Kisah seorang usahawan muda yang tersenarai Forbes under 30 Asia, rupa-rupanya penipu

f1

Suatu masa dulu, Harsh Dalal adalah nama yang membanggakan rakyat Singapura. Menjadi usahawan muda yang berjaya dan sampai ke peringkat antarabangsa menjadi cita-cita ramai orang, termasuklah si Harsh Dalal ni. Jadi bila nama dia naik ke senarai Forbes 30 under 30 Asia, tentulah perkara ni suatu yang boleh buatkan kita ikut terinspirasi dengan bagaimana dia bina syarikatnya kan?

728 X 90

Namun begitu, sorang wartawan dari Tech in Asia rasa pelik dengan Harsh Dalal. Dia akhirnya buat siasatan terperinci dan mendapati bahawa Harsh Dalal sebenarnya berjaya mengkaburi mata seluruh dunia, termasuklah Forbes sendiri. Agaknya dia ingat takde orang akan terperasan kot dan akan terus telan bulat-bulat je kisah ‘kejayaan’ membina syarikatnya… yang mungkin tak wujud pun.

harsh dalal
Ni lah dia Harsh Dalal..-Via Vulcan Post

Kononnya dah berkecimpung dalam dunia perniagaan pada umur 11 tahun, Team Labs dibina pada usia 16 tahun

Kini, tak banyak dah cerita terkini mengenai perkembangan Harsh Dalal. Takde orang tau dia kat mana, dan apa yang dia buat sekarang selepas dakwaan-dakwaan kejayaannya tak dapat disahkan. Ye lah, kalau betul dia ni seperti apa yang dia katakan… tentunya mudah je mana-mana wartawan profesional korek sejarah dan bagaimana dia bina perniagaan diorang. Elon Musk pun ada cerita dia sendiri, Jeff Bezos pun ada cerita macam mana dia bina Amazon, dan Mark Zuckerberg pun ada cerita dia tersendiri bagaimana Facebook terhasil.

harsh dalal
Via CNA

Tapi mengapa Harsh Dalal begitu kontroversial? Vulcanpost pernah menyenaraikannya sebagai 5 usahawan muda yang mulakan bisnesnya sebelum berusia 20 tahun. Mengikut laporannya, Harsh Dalal ni dah berkecimpung dalam perniagaan seawal usia 11 tahun. Takde perkara yang pelik di situ; ni hakikat biasa yang boleh dilakukan oleh ramai orang yang dah menunjukkan minat dalam berniaga.

CNA turut berminat nak buat liputan pasal Harsh Dalal. Dalam sebuah video temu bualnya, dia ada cerita sedikit latar belakangnya. Pada umur dia 12 tahun, dia dah menginjakkan kaki ke dalam dunia teknologi dan pengaturcaraan lepas dia berkenalan dengan beberapa orang asing kat forum sosial laman pembangunan iOS yang rasmi. Dari situ, dia dakwa dia dan empat orang lagi mulai membina aplikasi untuk iOS seperti aplikasi perakam skrin.

harsh dalal screen record apps
Via CNA

Melihat kejayaan diorang bina aplikasi dan ramai pengguna iOS berminat pasang aplikasi diorang kat telefon pintar, ni membuatkan diorang lebih berani nak cuba. Namun diorang berjaya jugak dapat projek aplikasi pemasaran yang bernilai US$100,000. Pada umurnya 16 tahun, dia lebih sibuk bina kerjaya berbanding fokus dengan sekolah.

Katanya lagi, dalam temu bual CNA, masa tu dia perasan proses kerjasama atas talian antara dia kat Singapura dan ahli lain daripada pelbagai negara sedikit terganggu kerana zon masa yang berbeza. Akhirnya dia cadangkan ahlinya untuk bina solusi kepada masalah tersebut. Di sinilah muncul idea di sebalik Team Labs.

aplikasi perniagaan bisnes harsh dalal
Via CNA

Melangkaui hingga dia berumur 19 tahun, dia dilaporkan dah jadi pengasas bersama dan CEO kepada Team Labs. Team Labs ni dibina pada tahun 2012 oleh 5 orang pelajar dan pada tahun 2014, ia berjaya memikat hati sekurangnya sejuta pengguna. Untuk membina syarikat tu pulak, diorang cuba jugak hubungi ramai pelabur.

