Kisah ‘Pasukan F’ dalam Angkatan Tentera Malaysia yang patut kita tahu

f1

Bila kita berbicara pasal kemerdekaan, tak terlepas untuk kita imbau semula sejarah pembentukan negara dan bagaimana kita mempertahankan kelahirannya daripada sebarang ancaman. Sejarah pembentukan negara ni tak hanya terhad pada pergelutan Tanah Melayu, malah Sabah dan Sarawak pun berhadapan dengan cabaran diorang. Salah satu cabarannya adalah nak membersihkan sisa komunis yang masih ada kat Malaysia selepas 1963.

728 X 90

Kali ni, kami nak kongsikan dengan korang tentang sebuah cawangan khas yang sehebat CIA dan KGB. Ingat negara luar je ke yang ada tentera elit; Malaysia pun ada jugak tau. Reputasi cawangan khas ni jugak muncul sebagai badan perisikan yang sangat efektif, efiesien dan menjadi ejen pembersih paling ditakuti oleh anggota komunis ketika tu. Dalam Cawangan Khas ni pulak, ada sebuah pasukan elit yang satu je huruf… namun ia hanya dianggotai oleh mereka yang berani je.

kolum igp. pasukan f team
Pasukan F tengah bertugas.. -Via Harian Metro

Selepas Perjanjian Hatyai 1989, Pasukan F jadi ‘pemburu’ komunis dan penjenayah bahaya

Mungkin tak ramai yang tau tentang Perjanjian Hatyai pada 1989. Memandangkan kita dah berjaya halang kemaraan semula penggempur bersenjatan PKM di Semenanjung sejak 1971 hingga 1990, diorang dah semakin lemah. Kita berjaya hapus dan tangkap ribuan anggota pasukan pengganas dan pergerakan bawah tanahnya hasil dari kecekapan Pasukan F. PKM hanya nak ke meja rundingan apabila penangkapan Ketua Unit Penggempur ke-6 PKM, Chong Chor dilakukan, kemudian disambung lagi dengan Operasi Taloong.

Dalam perjanjian damai pada 2 Disember 1989, ia berlangsung di Hotel Le Garden, Thailand pada jam 11.30 pagi. Ia dihadiri oleh pihak kerajaan Malaysia dan pihak PKM sendiri, dimana PKM janji untuk letak senjata dan serahkan senjata api kepada pihak berkuasa Malaysia atau Thailand, ataupun dimusnahkan di hadapan pihak keselamatan. Semua pengganas PKM yang berada di hutan diwajibkan serahkan diri dan letak senjata. Namun tak semua ni dengar kata atau hormat pada janji tu.

pasukan f operasi taalong
Dalam Operasi Taalong.. -Via M-update

Pasukan F tetap diturunkan untuk jalankan tugas diorang buat operasi pembersihan. Dalam operasi-operasi ni, diorang berjaya berkas saki-baki anggota pergerakan bawah Malayan National Liberation Front (MNLF) dan para penyokong tegar komunis. Maklumat ni berjaya diperoleh hasil dari soal siasat terhadap para pengganas komunis yang ditawan dalam Operasi Taalong. Operasi ni boleh dikatakan operasi yang besar, dan mengambil masa kira-kira 6 bulan serta berjaya capai kejayaan hampir 100% termasuk musnahkan senjata api komunis di Selangor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

Kejayaan Operasi ni menamatkan tugas Pasukan F dalam usaha tumpaskan pemberontahan komunis di Semenanjung dan Sarawak. Tenaga Pasukan F kemudiannya dipinjamkan untuk bantu menangani kes-kes jenayah, narkotik berprofil tinggi, menumpaskan sindiket seludup senjata api, penculikan, rompakan bersenjata, pengedaran dadah, sindiket cetak wang palsu dan sindiket perjudian.

tugu negara letup
Keratan akhbar dulu-dulu.. -VIa Facebook

Diorang biasanya ditugaskan buat pengintipan sehingga kepada mengambil tindakan menghapus atau menangkap sesiapa yang terlibat. Antara operasi berprofil tinggi yang lain adalah menghapuskan penculik Pengerusi Rubber Manufacturing Association pada tahun 1991, membantu berkas pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro bernama Rizal Alih di Sabah dan membantu tumpaskan penjenayah paling dikehendaki iaitu P. Kalimuthu atau Bentong Kali pada 1993.

