Pencipta watak Ultraman pernah buat filem propaganda Perang Dunia Kedua

F1

Bila kami sebut pasal Ultraman, kami pasti masih ramai lagi yang minat tengok kan? Alah, sekarang dah maju, kat Internet tu banyak lagi episod Ultraman yang korang boleh tengok. Fenomena Ultraman ni jugak buatkan industri filem khususnya dalam genre ‘tokusatsu’ (kesan khas berat) kat Jepun berkembang dengan lebih pesat. Tambah lagi, siri Ultraman boleh dianggap ‘sama umur’ dengan Star Trek, iaitu bermula pada tahun 1966!

Ultraman 1966 Lama
Versi Ultraman pada 1966. Via CancelledScifi.com

Beberapa generasi menghiburkan hati, penulis cerita Ultraman dan Kamen Rider dah pergi…

Kalau korang tak minat pun tonton siri Ultraman ni, sekurang-kurangnya korang kenal apa benda ni Ultraman dari ilustrasi reka bentuk baju kanak-kanak, poster dan patung seiras dengan Ultraman yang banyak dijual kat kedai mainan. Begitu powernya pengaruh Ultraman ni, jadi korang boleh bayangkanlah bagaimana perasaan para peminat Ultraman bila mengetahui bahawa penulis Ultraman dah meninggal dunia pada 2 Januari tahun ni.

Shozo Uehara Ultraman Kamen Rider Penulis Pengasas
Shozo Uehara dah pergi meninggalkan nama pada umur 82 tahun. Via Rangers Wiki

Shozo Uehara merupakan antara penulis cerita ‘otai’ dalam genre filem tokusatsu dan dah menyumbangkan tenaga serta ideanya dalam penulisan siri Ultraman sejak 1971. Selain tu, dia turut terlibat dalam pembikinan cerita Spider-Man pada 1978 serta menjadi penulis utama cerita Kamen Rider pada 1987. Di luar genre tokusatsu, projek terbesarnya adalah menjadi penulis utama kepada cerita Resident Evil ataupun ‘Biohazard Drama Album- The Doomed Raccoon City’.

Ada beza ye pencipta dan penulis siri ni sebenarnya. Shozo Uehara menghidupkan kisah watak Ultraman dan memberi inspirasi kepada para studio lain untuk mengembangkan ‘alam semesta’ Ultraman manakala pencipta Ultraman, Eiji Tsuburaya pula melahirkan idea Ultraman ni kat Jepun.

Ultraman Tsuburaya
Ultraman tengah ‘dinasihati’ oleh Tsuburaya. Via Amazon

Minat Tsuburaya buatkan genre tokusatsu lebih popular kat Jepun, lagi-lagi lepas idea simple di sebalik Ultraman (lelaki manusia yang pakai sut hero dan dikelilingi oleh model bangunan-bangunan yang berskala kecil) menarik minat para penonton antarabangsa.

Lebih menarik, Tsuburaya jugak pernah membikin sebuah filem propaganda ketika Perang Dunia kedua untuk tentera Jepun bertajuk ‘The War at Sea from Hawaii to Malaya’, sampaikan tentera Amerika pun tertipu dan salah anggap Tsuburaya ni seorang pengintip. Tapi sampai sekarang, filem propaganda Tsuburaya digunakan untuk dokumentari perang dunia kedua.

Ultraman dari Malaysia dah tiba, diterima baik dalam keluarga besar Ultraman…

Syarikat animasi Malaysia, Les Copaque Production dah bekerjasama dengan syarikat Tsuburaya Productions dari Jepun untuk mencipta satu lagi watak Ultraman baharu. Kali ni konsep Ultraman yang dilahirkan oleh pasangan syarikat produksi ni lebih ke arah animasi 3D berbanding konsep ‘tokusatsu’ dalam siri Ultraman lain.

Ultraman kelahiran Malaysia ni digelar Ultraman Ribut, dan telah beberapa kali dipaparkan dalam siri televisyen kegemaran ramai iaitu Upin & Ipin. Sejak 2014, Ultraman Ribut dah dapat sambutan hangat dalam kalangan penonton siri Upin & Ipin sampaikan pada September tahun lalu, Tsuburaya Production umumkan Ultraman Ribut turut ditampilkan dalam siri web Ultraman Ultra Galaxy Fight: New Generation Heroes.

