perjanjian Maastricht) pada 1994.
Semangat skeptikal terhadap EU kemudiannya lebih kuat dengan penubuhan United Kingdom Independence Party (UKIP) pada 1993, dan kemenangan besarnya pada 2009 dan 2013 menunjukkan bahawa rakyat Britain dah terpujuk untuk turut sama menolak EU ni. Retorik politik ni kemudiannya ‘dipinjam’ oleh David Cameron yang berjanji nak keluarkan Britain dari EU, diikuti dengan Theresa May dan kini, Boris Johnson.
Bila kat EU ni, mereka pun ada peraturan tersendiri khususnya dalam soal ekonomi dan polisi migrasi EU. Kedua-dua benda inilah yang menimbulkan rasa tak puas hati segelintir rakyat yang undi Brexit dulu. Dari segi ekonomi, Britain kena ikut cakap EU manakala dari segi polisi migrasi pula, Britain sendiri tak dapat mengawal aliran keluar masuk rakyat negara lain ke negara mereka.
Bertahun-tahun lamanya, isu Brexit sentiasa jadi isu utama yang dibincangkan dalam kalangan rakyatnya. Referendum demi referendum dikutip, dan hasilnya tetap sama: majoriti rakyat Britain ingin keluar dari EU. Menariknya, dapatan Lord Ashcroft yang dikongsi Bloomberg menunjukkan bahawa lebih ramai golongan muda nak kekal dalam EU sementara golongan tua nak keluar dari EU.
Masa pemimpin negara mereka tengah usahakan perjanjian untuk keluar dari EU, rakyat mereka tengah ‘bertarung’ idea. Jika korang rujuk balik undian tersebut, kebanyakan mereka yang berusia lebih dari 45 tahun pilih untuk keluar dari EU sebab mereka pernah rasai sendiri isu-isu politik Britain dan EU ketika 1970-an. Lebih menarik lagi, Independent menyimpulkan bahawa salah satu faktor undi Brexit tersebut jugak ada kena mengena dengan identiti mereka sebagai rakyat UK.
“Majoriti rakyat yang mengidentifikasikan dirinya sebagai orang British pilih untuk kekal (dalam EU), manakala mereka yang mengidentifikasikan dirinya sebagai orang Inggeris adalah golongan yang menyokong kuat idea Brexit…”- seperti yang dipetik dari Independent, pada 26 Jun 2016
Keyakinan mereka ni terlahir dari sifat nasionalisme mereka, mereka lebih optimis Britain boleh maju walaupun tanpa EU kelak. Lagipun, banyak polisi penjimatan yang diambil oleh kerajaan sejak 2010 dulu secara tak langsung ‘menyusahkan’ mereka yang duduk kat kawasan luar bandar. Ni dah macam kes Kota Buku di pinggir bandar UK yang ‘berdikari’ bina ekonomi sendiri tanpa bantuan kerajaan.
Dah lah cari kerja pun susah, kerajaan pun seolah-olah membelakangi rakyat miskin kat sana. Kata seorang pengundi lelaki berumur 62 tahun kepada The Guardian :
“…Meninggalkan (EU) mungkin suatu yang teruk, tapi ia memang dah teruk. Jadi apa lagi benda yang lebih teruk boleh terjadi (kepada mereka)?”
Nasib pelajar Malaysia di sana tak menentu, kena terus peka dan bersedia…
Bukan rakyat UK je yang masih ‘tak menentu’, nasib rakyat kita kat sana pun sama jugak. Buat masa ni, UK masih lagi ‘ikut’ EU sehingga akhir tahun ni walaupun secara rasminya dah keluar dari blok kuasa dunia pertama. Walaupun secara keseluruhannya, tak banyak perubahan drastik berlaku untuk penduduk Britain di sekitar Eropah. Manakala rakyat Malaysia kat sana pula hanya boleh memerhatikan keadaan politik negara tersebut dengan harapan ia tak mengugat rezeki rakyat kita di sana.
Menurut temu bual The Star, salah seorang rakyat kita di sana bernama Adrian tak melihat Brexit ni sebagai suatu yang buruk kerana setakat ni, UK takde halau sesiapa pun terutamanya rakyat bukan EU keluar dari negara mereka.
Baginya, tempoh pasca-Brexit mungkin boleh buka peluang kerjaya yang lebih baik. Ini kerana sebelum Brexit, kebanyakan syarikat kat Britain lebih suka ambil pemegang warganegara EU sebab tak payah tanggung visa. Jadi nampak macam tak adil lah untuk calon negara kita, walaupun kelulusan mereka lebih baik dari calon Eropah. Sekarang ni, persaingan kerja tu lebih setara dah sebab lepas ni, nak tak nak, syarikat British kena tanggung visa kalau nak ambil pekerja warganegara luar.
Seorang calon sarjana bernama Nyoomi Kamani berkongsi Brexit dari perspektif seorang pelajar. Dia berpandangan bahawa lepas ni, perdagangan antara UK dan blok EU memungkinkan kenaikan harga barang khususnya harga makanan disebabkan polisi cukai yang dikenakan oleh EU kepada negara bukan anggota Blok tersebut. Nada yang sama disuarakan oleh Alia Deanna, seorang pelajar kejuruteraan awam di Kolej Universiti London;
“Saya masih tidak pasti sejauh mana impak (Brexit) kerana prosesnya berlangsung dengan perlahan, tapi saya yakin saya kena lebih peka terhadap apa-apa perubahan harga dari segi (bajet) rutin barangan dapur dan gaya hidup…”,- Seperti yang dilaporkan oleh The Star pada 2 Februari 2020″
Peluang perdagangan industri terbuka luas untuk Malaysia…
Apa kesan Brexit terhadap Malaysia? Kami yakin hubungan diplomatik kita tetap kukuh walaupun UK tak lagi bersama dengan EU. Malah, peristiwa Brexit ni membolehkan kita pujuk UK untuk mengadakan hubungan ekonomi yang lebih erat. Komoditi yang paling utama sekarang adalah perdagangan kelapa sawit, sebelum ni, EU boikot kelapa sawit untuk memberi ruang pasaran kepada industri kacang soya.
Mungkin tak ramai yang ketahui benda ni, tapi kadangkala, apa yang dinyatakan oleh pihak blok ekonomi lain tak semestinya benar. Boleh jadi dakwaan demi dakwaan yang dilemparkan oleh mereka tu tak berasas dan lebih penting, mempunyai kepentingan yang lain. Sebab tulah kita banyak menafikan dakwaan mereka terhadap industri kelapa sawit kita.
Kajian KRIS Institute pada 2019 mendapati bahawa persepsi negatif banyak dimainkan oleh blok EU sendiri dengan alasan perladangan kelapa sawit memusnahkan alam sekitar. Bila kita fikir balik, hujah pertama yang dilaungkan mereka adalah “kelapa sawit membawa kepada penyahhutanan”.
Adakah mereka tengok kita ni seperti sebuah negara mundur yang takde syarat tersendiri sebelum buka perladangan kelapa sawit? Kebanyakan perladangan memang memerlukan sejumlah kawasan pokok untuk ditebang dan dibersihkan, termasuklah industri kacang soya kat Brazil. Sekarang ni pun, banyak jugak kawasan industri kacang soya kat Brazil tu dah teruk dinyahhutankan.
UK boleh jadi rakan kerjasama perdagangan kelapa sawit kita di Eropah selepas Brexit, lantaran tak lagi terikat dengan pakatan blok ekonomi EU serta polisi boikot kelapa sawit. Dr. Mahathir turut menyeru agar kerjasama perdagangan antara komoditi diteruskan dengan lebih giat lagi, dan UK jugak dilihat masih berminat untuk menyahut seruan Perdana Menteri kita.
“UK mengimport kelapa sawit dari Malaysia untuk pelbagai kegunaan dan ini tidak berubah lepas kami meninggalkan EU. Walaupun begitu, kami turut bekerjasama dengan Malaysia ke arah penghasilan kelapa sawit dengan menggunakan teknologi terbaharu untuk menukarkan sisa kelapa sawit menjadi tenaga (biominyak).”- Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi British, seperti yang dilaporkan oleh The Malaysian Reserve pada 30 Ogos 2019
Kekal positif dengan Brexit, eratkan hubungan perdagangan di rantau Eropah…
Secara umumnya, situasi Brexit boleh mendatangkan manfaat kepada peluang mengeratkan hubungan perdagangan kita di rantau Eropah. Dari segi politik pula, mungkin tak banyak perubahan yang berlaku dan kalau ada, perubahan tersebut akan dapat diterima oleh rakyat tempatan dan rakyat Malaysia yang tengah menetap atau belajar kat sana. Oleh sebab UK dah keluar EU, maka kalau nak jalan-jalan sekitar Eropah tu, korang dah kena mohon visa dulu kalau korang mula atau nak masuk ke UK.