Selain tu, banyak lagi operasi yang disertai oleh Pasukan F seperti yang kami senaraikan di bawah:

  • Operasi Senyap: operasi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan F. Pembabitan diorang disenyapkan, jadi ia dinamakan Op Senyap. (14 Mei- November 1971)
  • Operasi Ginseng: Nama operasi ni sempena nama satu ubat yang dijual oleh pemilik kedai singse yang jugak merupakan pemberi maklumat kepada Pasukan F. (1976-1977)
  • Operasi Kelong: Kelong ni maksudnya ‘perangkap ikan’ dan ia jadi simbolik kejayaan Pasukan F umpan pengganas komunis masuk ke dalam perangkap diorang dengan pelbagai helah. (April-Disember 1977)
  • Operasi Seng Kang: Dinamakan sempena nama bandar operasi berjalan. Pengganas MNLF yang disasarkan jugak gunakan nama yang sama iaitu Seng Kang. (1978)
  • Operasi Tapah: Diambil sempena nama kawasan operasi dijalankan iaitu di Tapah, Perak. (3 Oktober 1978)
  • Operasi Sawit: Diambil sebab lokasi operasi berdekatan dengan ladang kelapa sawit (1978)
  • Operasi Ular: Pada awalnya, operasi ni dinamakan Op Kambing sebab anggota Pasukan F menyamar jadi pembeli kambing untuk dijadikan prop penyamaran. Bagaimanapun, seekor ular sawa pulak ditemukan dalam kandang kambing, lalu nama operasi tu ditukar kepada ular bagi mengingati peristiwa itu. (Operasi Ular berlangsung selama 20 siri, 1982-1984)
  • Operasi Kelisa: Dinamakan sempena ikan yang banyak kat kawasan Pahang (1986)
  • Operasi Pancing: Simbolik kepada tugas Pasukan F ketika tu yang memancing pengganas komunis keluar dari hutan. (April 1984- Julai 1988)
  • Operasi Taloong: Operasi bersepadu untuk hancurkan ‘naga besar’ atau Taalong dalam PKM. (1988)
  • Operasi Paraku II: Sempena nama pasukan komunis di Sarawak iaitu Paraku. (Paraku I pada 1970-1976, Paraku II pada 1990)
  • Operasi Ampang: Diambil sempena nama kawasan operasi yang berpusat di Ampang. (1974)
  • Operasi Tugu: Diambil sempena kejadian pengeboman Tugu Negara. (1975)
  • Operasi Beruang: Dinamakan sempena kemunculan banyak haiwan di kawasan operasi Pasukan F ketika itu. (1979)
  • Operasi Pentas: Operasi yang menggunakan pentas untuk beri penerangan kepada pengganas komunis untuk serah diri. (1980)

Tak mudah nak sertai Pasukan F, rupanya ada ‘perangai’ spesifik yang diperlukan untuk jadi pengintip berkesan

Namun demi menjaga kerahsiaan, peranan Pasukan F ni tak pernah dihebahkan dan tak dilaporkan secara rasmi supaya diorang tak perlu hadiri perbicaraan di mahkamah. Tambah lagi, diorang ni tertakluk dalam Akta Rahsia Rasmi 1972, dan hanya didedahkan kepada umum bila fail-fail diorang dah dinyahsulitkan. Bila dah namanya rahsia sulit, ni bermakna keluarga diorang sendiri pun tak boleh tau apa kerja sebenar diorang.

Sebenarnya Pasukan F ni pun baru ditubuhkan kerana keperluan zaman waktu tu. Pihak komunis bangkit semula dan dibantu oleh pergerakan bawah tanah komunis seperti Malayan National Liberation Front (MNLF) dan Malayan People Liberation League (MPLL). Atas sebab ni, Cawangan Khas tubuhkan unit elit iaitu Pasukan F pada 1971. Tugas utamanya adalah untuk bantu kemaskan dan kukuhkan tugas-tugas perisikan di lapangan dengan menyalurkan maklumat serta risikan yang diperoleh kepada pasukan-pasukan keselamatan. Bila dah nampak potensi Pasukan F ni, ia kemudiannya dinaiktaraf kepada pasukan strike force yang menentang menerusi kaedah penyamaran.

logo pasukan f
Logo Pasukan F dan maksudnya.. -Via Facebook PDRM

Pada awal penubuhannya pada Mac 1971, Pasukan F diketuai oleh Deputi Superintendan Leon Chee Woh yang merupakan Pegawai Turus pertama pasukan tersebut. Ketika tu, ia hanya dianggotai kira-kira 15 orang, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada bekas pengganas komunis yang pernah ditangkap atau menyerah diri. Kesemuanya bertugas di Cawangan Khas di Regional Border Committee Organization, Selatan Thailand.

