Mungkin tak ramai yang sedar bahawa negara kita sebenarnya baik dalam mengatur polisi dan strategi luar dengan negara-negara lain. Kebijakan mengawal hubungan antarabangsa ni amat penting untuk sesebuah negara nak kekalkan kedaulatan dan kehormatannya. Sebelum ni, kita antara negara yang agak lantang bersuara tentang isu-isu antarabangsa, khususnya apabila melibatkan kemanusiaan dan dunia Islam.
Dalam kebijakan ni jugak, kita pun tak boleh hanya senyum dan tunduk menurut je arahan negara lain demi menjaga hubungan baik. Kadangkala kita kena jugak mempertahankan keputusan kita, seperti apa yang berlaku baru-baru ni antara Korea Utara dan Malaysia. Kedutaan negara masing-masing dah ditutup dan dah diarahkan pulang secepat mungkin. Apa sebenarnya yang terjadi?
Pembunuhan berprofil tinggi gegarkan Korea Utara-Malaysia, rosakkan hubungan diplomatik yang ada antara dua negara
Rupanya ramai jugak yang masih tak percaya bahawa kita ni ada hubungan diplomatik dengan Korea Utara. Sejak 1973, kita dah ada hubungan diplomatik dengan negara tersebut. Setahun lepas tu, Korea Utara membuka kedutaannya di Malaysia. Pada 1995, kita dah adakan rundingan penting antara Korea Utara dan Amerika Syarikat mengenai program nuklear. Hanya pada 2004, Malaysia pulak buka kedutaan di Pyongyang.
Pada 2009, hubungan Malaysia-Korea Utara menjadi lebih erat. Rakyat Malaysia dibenarkan untuk masuk ke Korea Utara tanpa visa manakala rakyat Korea Utara dibenarkan bekerja di negara ni. Dari segi ekonomi, kenaikan import Korea Utara dari Malaysia dan Air Koryo pun dah boleh beroperasi di Kuala Lumpur. Segala-galanya baik je antara dua negara ni sampailah kejadian pada 13 Februari 2017. Peristiwa pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri Kim Jong-Un dibunuh di KLIA mengejutkan dunia.
Pada 4 Mac, Duta Korea Utara Kang Chol diisytiharkan sebagai persona non grata dan diusir dalam tempoh 48 jam kerana keluarkan kenyataan yang memperlekeh kewibawaan pihak penyiasat negara yang cuba siasat kes pembunuhan berprofil tinggi tu. Dua hari lepas tu, kelonggaran lawatan tanpa visa untuk Korea Utara ditarik balik. Sebagai balasan, Korea Utara tahan 9 orang rakyat Malaysia. Malaysia pulak bertindak larang warga Korea Utara untuk masuk atau keluar Malaysia.
Hanya pada 30 Mac, semua rakyat Malaysia dan Korea Utara yang terkandas dibenarkan pulang ke negara asal lepas rundingan dan penghantaran balik mayat Kim Jong-nam. Pihak Korea Utara pun bertelingkah jugak dengan keputusan Malaysia untuk buat bedah siasat ke atas mayat Kim Jong-nam, sebab Korea Utara rasa kita patut bagi je mayat tersebut. Kita pulak mempertahankan keputusan untuk buat bedah siasat sebab abang tirinya tu mati kat negara kita.
Dari satu sudut, keputusan ni ada asas jugak memandangkan sekiranya kita turutkan permintaan Korea Utara tu… nanti semakin banyak pulak pembunuhan berprofil tinggi berlaku di negara kita memandangkan terdahulu, kita ikut je apa yang negara lain tu nak buat. Susulan tindakan provokatif Duta Pyongyang, tarafnya diturunkan dan kedutaan Korea Utara terus beroperasi tanpa duta.
Pada 2018, Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri ketika tu kata Malaysia akan buka semula kedutaannya di Pyongyang dan mengakhiri ketegangan diplomatik antara kita dan Korea Utara. Namun begitu, takde perubahan dalam status quo tersebut. Hujung tahun 2019, kita pun masih lagi dalam fasa memulihkan hubungan dengan syarat-syarat baharu khususnya kemasukan tanpa visa.
“Selagi DPRK (Korea Utara) mempamerkan kesungguhan untuk berunding dan mara ke depan, ia memerlukan sedikit sebanyak galakan. Sebagai contoh, menarik balik sebahagian daripada sekatan. Tetapi ia tidak berlaku.
Jadi dengan mengaktifkan semula kedutaan kita, ia memberi isyarat kepada DPRK bahawa kita menghargai bahawa anda kini bekerjasama dengan jiran anda dan kami mahu menjadi pihak yang secara tidak langsung terhadap perkembangan itu menerusi langkah memulihkan hubungan kita. Oleh yang demikian, kami mahu mengaktifkan semula kedutaan kami,”- Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Malaysia, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Rayuan akhir ahli perniagaan ditolak di mahkamah, Korea Utara marah Malaysia tak beri layanan istimewa
Baru-baru ni, sorang lelaki Korea Utara akan diekstradisi dari Malaysia untuk hadapi tuduhan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat lepas gagal dalam rayuan terakhir untuk mencabar perintah ekstradisi terhadapnya. Mun Chol Myong, yang tinggal di Malaysia selama sedekad bersama keluarganya, ditangkap pada 2019 berikutan permohonan ekstradisi oleh Washington.
Mun Chol Myong ni sorang ahli perniagaan yang dituduh oleh Amerika Syarikat dan kini menjadi warga Korea Utara yang pertama dihadapkan ke mahkamah di Amerika Syarikat. Mengikut The Rakyat Post, FBI dakwa Mun Chol ni jalankan aktiviti perniagaan haram ‘cuci duit’ dan seludup barangan daripada Singapura atas nama Korea Utara. Nilai urus niaga pengubahan wang haram yang dilakukan Mun lebih daripada AS$1.5 juta. Perkara ni melanggar peraturan yang dikenakan oleh PBB dan Amerika Syarikat.
Dia jugak didakwa bersekongkol dengan agensi perisikan Korea Utara, Reconnaissance General Bureau (RGB). Afidavit yang disediakan oleh Mun Chol Myong menolak dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa dia adalah mangsa dalam percaturan politik antara Korea Utara dan Amerika Syarikat. Walaupun begitu, Malaysia menegaskan bahawa kita tak perlu khuatir dengan hal antara dua negara ni.
“Ini membabitkan hubungan antara dua negara, kita tidak perlu bimbang mengenai hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil… Perbicaraan yang sebenarnya akan berlangsung di AS,”- Mohamad Dusuki Mokhtar, Timbalan Pendakwa Raya, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Atas sebab itulah, Korea Utara umumkan dah putuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Mungkin dalam pandangan Korea Utara, boleh je kita terus-menerus lindungi ahli perniagaan dan halang perintah esktradisi dari Amerika Syarikat. Tapi sepertimana yang dinyatakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, kepentingan politik dunia tak patut mencemarkan kewibawaan mahkamah dalam membuat keputusan. Sekarang ni Mun Chol dah sampai di Amerika Syarikat, masuk rekod dunia sebagai satu lagi kes berprofil tinggi yang dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat.
Lagipun, perbicaraan tu tak berlangsung kat Malaysia. Kita hanya orang tengah je di antara Korea Utara dan Amerika Syarikat. Melindungi penjenayah rentas negara bukanlah prinsip mahupun polisi luar kita, walaupun polisi dalaman kita ni banyak sangat dah dakwaan ‘double standard’ antara elit kayangan dan marhaen biasa. Sekurangnya di mata luar, Malaysia bukanlah negara yang boleh dibuli mahupun digugat sekiranya perkara tersebut adalah perkara yang paling wajar untuk diambil.