Sedang manusia dilanda pandemik dan beberapa lagi virus baharu yang muncul, tiba-tiba ada pulak kes yang membabitkan haiwan terancam macam gajah. Kat Malaysia sendiri, kita dah tak banyak gajah. Sebelum ni di Sabah misalnya, banyak dah kes kematian gajah yang menyayat hati kami.
Kes ni jugak sedikit pelik sebab punca utama kepupusan gajah iaitu pemburuan haram dah ditolak. Jadi, apa yang buatkan ratusan gajah mati tiba-tiba?
Gajah di Botswana dilaporkan mati tiba-tiba, mereput gitu je di tengah padang habitatnya
Baru-baru ni di Botswana, lebih dari 300 gajah dilaporkan mati oleh sebuah NGO antarabangsa yang khas untuk kebajikan gajah iaitu Elephants Without Border. Pada mulanya, tak pelik sangat kalau seekor dua mati. Namun ia jadi misteri apabila ratusan gajah mati tiba-tiba di hampir setiap kawasan kat habitatnya sendiri.
Elephants Without Border kata menerusi pemerhatian mereka dengan menggunakan helikopter, rata-rata bangkai gajah-gajah ni ditemui berdekatan dengan sumber air semula jadi. Selain tu, bangkai-bangkai tersebut jugak mati dalam posisi sternal, menunjukkan bahawa kematian tersebut berlaku secara pantas dan mendadak.
Mereka jugak mendapati bahawa beberapa gajah yang masih hidup tu pulak nampak lemah dan sangat penat. Ada yang nampak tak keruan, susah berjalan dan banyak menunjukkan tanda-tanda lumpuh sebahagian badan. Cara gajah-gajah ni berjalan pun macam tempang semacam je, dan ada jugak dilihat hanya dapat berjalan dalam bulatan je walaupun dah dibantu oleh anggota gajah lain. Biasanya gajah yang berjalan dalam bulatan ni adalah tanda gangguan neurologi.
70 peratus bangkai gajah ini dianggap baharu, kira-kira sebulan lalu, dan 30 peratus daripadanya tampak baru mati kira-kira sehari hingga dua minggu lalu. Ada bukti kukuh yang menunjukkan gajah dari segenap usia dan jantina telah mati. – Elephant Without Borders, seperti yang dipetik oleh CBS News
Kematian pelik gajah-gajah ni hanya mulai dilaporkan pada Mei apabila 169 ekor gajah mati dalam jangka masa yang singkat dekat Okavango Delta. Ia kemudian meningkat hingga mencapai 275 kes kematian yang disahkan kerajaan Botswana, manakala 81 kes lagi telahpun dilaporkan dan ni menjadikan jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 356 kes.
Kematian ratusan gajah bukan kerana pemburuan haram, mungkin ada penyakit baharu yang hanya membunuh gajah je
Antara faktor kematian gajah yang lazimnya kita dengar adalah pemburuan gajah, kan? Macam kat Malaysia ni, kebanyakannya kerana pemburuan haram ni. Dekat Botswana, kes pemburuan gajah memang banyak berlaku. Lagi-lagi apabila negara mereka dah mansuhkan larangan pemburuan gajah disebabkan konflik manusia-gajah.
Gajah-gajah ni dianggap sebagai perosak tanaman oleh para petani dan peladang, jadi ada kata bahawa ni adalah tindakan politik untuk meraih undi khususnya di kawasan luar bandar dimana populasi petani dan peladang lebih tinggi. Kalaulah betul, perkara ni adalah suatu yang mendukacitakan apabila melihatkan kadar populasi gajah pun hanyalah 15,000 ekor je di sana. Tu tak banyak lantaran mereka pun tak membiak secepat mana.
Namun begitu dalam misteri di Delta Okavango ni, faktor pemburuan gajah telahpun ditolak oleh kerajaan Botswana sebab dalam bangkai gajah yang ditemui tu, masih ada lagi gading tu. Gajah-gajah yang diburu biasanya dah tak ‘lengkap’ bangkainya sebab sentiasa ada permintaan untuk daging gajah, gading, telinga dan kaki gajah tu. Tetapi di Botswana, bangkai-bangkai gajah tu masih lengkap.
Dr. Niall McCann dari National Park Rescue setuju dengan pandangan kerajaan bahawa ni bukan kerja pemburu haram. Dia kata tak mungkin jugak keracunan sianida. Sianida jugak antara kaedah biasa yang digunakan oleh pemburu haram, iaitu dengan melepaskannya di sungai atau mana-mana sumber air.
“Hanya gajah yang mati dan tiada lagi (haiwan) lain. Jika ia sianida telah digunakan oleh pemburu, kita boleh jangka kematian haiwan lain.”- Dr. McCann, seperti yang dilaporkan BBC
Buat masa ni, Dr. McCann tak dapat menolak kemungkinan lain seperti penyakit yang hanya serang gajah. Ditambah lagi dengan beberapa pemerhatian dari Elephants Without Borders (EWB) yang turut menyebut tanda-tanda masalah neurologikal gajah seperti tak dapat berjalan dengan lurus. Dia jugak tak menolak penularan COVID-19 tu jugak, sebab dulu, harimau pun boleh kena ye…
Setakat ni, penyiasatan kes tersebut masih lagi berlangsung. Sampel bangkai tu dahpun dihantar ke Afrika Selatan, Zimbabwe dan Kanada untuk diuji. Kami harap misteri kematian gajah-gajah ni akan terungkai kerana kita pastinya takkan mahu lebih banyak kehilangan harta alam, khususnya di kawasan utama yang sepatutnya menjadi kawasan perlindungan hidupan terancam seperti gajah.