Leon Chee Woh ni pun berpengalaman jugak dalam hal perisikan, dan pernah bertugas sebagai Ketua Perisikan Jawatankuasa Sempadan Malaysia-Thailand. Keanggotaan bekas pengganas komunis ni ditambah lagi dengan pengambilan anggota terpilih daripada Pasukan Polis Hutan (PPH) dan Unit 69 Komando. Keistimewaan diorang ni, gabungan anggota bermotokan ‘Hanya Yang Berani’ berjaya menangkap hidup-hidup pengganas komunis bersenjata tanpa ada kecederaan parah.

pasukan f team awal
Formasi awal Pasukan F.. -Via Facebook PDRM

Oleh sebab diorang ni bertugas sebagai perisik, pengumpul maklumat dan adakalanya, terpaksa jadi pemburu dan pembunuh musuh… diorang sentiasa dalam keadaan senyap, fleksibel dan tak ikut kaedah yang ketat. Ni bermaksud tak macam pasukan keselamatan lain, diorang tak terikat dengan cara pergerakan ikut prosedur operasi standard. Selain tu, diorang kadangkala perlu bergerak sendirian dan perlu minta bantuan daripada pasukan keselamatan tertentu untuk menjayakan operasi.

Menjadi perisik ni kerjaya yang menarik, tetapi ia sebenarnya sulit dan perlu diteliti dengan sebaiknya. Selain kepakaran gunakan senjata serta lulus semua ujian fizikal dan taktikal, diorang kena ada keberanian luar biasa, kental hadap tekanan, sanggup hadap bahaya, ‘degil’ dan takde ciri-ciri sorang anggota polis.

pasukan f sritharan
Bekas pegawai Pasukan F Sub Inspektor S Sritharan bersama rakan sepasukan.. -Via Harian Metro

Ni kerana diorang perlu menyamar ikut keadaan dan kesesuaian tempat seperti sebagai orang kampung, pekerja buruh dan beberapa lagi dalam tempoh yang lama. Diorang jugak kena bijak berinteraksi dan pandai lakukan helah dalam situasi getir terutamanya bila bertembung dengan musuh.

Diorang turut dilatih dalam teknik bertempur di hutan (perang gerila), taktik operasi pengganas komunis di hutan, cara-cara menyamar ikut keadaan, masa dan tempat antaranya memburu, mencari hasil hutan seperti herba, buluh dan rotan ataupun menyamar sebagai pekerja Jabatan Ukur serta bermacam lagi.

anggota pasukan f
Sebahagian anggota Pasukan F.. -Via Facebook PDRM

Kemahiran bertempur di hutan dan bandar jugak perlu ada. Bagi melaksanakan operasi sulit, biasanya anggota Pasukan F akan buat latihan simulasi sehingga mencapai tahap kemahiran yang mencukupi untuk menyelesaikannya. Dari semasa ke semasa, keanggotaan Pasukan F silih berganti namun tak pernah lebih 50 orang dalam satu-satu masa. Kini, fail-fail rahsia tersebut dah diklasifikasikan dan boleh didedahkan kepada orang ramai.

Berdasarkan rekod Cawangan Khas, Pasukan F dah berjaya hapuskan 48 komunis, menawan 171 pengganas di hutan, memberkas 1,432 anggota pergerakan bawah tanah di Semenanjung sekaligus membawa kepada pemeteraian Perjanjian Hatyai pada 2 Disember 1989. Sejak ditubuhkan, Pasukan F hanya mempunyai 164 anggota dalam tempoh 25 tahun.

Diorang takde uniform operasi khusus, takde rangsum, tinggal cuma di dua kuaters kerajaan dan takde orang tahu dalam tempoh 2 dekad lebih tu. Namun pada tahun 1992, anggota Pasukan F mula berkurangan bila ada di antara diorang dah bersara awal. Pada 1 Mei 1996, pasukan tersebut dibubarkan bagi mengelakkan pertindihan tugas dengan cawangan-cawangan lain.

ahli pasukan f
Senarai anggota pasukan F.. -Via Facebook PDRM

Para anggota pasukan yang masih berkhidmat ketika tu ditukarkan ke bahagian lain dalam Cawangan Khas termasuk di negeri dan daerah. Kini bekas anggota Pasukan F yang masih berkhidmat dengan PDRM hanya tinggal beberapa orang dan mungkin dah nak bersara juga. Yang pasti, kalau bukan kerana pengorbanan dan keberanian pasukan elit ni serta kebijaksanaan diorang dalam menghadapi musuh dan tak segan bekerjasama dengan pasukan keselamatan lain… kita akan terus mencatat lebih banyak tragedi berdarah dalam sejarah.

Ada sesetengah orang ni suka membandingkan sejarah kita dengan sejarah negara lain yang penuh merah, dan mendakwa tu sebabnya “jati diri” kita lemah. Sebaliknya, kita seharusnya mentafsirkan hakikat tersebut dengan lebih positif. Jati diri tak terbina sekadar kerana perang; ia terbina kerana kesatuan hati, perpaduan, integrasi dan kesefahaman rentas kaum, jantina dan agama. Persoalan “jati diri” tak patut dibangkitkan saat perayaan kemerdekaan je, sebaliknya ia adalah proses berterusan sepanjang zaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *