Walaupun dengan pelbagai isu, Malaysia merupakan negara yang disegani. Ini sebabnya

F1
Walaupun dengan pelbagai isu, Malaysia merupakan negara yang disegani. Ini sebabnya

Di sebalik politik negara kita yang nampak tunggang-terbalik, orang luar sebenarnya masih memandang baik terhadap Malaysia dan seluruh masyarakatnya. Ni disebabkan oleh polisi luar kita yang membuatkan pemimpin negara lain banyak memuji dasar kerajaan kita yang selalu disifatkan sebagai inklusif dan mementingkan kerjasama dari segenap aspek dengan negara lain.

Tambah lagi, Malaysia ni pun cukup berpengaruh jugak di mata dunia. Kadangkala ‘teguran’, bantahan dan suara Malaysia ni dikutip, dilaporkan dan dibincangkan seluruh dunia. Apatah lagi bila kita nak bantah atau menegur negara lain.. teguran kita tu boleh pengaruhi persepsi negara lain terhadap negara yang kita tegur tu.

Peta
Via SMEinfo

Isu pendatang asing jadi isu keselamatan hangatkan perbincangan Malaysia dengan negara-negara lain

Untuk kita menelusuri macam mana Malaysia boleh menjadi begitu berpengaruh, kita kena lihat dahulu dari segi kebijaksanaan para pemimpin dulu untuk mengendalikan hubungan dengan negara-negara lain. Negara-negara lain yang ditumpukan tu haruslah bermula dari negara-negara jiran kita jugak.

Sedikit berbeza dengan Filipina dan Indonesia, kita lahir lebih lewat dari mereka. Tetapi rantau Asia Tenggara mengalami cabaran keselamatan yang sama sehingga kini. Bila kita nak sebut pasal keselamatan, kita kena fikir jauh sikit dari perkara yang melibatkan ketenteraan. Lepas Perang Dingin, lebih banyak masalah timbul seperti masalah pelanunan, pendatang haram, penyeludupan dan jenayah-jenayah lain rentas sempadan.

Perlis Penyeludupan
Via Malaysiakini

Oleh sebab ini, kita sentiasa cuba rapatkan kerjasama memperbaik hubungan dengan negara lain sama ada dengan kaedah dua hala (bilateral) ataupun pelbagai hala (multilateral). Kalau di rantau Asean ni, biasanya kita akan buat kerjasama dua hala berbanding pelbagai hala ni memandangkan ada sesetengah isu tu lebih relevan antara Malaysia dengan satu-satu negara jiran.

Ditambah lagi, Malaysia ni strategik sangat sebab ia sebenarnya berada di tengah-tengah rantau Asean dan secara relatifnya, mempunyai iklim politik yang stabil jika dibandingkan dengan negara lain. Tetapi atas lokasi kita yang strategik tu, kita jugak banyak memikul beban sebagai ‘penerima’ kesan daripada banyak isu sekitar negara-negara jiran.

Rohingya Malaysia Bot
Bot pelarian Rohingya ke Malaysia dulu.. Via Buletinonline.net

Antara isu penting yang selalu dibincangkan antara negara adalah isu pendatang asing di Malaysia. Kita menerima banyak sumber tenaga kerja asing dari beberapa negara seperti Filipina, Indonesia dan Thailand. Kedatangan mereka sebenarnya dari lama, namun lepas 1980-an, pendatang asing ni mulai menonjol dalam isu politik dan keselamatan negara lantaran ramai antara mereka dikaitkan dengan kadar jenayah di Malaysia.

Selain tu, berlaku jugak isu pendatang asing ni cuba masuk ke dalam Malaysia dengan cara yang salah dan tanpa dokumen yang sah. Kebanyakan pendatang asing ni sebenarnya nak kerja kat Malaysia, memandangkan ramai lagi rakan senegara mereka dah dikelompokkan sebagai ‘tenaga kerja asing’ di Malaysia.

Pati Mkn Pelarian Pendatang
Via Twitter

Rata-rata tenaga kerja asing kat Malaysia ni banyak datangnya dari Indonesia dan Filipina, namun kat Semenanjung Malaysia, tak banyak liputan akhbar di Malaysia mengenainya kerana kebanyakan tenaga kerja dari Filipina lebih tertumpu kat Sabah. Liputan akhbar Indonesia pulak lebih kerap gambarkan Malaysia ni suka bertindak agresif dan tak adil dengan pembantu rumah dari negara mereka.

Ancaman pengganas tetap jadi isu utama, banyak perjanjian keselamatan termeterai antara Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand

Sudah tentu ancaman pengganas ni tetap menjadi antara isu penting dalam kerjasama antara Malaysia dan negara Asean yang lain. Walaupun wujud banyak pertikaian kawasan antara kita dengan negara jiran, ni tak memutuskan semangat kejiranan untuk membanteras ancaman pengganas yang sentiasa wujud rentas negara.

Pada 23 April 2000, kumpulan pengganas Abu Sayyaf dah culik dan menahan 21 orang pelancong di Pulau Sipadan, Sabah. Kerajaan Filipina di bawah pimpinan Gloria Arroyo-Macapagal kerahkan Angkatan Tentera Filipina dengan bantuan tentera Amerika Syarikat turun ke kawasan selatan negara tersebut untuk tumpaskan Abu Sayyaf.

Philippines Indonesia Kidnapping Piracy
Tentera Abu Sayyaf yang mati ditembak oleh tentera Filipina sewaktu cuba selamatkan warga Indonesia yang diculik kat Mindanao. Via Arab News

Pada 11 September tahun yang sama pulak, Angkatan Tentera Malaysia sekali lagi terpaksa dikerahkan untuk menumpaskan sisa Abu Sayyaf yang kembali menyerang Pulau Pandanan. 20 tahun lepas tu pun, Abu Sayyaf ni masih lagi ada dan dikatakan bersembunyi di perairan Filipina. Banyak operasi maritim dijalankan dengan kerjasama Malaysia-Filipina, seperti Ops Pasir dan penubuhan Jawatankuasa Rondaan Sempadan dengan aset udara kedua-dua negara.

Hasil kerjasama Malaysia-Indonesia pulak turut wujud dalam mengatasi ancaman komunis di sempadan Sarawak-Kalimantan. Perjanjian 1967 antara Malaysia dan Indonesia ni menjadi batu asas kepada kerjasama ketenteraan yang akhirnya diperluaskan kepada membanteras aktiviti penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia. Jawatankuasa Kawalan Operasi Terkoordinasi (Coordinated Operation Control Committee-COCC) pun ditubuhkan untuk selaraskan operasi keselamatan antara Malaysia dan Indonesia.

Bernard Then Muka Depan The Star
Bernard Thien, warga Malaysia yang dipenggal oleh Abu Sayyaf.. Via hype.my

Perjanjian Operasi Sempadan antara Malaysia dan Thailand pun turut dilaksanakan demi menghalang kebangkitan komunis pada 1959. Situasi kat selatan Thailand ni pun sukar jugak sebab ketika 70-an dulu, ada antara penduduk Betong, Thailand sokong PKM hingga mendesak pasukan keselamatan yang ditugaskan Malaysia berundur. Thailand kemudiannya buat rundingan semula agar memastikan Malaysia dapat bantu kawal komunis di sana hingga termeterainya perjanjian damai antara PKM dengan Malaysia pada 1989.

Dasar luar Malaysia perlu difahami dan dihayati, mudahkan kita kenal negara sendiri

Kalau korang nak belajar lebih banyak tentang hubungan keselamatan, korang boleh rujuk artikel dari Ruhanas Harun (2009). Apa yang kami nak tunjuk kat sini adalah negara kita ni sebenarnya banyak mempunyai dasar-dasar yang baik dan tak segan bekerjasama dengan negara-negara lain untuk menjaga kedaulatan negara.

Breaking News Kapal Pemusnah China Bertembung Armada Amerika Di Laut Kita, Menteri Beri Amaran Keras
Antara pertembungan West Capella April lalu.. Via 1Media.my

Baru-baru ni, reaksi Malaysia yang dah kemukakan notis bantahan lepas akhbar Filipina memetik kenyataan Setiausaha Luarnya menuntut semula Sabah merupakan salah satu tindakan yang harus dipuji dan diangkat. Sifat kes tuntutan Filipina terhadap Sabah sebenarnya agak rumit kerana ia banyak memerlukan kefahaman sejarah, tetapi kami dah mudahkan untuk korang faham hujah asas penolakan tuntutan tersebut.

Yang pasti, sempena bulan memperingati Hari Malaysia ni… di samping kita mengimbau manisnya sejarah gagasan Malaysia ditubuhkan, kita jugak tak harus terbuai-buai hingga leka untuk melihat isu-isu masyarakat pada hari ni.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top