Perlu masa 40 tahun untuk selesaikan masalah air Kelantan, Dr. Agus persoal Tuan Ibrahim

F1
Perlu masa 40 tahun untuk selesaikan masalah air Kelantan, Dr. Agus persoal Tuan Ibrahim

Masalah air di Kelantan bukanlah isu yang baru lagi, dah selalu kita dengar penduduk yang tinggal di Kelantan menghadapi masalah bekalan air bersih. Kadang-kadang ada orang siap kata – air kat Kelantan ni keluar-keluar je dari paip air dah macam air Nescafe. Dalam erti kata lain, air yang keluar dari paip tu kotor dan tak boleh diminum. Sudah tentu benda ni jugak akan jadi bahan politik untuk serang kerajaan negeri Kelantan. Cuma, suka atau tidak, isu ni memang benar-benar berlaku.

C1
“Nescafe” yang kami maksudkan. Via Sinar Harian

Air adalah sebahagian daripada keperluan asas manusia, kalau bekalan air tak diberikan dengan baik – sudah tentu orang akan ragu dengan bekalan-bekalan lain. Apabila PAS dah jadi sebahagian daripada kerajaan, kami harap diorang gandakan usaha untuk pulihkan keadaan ini. Semalam kecoh apabila ada laporan yang mengatakan Kelantan perlukan 40 tahun untuk pulihkan keadaan ni. Yes, 40 tahun, bukan 40 bulan atau hari.

Masalah air di Kelantan disasarkan akan pulih dalam tempoh di antara 30 hingga 40 tahun akan datang

Semalam Kementerian Alam Sekitar dan Air sasarkan masalah air di Kelantan akan selesai secara menyeluruh. Tuan Ibrahim Tuan Man kata, masalah tu akan diselesaikan secara berperingkat menerusi projek tebatan banjir, penggantian saluran paip baru dan menaik taraf loji air sedia ada.

C1
Tuan Ibrahim. Via Astro Awani

“Paip-paip di Kelantan sudah terlalu lama, saya kira sudah 40 tahun, sekali gus memerlukan kos yang besar untuk buat penggantian. Kalau kita tak tukar paip masalah tak akan selesai. Ini termasuk juga masalah loji yang sedia ada perlu diperbesarkan, kapasiti bilangan penduduk Kelantan yang ramai memerlukan bekalan air yang tersusun dan kita sasarkan untuk (masalah ini) selesai (dalam tempoh) antara 30 hingga 40 tahun akan datang,” – Tuan Ibrahim, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Kementeriannya dikatakan memerlukan peruntukan RM7.3 bilion untuk laksanakan projek-projek yang dirancang. Dia kata, pihaknya akan mohon peruntukan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi membolehkan peruntukan berkenaan dimasukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Hmmm…kena tunggu 40 tahun lagi nampaknya. Via Giphy

Jumlah peruntukan tu akan babitkan beberapa projek besar termasuk Projek Tebatan Banjir yang ada tiga fasa iaitu di Tumpat, Rantau Panjang dan Pasir Mas. Selain tu, di Tunjung sudah diluluskan projek pembentungan bersepadu babitkan peruntukan RM600 juta serta dan lain-lain projek untuk masalah banjir dan bekalan air. Sebahagian projek sudah berjalan seperti projek tebatan banjir bagi fasa satu yang dijadualkan siap pada Oktober nanti.

Apakah projek air Kelantan ini lebih luas dari projek ECRL sehingga perlu mengambil masa antara 30-40 tahun untuk selesai?

Kenyataan Tuan Ibrahim ni dapat respon dari Prof. Dr. Mohammad Agus Yusoff, pensyarah sains politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Dia beri komentar yang agak “keras” tentang pengumuman ni. Bagi yang tak kenal dengan Dr. Agus, dia sering memberikan komen tentang keadaan politik semasa, dan agak terkenal dalam kalangan pemerhati politik di Malaysia. Kat bawah ni kami bawakan komentar yang dia lakukan terhadap pengumuman Tuan Ibrahim ni.

Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan masalah air Kelantan akan selesai dalam 30-40 tahun lagi kerana kosnya yang besar. Oleh itu, penyelesaian masalah ini akan dilakukan secara berperingkat. Reaksi pertama saya ialah mengapa begitu lama? Jika kosnya besar, berapa besar? Kos ini tidak disebut, melainkan menyatakan “[Kementerian] akan memohon peruntukan kepada UPE, JPM bagi membolehkan peruntukan berkenaan dimasukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).”

Berapakah jumlah yang akan dipohon itu? Tidakkah setiap RMK cuma lima tahun sekali sahaja? Berapa RMK lagikah yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan ini? Jika dahulu, rakyat boleh terima ketidakupayaan kerajaan negeri menyelesaikan masalah ini atas faktor kewangan. Kini, selepas wang ehsan RM400 juta sudahpun diterima dan menterinya sudahpun dari parti yang sama dengan kerajaan negeri, dan Menteri Ekonomi yang menjaga EPU juga dari Kelantan, mengapa hal ini masih diperlambatkan untuk diselesaikan?

C1
Dr Agus. Via Blog Pejuang Keadilan

Projek ECRL melangkaui beberapa sempadan negeri, tetapi tempoh pelaksanaannya cuma 5 tahun sahaja, dijangka siap pada tahun 2026. Kosnya besar, RM65.5 bilion dan dijimatkan oleh kerajaan dahulu sebanyak RM21.5 bilion dengan penjajaran baharu. Kos projek air Kelantan tidak sampai pun sejumlah itu, dan tidak melangkaui sempadan negeri, tetapi mengapa mengambil masa yang begitu lama?

Ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur akan dibina pada tahun 2021, dan menterinya mengumumkan pusat pemerintahan ibu kota baharu itu yang mengandungi pejabat eksekutif, kehakiman, legislatif, termasuk istana, DPR, MA, MK, akan dimulai dibina seluas 2,000 hektar dan dijangka siap pada tahun 2025.

Via Giphy

Selepas itu, baharulah masuk ke tahap kedua melibatkan keluasan 40 ribu hektar dari tahun 2025-2029 untuk pembangunan infrastruktur lainnya seperti markas besar tentera dan polis, pendidikan, kesihatan, universiti, taman sains dan teknologi, pusat industri berteknologi tinggi, pusat penyelidikan, pusat sukan dan pusat membeli belah. Tahap ketiga bila siap semuanya akan melibatkan pembangunan di tanah seluas 250 ribu hektar dalam masa 40 tahun.

Pertanyaannya, apakah projek air Kelantan ini lebih luas dari projek ECRL dan ibu kota baharu Indonesia sehingga perlu mengambil masa antara 30-40 tahun untuk selesai?

Ramai yang tak ambik serius benda ni kerana dikatakan ia cumalah usaha untuk burukkan kerajaan Kelantan

Kalau kita letak politik kat tepi, isu ini sebenarnya penting untuk diselesaikan. Tak kiralah siapa yang akan jadi kerajaan negeri atau Persekutuan, ia kena cepat diselesaikan kerana melibatkan keperluan rakyat. Soalan yang diajukan oleh Dr. Agus ada asasnya – mengapa rakyat perlu menunggu begitu lama untuk menerima bekalan air yang sepatutnya? Bukankah pada skala sumber dan kekuatan yang ada pada kerajaan hari ini, ia boleh dilaksanakan dengan lebih cepat? Ini adalah persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh Tuan Ibrahim dan kerajaan Kelantan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top