Hanya satu je yang beri respon dan percaya kepada Team Labs. Pelabur tu faham diorang ni masih muda lagi dan tak berpengalaman, namun atas kepercayaan tersebut… Team Labs akhirnya dapat modal 6 angka yang diorang nak. Setakat 2020, Team Labs berjaya dapat raih modal sebanyak US$9.8 juta dan lancarkan empat aplikasi yang membantu kolaborasi antara kumpulan. Pada Januari 2020, ia dinilaikan pada US$25 juta, dan klien termasuklah perniagaan kecil dan sederhana tempatan serta syarikat antarabangsa di luar Singapura.

sme mnc harsh dalal
Via CNA

Namun bila pandemik melanda, ramai klien dah tak mampu teruskan langgan perkhidmatan diorang. Mentornya, merangkap pelabur yang percaya dengan kemampuan diorang ni pulak meninggal dunia kerana Covid-19. Empat lagi pengasas bersamanya turut keluar daripada syarikat tersebut kerana sebab peribadi. Berseorangan, Harsh Dalal terpaksa bergantung dengan nasihat para pelabur dan orang lain.

Dengan 125 pekerja di 8 kota, Harsh Dalal bangga dengan pencapaian syarikat tersebut. Rutin hariannya hanya terhad kepada 4-6 jam tidur dan takde masa untuk dirinya sendiri. Hal ni kira normal lah untuk usahawan antarabangsa. Nasib baik dia sempat menamatkan pengajiannya dalam diploma Pentadbiran Perniagaan dari Singapore Polytechnic dan sepatutnya tengah jalani Khidmat Negara pada tahun ni.

harsh dalal ns singapore
Via CNA

Menariknya, dalam video CNA tu sendiri, dia ada sebut tentang pelan keluar (exit plan) apabila ditanya tentang masa depan Team Labs:

“Saya fikir semua pengasas perlu ada sebuah pelan keluar. Dan ia penting untuk mempertimbangkan segala senario. Banyak benda yang boleh berlaku, dan saya fikir mungkin dalam 10 tahun ke depan, IPO akan menurun atau (syarikat) akan dibeli. Saya fikir semua ini adalah pilihan yang menarik yang akan berlaku bila ia berlaku…”- Harsh Dalal, seperti yang dilaporkan CNA Insider

Tak sampai sebulan masuk senarai Forbes, takde satu pun pelabur mengaku diorang beri dana kepada Team Labs

Berdasarkan video temu bual tersebut, kami pun boleh terpegun dengan kesungguhan Harsh Dalal sebagai sorang usahawan dan pengaturcara. Jelas pada riak wajahnya, macam tulus je dia buka cerita semula tentang pengalamannya membina Team Labs hingga tahun 2021. Walaupun begitu, CNA sendiri tak dapat mengesahkan banyak perkara berkaitan dengan Harsh Dalal.

team labs harsh dalal
Via Campus Magazine

Pada awal Mei 2021, sebuah artikel Tech in Asia kata bahawa banyak persoalan timbul dalam dakwaan cerita Harsh Dalal. Antaranya adalah latar belakang pelaburnya, yang berjaya meraih modal sebanyak US$9.8 juta iaitu sebuah firma bernama Grand Canyon Capital. Ni yang lebih pelik, bila Tech in Asia mintak sendiri Harsh jawab persoalan tu.. dia kata nombor-nombor yang dia pernah sebut berkaitan dengan Team Labs tu tak boleh dirujuk kepada dia, sebaliknya ia disediakan oleh Grand Canyon Capital tu. Kata Harsh, syarikat pelabur tu yang bertanggungjawab uruskan kewangan syarikat.

The Straits Times jugak buat semakan, dan mendapati bahawa takde syarikat tempatan yang berdaftar dengan Team Labs, manakala firma Grand Canyon Capital tu hampir tak wujud dalam talian…tu pun hanya berkaitan dengan Team Labs je. Sementara tu, laman web Team Labs jugak dikatakan hanya diarahkan kepada pautan untuk cipta akaun baharu, yang tak jugak berjaya. Seolah-olah laman sesawang Team Labs tu cuma laman untuk demonstrasi je. Kami pun dah cuba daftar dan nampak macam tak berjaya je.

akaun team labs
Antaramuka pendaftaran laman sesawang Team Labs

CNA jugak cuba menghubungi para pelabur di belakang Team Labs, pertama dengan gunakan tiga alamat emel dan nombor telefon AS yang diberikan oleh Harsh Dalal. Diorang turut cari maklumat pelabur tu kat pangkalan data korporat serta platform media sosial. CNA mendapati banyak jugak firma pelabur yang mirip namanya dengan Grand Canyon Capital. Sayangnya, sebarang perhubungan dengan gunakan maklumat yang Harsh Dalal berikan tu takde sebarang maklum balas pun.

