Kisah KARTEL BABI yang menghantui rakyat Malaysia, ini cara mudah nak faham kes ini

F1
Kisah KARTEL BABI yang menghantui rakyat Malaysia, ini cara mudah nak faham kes ini

Baru-baru ni heboh meletup kes kartel daging yang menyeludup, memberi rasuah dan dikatakan turut ‘mencampurkan’ daging lembu tu dengan daging haiwan lain macam bangkai kangaroo. Perkara ni memang mengusarkan, sebab benda ni meragukan seluruh rakyat yang makan daging di negara ni. Tak perlu sempitkan kepada konteks halal/haram je; benda ni melibatkan keselamatan makanan negara jugak.

728 X 90

Kali ni kami nak kupas sikit pasal isu kartel daging dan kenapa ia akan berlanjutan selagi kita tak baiki cara berhadapan dengan pemain industri daging ni. Ia tak hanya sekadar masalah pegawai terima rasuah; sebenarnya ia lebih besar dari apa yang selalu dibangkitkan dan difahami ramai.

Woman Holding Packet Of Beef In Supermarket
Via Food Navigator

Masalah import bukan di tangan JAKIM, fahami dulu selok-belok pengurusan permit dan pihak di sebalik tabir

Antara tohmahan popular bila sebut pasal isu daging ni adalah JAKIM tak buat kerja. Ramai jugak melihat ni semua salah JAKIM, sebab daging yang diseludup tu dah tak dapat dipastikan dah status halal/haramnya. Sebelum ni kami dah cerita sikit pasal JAKIM, dimana JAKIM ni pun ada jugak prosedur dan standard piawaian tersendiri untuk tentukan pengiktirafan halal tu.

Soal penting di sini bukanlah JAKIM. Bidang kuasa JAKIM bukanlah menjaga pintu pelabuhan dan semak satu persatu kontena daging tu. JAKIM sebenarnya merupakan pihak ketiga yang dijemput untuk audit dokumentasi je. Nak salahkan Kastam, Kastam pulak berkuasa dalam hal percukaian. Jadi nak salahkan siapa ni?

Aliran Proses Daging Malaysia Jakim
Via JAKIM

Korang kena faham dulu bagaimana kita import daging. Pertama sekali, kita kena ada permit. Permit ni pun ada banyak jenis, tapi laporan media selalu salah dalam bahagian ni. Misalnya, banyak sebut isu ni ada kaitan dengan salahgunakan AP (approved permit). Daging import ni sebenarnya tak perlukan AP. Jadi takde isu salahguna permit di sini. Permit tu nak bagi sah je, iaitu permit import.

Kedua, kita kena faham bahawa syarat nak import daging ni berbeza-beza. Bab ni, muncul pihak yang jarang disebut ramai iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS). Untuk import daging, kena tau dari mana asal negara daging tu. Di Malaysia, kita ada 3 klasifikasi negara iaitu negara putih, negara kelabu dan negara merah.

Penentuan warna-warna ni bergantung pada kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) yang dilaporkan dalam sesebuah negara tu. Untuk mengawal penularan virus HFMD ni, kita memperketatkan kawalan import termasuklah daging. Bila sesebuah negara yang eksport daging ke negara kita mempunyai kes HFMD yang tinggi, tu termasuk dalam klasifikasi negara merah.

Tangan Kaki Mulut
Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut banyak serang bayi dan kanak-kanak dulu.. -Via Deenamik

Kita biasanya tak terima daging daripada negara merah. Jadi hanya ada dua kategori je yang lazimnya kita import iaitu negara kelabu dan negara putih. Tu pun tak banyak negara yang boleh kekal lama dalam senarai negara putih, manakala untuk negara kelabu pulak; mereka terpaksa melalui proses yang jauh lebih ketat daripada pengimport dari negara putih ni.

Kami dah sebut pasal JAKIM, DVS dan Kastam. Jadi mana satu pegawai yang benar-benar berkuasa untuk ‘menyentuh’ daging-daging ni? Di sinilah peranan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). Susulan isu kartel daging ni, Ketua Pengarahnya Saiful Yazan Alwi harap bidang kuasa dan skop MAQIS boleh diperluas.

“Ketika ini, bidang kuasa MAQIS hanya di pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin. Justeru sekiranya akta itu (Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011) dipinda, skop penguatkuasaan di luar pintu masuk dapat diperluaskan, termasuk aspek penangkapan dan pertuduhan,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

MAQIS banyak gagalkan percubaan seludup dalam negara, masalah rasuah dan integriti ranapkan negara

MAQIS ni merupakan antara agensi penguatkuasaan yang giat menggagalkan banyak percubaan penyeludup dalam negara. Misalnya pada 2017, MAQIS berjaya rampas 10 kontena daging kerbau dari India yang tak lepas syarat Permit Import. Pada tahun yang sama, MAQIS serbu empat kontena berisi daging babi yang dicampurkan dengan daging kambing dari Sepanyol.

Berlaku lagi beberapa operasi beberapa tahun lepas tu, tetapi ni buatkan kami terfikir pasal sindiket kartel daging yang kini dibincangkan ramai. Adakah ia kartel daging yang sama? Ataupun selama 40 tahun ni, sistem tadbir urus kita yang tak licin? Sekali lagi kita kena maklum bahawa pemain industri ni pun nak guna jalan mudah, cari keuntungan berlipat-ganda. Maka timbullah usaha nak ‘beli’ kesetiaan para pegawai yang ditugaskan jaga keselamatan makanan negara ni.

“Buat sekian lamanya, wujud kartel perniagaan haram yang mengimport daging yang tidak halal tetapi menjualnya sebagai daging halal di pasaran tempatan sejak 40 tahun lalu. Kartel ini berjaya melepasi pelbagai tapisan saringan kerana mereka telah membeli (merasuah) pegawai-pegawai kanan daripada sekurang-kurangnya empat agensi kerajaan. Entah berapa puluh atau ratusan ribu orang ramai yang telah ditipu bulat-bulat oleh para penipu dan pengkhianat sejak puluhan tahun yang lalu,”- Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), seperti yang dilaporkan Ismaweb

Berita Harian Daging Kartel
Via Berita Harian Singapura

Sekarang ni, ada segelintir melihat isu ni pun tak lebih dari setakat daging haram dipalsukan menjadi halal. Ada sebab kenapa bukan JAKIM yang bersuara menjelaskan hal ni, kerana bila ada pihak yang memalsukan bungkusan atau bungkus semula campuran daging ni termasuklah palsukan cop halal pada bungkusan makanan… ni dah menjadi tugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP nafikan benda ni berlarutan sampai ke 40 tahun, dan lepas pendakwaan kelak akan didedahkan kepada orang ramai tentang nama-nama syarikat yang terlibat. Kita perlu terus tuntut janji KPDNHEP ni bagi meredakan kerisauan orang awam bila nak beli daging di pasar awam.

Babab Kartel Daging Haram Senarai Syarikat
Ada yang buat carian dan berspekulasi sendiri… -Via Babab.net

Setakat ni ada je orang yang cuba tularkan senarai nama jenama dan syarikat yang dikatakan terlibat. Salah satu jenama yang dipalit namanya dengan isu ni adalah jenama Allana. Mereka dah tampil untuk nafikan penglibatan mereka dan menegaskan status halal mereka adalah sah. Walaupun usaha nak tular senarai jenama ni nampak murni, tapi dari segi perundangan… benda ni boleh buatkan korang disaman tau, macam kes restoran popular yang dikatakan pakai daging babi baru-baru ni.

Lanskap industri daging masih suram, keperluan sentiasa melebihi pembekalan sehingga syarikat pengimport pegang kuasa besar

Kita sebenarnya sentiasa memerlukan bekalan daging, sehinggakan pembekal tempatan tak cukup untuk memenuhi keperluan tersebut. Sebab tulah kita terpaksa terima jugak daging import dan hanya mampu mengawal selia industri pengimportan ni. Namun begitu, kami lihat isu ni ada kemungkinan akan berlarutan sampai bila-bila sebab kurangnya persaingan syarikat-syarikat pengimport ni.

Beberapa negara utama seperti India, Australia dan Brazil ni boleh dikatakan sebagai negara utama yang eksport daging ke negara kita. Tapi tu pun hanya dipegang oleh 2-3 syarikat besar je, lalu mewujudkan monopoli besar yang dipegang hanya oleh syarikat-syarikat ni. Adakah wujud satu lagi isu lain di sebalik pemberian permit import ni sehinggakan takde syarikat lain yang wujud dalam lanskap industri daging import untuk pecahkan monopoli tersebut?

Report Mycc
Via Laporan MyCC

Perkara ni sudahpun dinyatakan dalam Laporan Kajian Pasaran 2019 dalam sektor makanan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia. Oligopoli berlaku apabila hanya 2-3 syarikat yang kuasai pasaran daging import ni dan menyebabkan harga daging jugak lebih mahal. Malah, perkara ni turut wujud dalam beberapa negara seperti Indonesia, Australia, Afrika Selatan, Ireland dan Perancis. Negara-negara ni dah jalankan siasatan pasal monopoli syarikat ni… Malaysia bila lagi?

Penguasaan mereka dalam pasaran daging import ni boleh dianggap sebagai antara faktor kenapa masih ada yang cuba seludup daging-daging dari negara lain sampaikan tak peduli lagi mengenai hal status kesihatan dan keselamatan makanan yang dibawa masuk tu. Macam kami katalah tadi, isu ni tak sepatutnya disensasikan sekadar tahap haram/halal semata-mata. Perlu lebih banyak penelitian mengenai isu ni supaya industri makanan import kita pun terjamin semula keselamatan makanannya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top