Korang pun boleh layan siri pengembaraan Upin & Ipin bersama Ultraman Ribut kat Youtube secara percuma. Gerenti korang akan terhibur dan bangga kerana wujud jugak Ultraman dari Malaysia kat ‘alam semesta’ Ultraman generasi baharu ni.

Lepas Ultraman Ribut, animasi legenda Melayu tercalon kat pentas antarabangsa…

Kini sedang Ultraman Ribut dah bersama-sama dengan keluarga Ultraman yang lain, Upin & Ipin pula berusaha nak naik atas pentas Oscar ke-92. Wow… bukan senang tau nak tercalon dalam festival filem semegah Oscar. Kita memang dah pernah cuba ‘tembus’ ke Oscar pada 2004 dengan filem ‘Puteri Gunung Ledang’ yang dibintangi oleh M. Nasir dan Tiara Jacquelina, filem ‘Bunohan’ pada 2012, Lelaki Harapan Dunia (2015), Redha (2016) dan terbaru, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal.

Berbanding filem-filem terdahulu yang pernah kita cuba calonkan kat Oscars 2020, hanya filem Upin & Ipin je merupakan satu-satunya filem animasi buatan Malaysia. Namun begitu, Upin & Ipin tak tersenarai pendek dalam Oscars 2020. Setakat ni, hanya lima filem animasi je yang tercalon dalam Oscars kali ni: How to Train Your Dragon: The Hidden World, I Lost My Body, Klaus, Missing Link dan Toy Story 4. Takpe, Frozen 2 pun tak lepas

Legenda Keris Siamang Tunggal ni pun boleh dikaitkan dengan dua peristiwa sejarah, iaitu objek keris tu sendiri dan Pendekar Siamang Gagap. Menarik kan? Dahlah menang anugerah hingga tersenarai untuk pertimbangan Oscars 2020, ia turut menyampaikan legenda sejarah Melayu. Objek keris tersebut dikatakan merupakan inspirasi daripada keris kebesaran Selangor iaitu Keris Beruk Berayun, manakala Pendekar Siamang tu pula adalah salah seorang wira pejuang melawan pihak British di Negeri Sembilan.

Keris Siamang Tunggal Upin Ipin Fakta Trivia Selangor Sejarah
Sedikit trivia di sebalik Upin & Ipin. -Via Revolusi Melayu Baru

Bangunkan industri perfileman animasi tak mudah, tapi tak mustahil…

Tak adil sebenarnya kita nak bandingkan perkembangan industri perfileman kita dengan negara lain, walaupun kita masih boleh belajar banyak benda dari mereka. Setakat nak kritik, bolehlah kan? Tapi macam mana nak bangunkan industri perfileman kita tu tetap terpulang pada kita. Kami perhatikan bahawa sekarang ni pun, dah banyak filem-filem berkualiti tinggi yang wajar diangkat dan disokong oleh rakyat.

Petikan ucapan pelakon watak filem Joker, Joaquin Pheonix ni agak sesuai bila nak sentuh pasal pembangunan apa-apa industri masyarakat:

“… Saya berdiri di sini atas bahu seorang pelakon kegemaran saya, Heath Ledger…”- Joaquin Phoenix, seperti yang dipetik oleh CNET.com

Mana-mana pembangunan dalam sesebuah masyarakat sebenarnya ‘berdiri di atas bahu’ generasi sebelumnya. Sebab tu, kita hanya boleh maju ke hadapan dengan wujudnya usaha berterusan daripada generasi ke generasi lain. Perkembangan animasi kesan khas kat Jepun takkan berkembang jika siri Ultraman tak disambung semula.

Begitu juga ceritanya dengan industri perfileman animasi macam Upin & Ipin ni. Bakat tempatan perlu digilapkan dan diserlahkan serta diberi ruang untuk berkembang secara kreatif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *