Kisah Kapten Nurul Arrienne jadi malim wanita pertama di Malaysia

f1

Seperti kaum lelaki, wanita jugak sebenarnya berbakat dan layak untuk diiktiraf kerana kemampuan diorang. Pengiktirafan ni yang jarang ramai pihak nak buat, biasanya sebab diorang masih terperangkap dalam stereotaip negatif ke atas wanita. Wanita dulu dilihat sebagai kaum berlainan jantina yang lemah, tak begitu cerdik dan kurang berpengetahuan setaraf dengan lelaki. Namun keadaan tu berubah apabila wanita kini diberikan peluang untuk belajar, bekerja dan berkhidmat seperti lelaki. Hasilnya, kita dah berjaya lahirkan ramai wanita hebat dan berkeupayaan memimpin serta menerajui bidang yang lazimnya didominasi oleh lelaki.

728 X 90

Salah sorangnya merupakan sorang kapten wanita Malaysia pertama yang dilantik menjadi nakhoda atau ship master kapal pengangkut LNG. Tak mudah sebenarnya nak bawa kapal pengangkut LNG, dan tentunya ni menampakkan betapa hebatnya sorang wanita Malaysia sehingga diberi tanggungjawab besar untuk ketuai kapal antarabangsa yang aktif bergerak ke seluruh dunia. Manakala sorang lagi dinobat malim pelabuhan pertama di Malaysia, dan menginjak jejak yang sama bagi memikul tugas nakhoda nanti.

pelabuhan
Via Majlis Perbandaran Klang

Kapten Eezmaira dilantik jadi kapten wanita Malaysia pertama, awalnya terpilih dalam latihan maritim profesional di Malaysia

Pada 18 Ogos 2021, Eaglestar Marine Holding dengan bangganya umumkan bahawa diorang dah lantik sorang kapten baharu untuk mengetuai salah sebuah kapal pengangkutnya. Kapten Eezmaira Sazzea Binti Shaharuzzaman dipertanggungjawab untuk memimpin Seri Bijaksana , sebuah kapal pengangkut LNG seberat 153,000 cbm. Untuk pengetahuan korang, kapal pengangkut LNG ni bermaksud kapal tu membawa muatan yang agak berisiko seperti gas asli. Ni menunjukkan betapa hebatnya Kapten Eezmaira sehingga dipilih menjadi nakhoda baharu untuk mengemudi sebuah kapal muatan gas.

malaysian first eezmaira
Pencapaian Kapten Eezmaira diraikan ramai.. -Via Twitter

Kapten Eezmaira jugak merupakan antara kumpulan pertama wanita Malaysia yang terpilih untuk mengikuti latihan maritim profesional di Akademi Laut Malaysia (ALAM). Pada 2006, akademi tersebut mulai buka penempatan baharu untuk kadet wanita. Mengikut carian kami, Akademi Laut kita mempunyai dua program diploma iaitu Diploma dalam Pengajian Nautika dan Diploma dalam Kejuruteraan Marin setakat artikel ni ditulis. Kapten Eezmaira bergraduasi dari ALAM pada 2011 dalam diploma dalam Pengajian Nautika dan dah berkhidmat selama 10 tahun sebagai pegawai geladak di syarikat Eaglestar.

Dalam tempoh 10 tahun tu, tentunya perjalanan kerjaya hingga diangkat sebagai Master kapal adalah suatu perkara yang sukar… walaupun ia tak mustahil. Kapten Eezmaira tak semata-mata kapten; sebagai sorang Master kapal… macam-macam tanggungjawab yang harus dipikulnya. Ia jugak jawatan tertinggi dalam sesebuah kedudukan hieriarki sesebuah organisasi anggota kapal. Ringkasnya, sorang Master kapal kena pastikan sebarang operasi dalam kapal seperti merancang jalan kapal, pembaikian dan pemeliharaan kapal sentiasa berjalan lancar.

seri bijaksana
Besar jugak Sri Bijaksana ni.. -Via Tradewinds

Menurut sebuah laman web maritim Martide, kebanyakan Master pada hari ni mengutip pengalaman diorang dengan naik dari satu pangkat ke pangkat yang lain seperti Pegawai Ketiga, Pegawai Kedua dan akhirnya Pegawai Pertama sebelum menjadi Kapten Master. Pelbagai latihan dan kemahiran jugak wajib dipelajari untuk berpeluang naik pangkat. Kapten Eezmaira menjadi bukti bahawa wanita jugak boleh berkecimpung dalam bidang maritim.

“Saya sangat bersyukur dan berbangga menjadi Master wanita pertama dalam Eaglestar dan ia akan menjadi suatu perjalanan yang menggembirakan untuk saya dalam jawatan baharu ini. Saya harap ini akan menginspirasikan para pelaut wanita yang lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan dan menambah nilai kepada industri maritim global”- Kapten Eezmaira Sazzea binti Shaharuzzaman, seperti yang dipetik dalam kenyataan media Eaglestar

kapten eezmaira
Sedia bertugas.. -Via Linkedin

Catatan kehidupannya di laut boleh dicapai dalam sebuah blog peribadinya di sini. Seimbas lalu, blog ni pun dah lama tak dikemaskini. Hantaran terakhirnya adalah pada 2012, jadi dah lama sangat ‘terbiar’. Namun begitu, salah satu cita-citanya yang tertulis di dinding blognya ni telah tercapai iaitu “first female captain in Malaysia, insyaAllah”. Kami harap cita-citanya yang lain dah tercapai jugak sepanjang tempoh ni.

Lebih ramai wanita bakal mengikuti jejak Kapten Eezmaira, Kapten Nurul Arrienne jadi malim wanita pertama di Malaysia

Perjalanan Kapten Eezamaira menjadi Master kapal jugak dilalui oleh ramai malim wanita lain. Dengan terbukanya ruang ni, nampak sangatlah bidang maritim ni sebenarnya lebih dari sekadar ‘kerja orang lelaki’. Bagi sesiapa yang minat dan faham tentang bidang maritim khususnya perkapalan, diorang pun mengerti bahawa kerja di laut tak harus dibataskan kepada lelaki je.

arienne kapal malim pertama malaysia
Kapten Nurul Arrienne.. -Via Harian Metro

Baru-baru ni, salah sorang malim pelabuhan wanita iaitu Nurul Arrienne jugak pernah ditemubual oleh Harian Metro berkenaan bidang maritim ni. Turut berpangkat Kapten, Nurul Arrienne Muhammad Yusoff yang berasal dari Ipoh, Perak ni merupakan satu-satunya malim pelabuhan daripada 45 malim pelabuhan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Dia jugak adalah wanita pertama di Malaysia yang menjadi malim pelabuhan. Baru berusia 29 tahun, dia sambung pelajaran dulu kat ALAM dalam jurusan Pengajian Nautika dan ditaja syarikat perkapalan MISC.

“Pada tahun kedua, saya menjalani latihan praktikal di atas kapal milik MISC selama setahun sebagai kadet navigasi dan sebaik sahaja tamat pengajian, saya meneruskan karier sebagai Pegawai Navigasi. Hampir empat tahun saya menimba pengalaman sebagai Pegawai Ketiga (Navigasi) dan destinasi pelayaran kebanyakannya di sekitar Asia Timur.

Apabila terbaca mengenai pengambilan malim pelabuhan oleh PTP, saya segera memohon dan selepas melalui temuduga serta beberapa peperiksaan,Alhamdulillah, diterima sebagai malim pelabuhan pada tahun 2018”,- Kapten Nurul Arrienne Muhammad Yusoff, seperti yang dilaporkan Harian Metro

Dia cerita sikit macam mana tugas sehariannya kat Harian Metro pada Februari lalu. Kongsinya, shif siangnya bermula pada jam 7 pagi hingga 7 malam dan shif malam pulak bermula pada 7 malam hingga 7 pagi. Dia biasanya akan terima arahan daripada pusat kawalan pelabuhan tentang maklumat tempahan pergerakan kapal untuk dikendalikan. Lepas tu, dia akan bergerak naik Bot Malim ke kapal yang berada di dalam batas pelabuhan setengah jam awal daripada waktu kapal dijadualkan belayar.

malim pelabuhan arienne
Nurul Arrienne bersama idolanya, Kapten Akashah Md Dom.. -Via Harian Metro

Setibanya di kapal, malim pelabuhan bertugas untuk bantu nakhoda kemudi kapal untuk masuk ke alur pelayaran, dan bergerak ke destinasi yang ditetapkan. Sementara tu, banyak perkara yang perlu diambil kira seperti keadaan cuaca, arus lautan kelajuan angin. Tak dinafikan, masa tahun-tahun awal pembabitannya sebagai malim pelabuhan… ada jugak kapten terkejut melihat wanita yang tiba-tiba naik kapal. Namun lama-kelamaan, situasi sudah tak sekekok dahulu.

“Ramai wanita yang tidak tahu langsung mengenai peluang kerjaya dalam bidang maritim khususnya malim pelabuhan sedangkan bidangnya luas untuk diteroka selain menyediakan masa depan yang cerah.

Dengan pendedahan ini, saya harapkan akan lebih ramai golongan muda terutama wanita untuk menceburi bidang ini kerana ia menjanjikan peluang kerjaya dan kepuasan yang tersendiri,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro

arrienne bertugas malim
Sedia bertugas.. -Via Harian Metro

Dia jugak berharap impiannya memegang lesen A (UR), yang membolehkan seseorang malim pelabuhan mengemudi sekecil kapal hingga bersaiz mega. Sekarang ni, dia ada lesen B yang membolehkannya kemudi kapal hingga bersaiz 175 meter. Sambungnya lagi, ada dua lagi tahap yang perlu dilepasi iaitu lesen A2 dan A1 sebelum boleh dapat lesen A yang diimpikannya tu. Semoga maju jaya, kapten!

Melihat perkembangan wanita dalam bidang-bidang yang kurang popular dan berisiko ni, kita dah boleh menjadi lebih optimistik bahawa akan lebih ramai wanita yang mengisi ruang kerjaya dalam bidang-bidang ni, khususnya bidang maritim. Sama sekali meleset sangkaan ramai, sekiranya masih ada merasakan wanita hanya dinaikkan pangkat kerana jantinanya dan bukan keupayaan, kepimpinan dan kebolehannya menyelesaikan tugas. Lelaki atau wanita tak penting; yang penting adalah bagaimana dia berjaya laksanakan tugas dengan baik. Tu sepatutnya jadi piawai profesionalisme kita di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *