Aset ketenteraan China dikatakan sedang ceroboh kedaulatan Malaysia, terbaru di Sarawak

f1

Bila kita nak cakap pasal kedaulatan negara, salah satu elemen utama adalah persempadanan sesebuah negara. Kita mungkin boleh ada rakyat yang paling cintakan tanah air, tetapi jika takde sempadan yang kuat dan diiktiraf negara jirannya… kita akan lebih sukar nak jaga dan lindungi negara kita daripada diancam oleh anasir jahat. Isu persempadanan ni secara umumnya, dapat diletakkan kepada tiga garisan iaitu di daratan, di laut dan di udara. Antara tiga ni, hanya dua je yang selalu kita bincangkan sejak berdekad lalu sebab kita ada banyak pertikaian dengan negara lain yang nak tuntut jugak hak diorang.

728 X 90

Kali ni, kita digemparkan sekali lagi dengan isu pesawat asing yang memasuki laluan ruang udara kita. Seminggu sebelum kejadian ni, pesawat pengintip milik Israel memasuki ruang udara kita. Belum reda pun isu tu, tiba-tiba pesawat China pulak dikesan dan berjaya dipintas oleh pasukan tentera udara kita. Apa jadi lepas tu?

tudm 16 pesawat china 800x445 c
Via MyKMU

TUDM berjaya pintas 16 pesawat tentera China ‘ceroboh’ ruang udara, ni bukan kali pertama kita diceroboh

Macam yang kami sebutkan awal tadi, pesawat pengintip Israel dulu memasuki ruang udara kita pun lepas Malaysia dah berikan kebenaran. Berbeza dengan kisah pesawat negara besar tu, diorang tak dapat kebenaran pun daripada negara kita untuk terbang di ruang udara kita. Bukan sebuah je yang terbang; 16 pesawat tentera ye… tu jumlah yang agak besar, dan boleh dilihat sebagai suatu langkah provokatif jugaklah.

kapal pesawat china ceroboh
Via UtusanTV

Menurut Malaysiakini, insiden ni disahkan oleh Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad. Memetik Utusan Online, pesawat China tersebut dah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapura sebelum memasuki ruang udara negara serta Kota Kinabalu.

“Mereka seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM,”- Seperti yang dipetik oleh Malaysiakini

peta ceroboh china malaysia
Laluan pesawat China yang ceroboh kawasan kita di kawasan FIR Kota Kinabalu.. -Via Malaysiakini

TUDM terus buat pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut, di samping beberapa percubaan untuk arahkan diorang hubungi kawalan trafik udara Kota Kinabalu. Arahan tersebut tak dipatuhi, dan didapati dah langkaui persempadanan Kota Kinabalu dan menghalau ke ruang udara nasional. Tindakan lanjut TUDM kemudiannya adalah untuk hantar pesawat pemintas pada jam 1.33 petang bagi tujuan identifikasi visual.

Hasil pemintasan udara mendapati, pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Kedua-dua merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi. Diorang dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

Mengikut maklumat pesawat dari Flightradar24, jenis Ilyushin Il-76 direka pada 1960-an untuk jadi sebuah pesawat pelbagai kegunaan yang besar, dan dulu, sesuai untuk keadaan cuaca Rusia yang ekstrem. Ia boleh disimpulkan sebagai sebuah kapal kargo yang dinamik.

ilyushin china
IL-76 milik China.. -Via Jetphotos

Manakala untuk pesawat Xian Y-20 pulak, ni boleh dikatakan antara aset canggih China. Mengikut FlightGlobal, Xian Y-20 pertama kali diterbangkan pada 2013 daripada pangkalan udara Yanliang dan banyak kali digunakan dalam beberapa misi termasuklah membawa bekalan kecemasan kepada bandar Wuhan tahun lalu. Dalam tahun yang sama jugak, Jabatan Pertahanan AS melaporkan Beijing dah banyak gunakan pesawat ni untuk turunkan tentera diorang dan pernah mendarat di kawasan Kepulauan Fiery Cross pada akhir tahun lalu.

Ni bukan kali pertama kita diceroboh oleh China. Pada tahun lalu, Laporan Ketua Audit Negara (KAN) Siri 3 mendedahkan kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (Pla) direkod menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019. Ketua Audit Negara jugak ambil maklum bahawa kerajaan China tak ambil pusing pasal nota bantahan kita berhubung pencerobohan tersebut. Bagi kita, isu pencerobohan China adalah suatu perkara yang serius terhadap kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Malaysia hantar nota bantahan, China kata tu cuma latihan ketenteraan

Lepas dapat laporan TUDM, Malaysia terus hantar nota bantahan diplomatik kepada China. Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kata kita akan turut menuntut penjelasan Duta China Ke Malaysia, Ouyang Yujing.

“Pendirian kita jelas. Mengadakan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara tidak bermakna kita boleh berkompromi dalam hal keselamatan negara. Malaysia akan terus menjaga kedaulatan dan keamanannya,”- Seperti yang dilaporkan Utusan

hishammuddin tweet
Via Careta,my

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Noor Nirwandy Mat Noordin kata ni suatu tindakan yang baik dari pihak kerajaan kerana ni menunjukkan bahawa kita tegas dalam soal kedaulatan negara, dan dapat menyelesaikan konflik melalui kaedah diplomatik. Tak semua perkara tu kita kena terus nak perang, meskipun ia tampak boleh dijadikan alasan kukuh untuk lancarkan serangan. Selagi boleh runding, kita kena runding. Tetapi air yang tenang jangan disangka takde buaya; kita masih mempunyai kekuatan tersendiri untuk mencapai objektif mempertahankan kedaulatan kita.

Dari pihak China pulak, diorang dakwa tindakan pesawat tentera diorang tu tak lebih dari sekadar latihan penerbangan biasa je. Mengikut jurucakap kedutaan China, kesemua 16 pesawat Tentera Udara China (PLAAF) tersebut takde berniat langsung menyasarkan mana-mana negara.

“Menurut undang-undang antarabangsa, kapal terbang tentera China itu hanya menikmati kebebasan penerbangan di ruang udara berkenaan. Malah, sepanjang latihan tersebut, pesawat tentera China itu mematuhi undang-undang antarabangsa yang berkaitan dan tidak memasuki ruang udara wilayah mana-mana negara lain.”- Seperti yang dipetik oleh Astro Awani

Amerika Syarikat pulak kecam insiden pencerobohan pesawat-pesawat tentera China yang terbang di ruang udara perairan Malaysia dan Taiwan. Jeneral Kenneth Wilsbach, komander tentera AS kata tindakan China akan menambah ketegangan di Laut China Selatan. Sebelum insiden ni, China memang dah lama cuba nak ‘mendominasi’ situasi di Laut China Selatan sehingga kadangkala, kita sendiri perlu berhati-hati. Misalnya dalam sebuah insiden di West Capella dulu, kapal perang China dan Amerika bertembung (tapi takde serangan berlaku) antara satu sama lain sehingga kita turut hantar aset kita sendiri bagi meredakan ketegangan tu.

Via CSIS.org

Kami harap isu ni dapat dirundingkan dengan baik, tanpa perlu menimbulkan konflik antara kedua-dua negara besar ni. Malaysia, termasuk beberapa negara jiran kita mempunyai hubungan baik dengan China dan Amerika Syarikat sebagai suatu cara nak kekalkan neutraliti kita. Namun apabila kita dicabar, kita jugak perlu menunjukkan bahawa kita turut mempunyai kekuatan tersendiri dan takkan dibuli oleh negara-negara besar ni.

Lebih-lebih lagi baru-baru ini kita mengesan kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan Sarawak. Ia terus mencetuskan kegusaran dalam kalangan nelayan di Sarawak. Kapal pihak berkuasa China itu dikesan di kawasan Beting Patinggi Ali terletak 84 batu nautika dari Miri, Jumaat lepas. Kejadian itu sudah dilaporkan oleh beberapa pemancing tempatan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Miri.

Berikutan itu, difahamkan aset Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikerah ke lokasi terbabit untuk mengetatkan kawalan perairan yang turut dikenali sebagai South Luconia Shoals itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *