Pematuhan operasi TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tak memuaskan dan mesti diperbetul segera, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Katanya, beliau menegaskan perkara itu pada pertemuan dengan pengurusan tertinggi TikTok diketuai oleh Naib Presiden Global TikTok Helena Lersch
Fahmi berkata, selain perlu beroperasi mengikut garis panduan dan undang-undang Malaysia, TikTok juga mesti lebih proaktif mengekang penularan berita palsu dan bahan berbaur fitnah yang disebarkan di platform itu, termasuk penularan yang bersifat Coordinated Inauthentic Behaviour (CIB).
“Pihak TikTok mengakui terdapat kelemahan dalam respons mereka berikutan ketiadaan wakil di Malaysia pada ketika ini,” katanya
Fahmi berkata, pertemuan itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit susulan peningkatan penyebaran berita palsu di platform media sosial tersebut serta operasi TikTok Shop di Malaysia.
Pada masa sama, Fahmi berkata, TikTok juga diingatkan supaya mencari solusi kepada isu pembelian iklan dan sebaran kandungan di platform terbabit.
Katanya, kerajaan tegas dalam hal itu berikutan ada aduan daripada gedung perniagaan, orang awam dan agensi media yang sangat terkesan oleh iklan yang ditempah terus dengan platform media sosial berkenaan.
“TikTok telah memberi jaminan akan meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia. Sehubungan itu, mereka memberi komitmen untuk mengadakan pertemuan lanjut pada kadar segera bagi menyelesaikan isu-isu ini,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Fahmi dilaporkan berkata, kementeriannya akan memanggil pengendali aplikasi TikTok bagi memberi penjelasan berhubung beberapa isu berkaitan iklan dan kandungan di platform terbabit.
Ada usul untuk menyekat TikTok di Malaysia
Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran bercadang mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk menyekat platform media sosial TikTok.
“Aplikasi seperti TikTok kini telah mengundang kegusaran banyak negara termasuk Malaysia dalam soal keselamatan siber. Kerajaan Belanda, India, Taiwan dan Norway merupakan antara kerajaan yang telah melaksanakan sekatan mutlak terhadap penggunaan aplikasi tersebut menerusi peranti milikan kerajaan sebagai langkah untuk melindungi ruang siber mereka daripada dicerobohi.
“Dengan itu saya akan membawa satu usul dalam masa terdekat menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dapat melaksanakan sekatan penuh berfasa terhadap TikTok,” katanya.
Macam yang kami kata di atas, Menteri KKD Fahmi Fadzil berkata pematuhan TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan dan mesti dipertingkatkan segera.
Dia secara peribadi menekankan perkara itu semasa pertemuan dengan pengurusan tertinggi TikTok, yang diketuai oleh naib presiden Tiktok Global Helena Lersch pada 11 Okt lalu.
Fahmi berkata, TikTok juga perlu lebih proaktif dalam membendung penularan berita palsu dan kandungan fitnah di platform tersebut termasuk penyebaran Coordinated Inauthentic Behavior (CIB).
Sementara itu, Yuneswaran turut mendakwa bahawa aplikasi TikTok yang dibangunkan oleh syarikat China Bytedance turut menggugat ekosistem perniagaan rakyat tempatan.
“Trend kenaikan trafik pengguna di negara ini telah menjadi antara faktor yang menarik perhatian golongan peniaga dari negara republik tersebut untuk mempromosikan produk. Mereka niagakan secara bebas tanpa sebarang pemantauan serius dari pihak TikTok Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Persoalan besar yang saya ingin bangkitkan di sini ialah adalah pada hakikatnya pihak TikTok Shop membayar cukai nilai tambah (VAT) kepada kerajaan memandangkan ramai dari kalangan pempengaruh mengaut keuntungan besar daripada jualan mereka menerusi platform tersebut.
“Maka, sekatan penuh berfasa yang saya nyatakan tersebut bertujuan untuk melindungi kelangsungan golongan peniaga tempatan yang pada hari ini berdepan dengan persaingan ekonomi, serta melindungi ruang siber negara,” katanya.
Kerajaan Indonesia sebelum ini mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok.
Laporan CNN Indonesia berkata Malaysia akan mengikuti langkah negara jiran itu melarang perdagangan sosial seperti TikTok Shop. Fahmi sebelum ini ketika mengulas keputusan Indonesia berkata dia akan berhubung dengan kerajaan Indonesia bagi mendapatkan maklumat secara terperinci mengenainya dan juga daripada pengurusan TikTok.
“Saya ambil maklum ada ramai yang setuju, ramai kurang setuju, tapi kita ingin faham dahulu keadaan secara keseluruhan. Konteks di Malaysia berbeza daripada Indonesia tapi saya lihat ada keperluan untuk melihat secara keseluruhan,” kata Fahmi.
Pada 7 Okt lepas, Fahmi berkata kerajaan akan meneliti terlebih dahulu tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok sebelum merangka langkah yang bersesuaian di Malaysia.