Kemudiannya, CNA hubungi jugak ibu pejabat GC di San Franscisco… sesuai dengan lokasi yang kononnya dikatakan ibu pejabat Team Labs. Ibu pejabat GC di San Franscisco tu memberi respon, kata dia (dan firmanya) takde kena mengena dengan Team Labs. Harsh Dalal dimaklumkan dengan usaha CNA ni, dan dia pun hairan kenapa takde yang berikan maklum balas kepada CNA termasuklah “Chris”, wakil pelabur yang dia kenal dari firma Grand Canyon Capital.

harsh dalal forum
Turut dapat perhatian pengguna forum lain.. -Via Hardwarezone

Ditambah lagi, Harsh Dalal kata pulak dia sebenarnya tak tau apa-apa dan tak terlibat dalam banyak operasi syarikat termasuklah urusan pengambilan dan kewangan. Lebih pelik, dia sendiri tak dapat mengakses kewangan dan laman sesawang syarikatnya tu, serta tak terlibat jugak dengan mana-mana percubaan produk di bawah Team Labs.

CNA tak berhenti setakat tu je. CNA memang dah cuba untuk bercakap dengan kakitangan Team Labs dan rakam perbualan video Harsh Dalal dengan diorang masa rakaman untuk siri episod tahun lalu… tapi permintaan tu ditolak pada masa tersebut. Buat masa tu, CNA hanya hormati je keputusan diorang, mungkin nak jaga privasi ke apa. Tapi bila dah jadi macam ni, ia hanya menambah curiga.

team labs
Kawan atau kakitangan? Antara wajah asing yang ‘temankan’ Harsh Dalal semasa rakaman episod CNA.. -Via CNA

Begitu juga dengan usaha CNA untuk menghubungi kakitangan yang menyenaraikan sejarah pekerjaan diorang di Team Labs dalam LinkedIn. Ada dua orang berjaya ditemui, namun mengikut maklumat pendidikan yang ditemui dalam profil diorang, diorang ni kelulusan dari Carnegie Mellon University dan New York University. Kedua-duanya tak dapat disahkan ijazah diorang. Sebarang cara nak hubungi diorang sama ada mesej dan emel kepada kedua-dua kakitangan ni takde respon jugak.

Klien-klien yang disenaraikan dalam laman sesawang Team Labs seperti Spotify, Coca Cola jugak dihubungi. Takde satupun yang boleh mengesahkan bahawa diorang guna produk Team Labs ni. Bila CNA sekali lagi maklumkan kepada Harsh Dalal, dia hanya mampu menyesali tentang kekurangan sifat keusahawanan yang dia ada dan betapa dia terlalu percayakan pelaburnya tu. Akhir katanya dalam temu bual akhirnya bersama CNA, dia kata dia tak buat semua ni untuk perhatian, nama atau wang. Dia hanya minta perhatian untuk produk, bukan dirinya.

harsh dalal sp
Harsh Dalal masuk dalam bahan kempen pemasaran IPTnya.. -Via Reddit

Walau apapun yang dia kata, ni adalah suatu isu yang begitu membimbangkan. Oleh kerana hasil dapatan ni dapat perhatian Forbes, Forbes menarik balik namanya daripada senarai 30 under 30 Asia untuk 2021. Singapore Polytechnic, alma mater Harsh Dalal pun diam-diam menggantikan wajah Harsh Dalal yang dulunya pernah jadi duta dalam poster pemasaran institusi tersebut. Adakah Team Labs benar-benar wujud, atau ni cuma penipuan besar oleh Harsh Dalal? Yang pasti, kontroversi ni akan diingati ramai dan menjadi teladan kepada para usahawan teknologi di luar sana agar tak cepat percaya kepada para pelabur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *