Akta Hasutan ingin disemak, perlukan perbincangan kritikal

f1

Beberapa bulan lepas, jemaah Menteri setuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 (Akta 15) disemak bagi memastikan ia digunakan hanya untuk melindungi institusi Raja daripada sebarang provokasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata aspek lain berkenaan provokasi membabitkan agama dan bangsa akan turut diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu.

Katanya, ia penting mengenai keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan institusi Raja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.

“Hari ini, saya membentangkan kepada Jemaah Menteri hasil Dialog Perundangan 3R yang diadakan pada 21 Julai 2023 dalam menangani isu provokasi membabitkan agama bangsa dan institusi Raja (3R) yang dihadiri wakil kementerian dan jabatan termasuk Kementerian Perpaduan Negara, badan peguam, Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta ahli akademi.

“Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak dengan sewajarnya bagi memastikan perundangan ini digunakan hanya untuk melindungi Institusi Raja-Raja daripada sebarang provokasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azalina berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) akan mengambil langkah sewajarnya dalam menyemak secara terperinci akta berkenaan.

Katanya, ia bagi memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah untuk bertujuan untuk melindungi Institusi Raja-Raja secara holistik.

Azalina sebelum ini dilaporkan berkata, hasil perbincangan bersama beberapa agensi termasuk NGO berhubung perundangan berkaitan isu 3R akan dibentang ke mesyuarat Kabinet.

Ia bagi membolehkan Jemaah Menteri menilai sama ada undang-undang sedia ada mencukupi atau perlu ditambah baik, sekali gus mengekang penggunaan isu terbabit terutama sebagai senjata politik.

Dua bekas menteri undang-undang sependapat bahawa Akta Hasutan 1948 perlu terus dikekalkan, khususnya bagi melindungi institusi diraja daripada diperlekeh dan dihina.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Akta Hasutan tak wajar dimansuhkan selagi perkara dan nilai bawah undang-undang itu masih perlu dilindungi serta dipertahankan.

Beliau berkata, Akta Hasutan antara lain masih diperlukan bagi melindungi golongan diraja kerana institusi itu berada di luar politik dan tidak dapat mempertahankan diri jika ia disentuh serta dipolitikkan.

“Sesuatu undang-undang diwujudkan atas sebab tertentu, antaranya bagi membendung sikap manusia apabila manusia itu tidak dapat membendung sikap mereka sendiri.

“Kerajaan perlu mengkaji adakah keadaan sekarang membolehkan Akta Hasutan dimansuhkan dan adakah perkara yang kita mahu pertahankan seperti institusi diraja, boleh dilindungi tanpa undang-undang ini?

“Jika kita masih menghargai institusi diraja sebagaimana ia dilindungi dalam Perlembagaan, maka kita perlu pertahankan. Jika cara melindungi itu adalah melalui undang-undang, maka pertahankan undang-undang itu.

“Jika ada individu atau pihak melakukan kesalahan keterlaluan terhadap nilai yang kita hargai, seperti institusi diraja sehingga mereka sendiri pun tidak boleh menerima tindakan itu, maka guna dan pertahankan undang-undang ini,” katanya

Perbincangan kritikal tentang Akta Hasutan perlu dilakukan

Persetujuan kerajaan menyemak semula Akta Hasutan 1948 untuk memastikan hanya digunakan untuk melindungi institusi Raja-Raja daripada sebarang provokasi, manakala apa yang menyentuh agama dan kaum bertujuan membangkitkan kemarahan serta menjejaskan ketenteraman awam akan diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu boleh dianggap bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak.

Ini susulan pembentangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said kepada Kabinet mengenai hasil Dialog Perundangan 3R dalam menangani isu provokasi membabitkan agama, bangsa dan institusi Raja (3R) dihadiri termasuk Kementerian Perpaduan Negara, badan peguam, pertubuhan masyarakat madani (CSO), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik.

Akta Hasutan digubal sejak sebelum merdeka itu menjadi sasaran kritikan kerana tafsiran hasutannya dianggap pengkritik sebagai terlalu luas atau kabur hingga membuka risiko disalah guna atau digunakan demi kepentingan politik parti pemerintah.

Harus diingat persetujuan Kabinet bukanlah cek kosong, sebaliknya memerlukan perbincangan dengan semua pemegang taruh untuk memastikan kewujudan Akta Hasutan dengan nafas baharu atau keperluan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan provokasi agama dan perkauman tidak menjadikan kita seperti ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran’ atau lebih teruk menimbulkan masalah lebih besar menjejaskan keamanan negara dan keharmonian rakyat.

Justeru, ada yang meminta kerajaan memperhalusi pandangan dengan melakukan timbang tara adil dan bijaksana supaya kewujudan mekanisme perundangan dapat mengimbangi antara hak asasi dan kebebasan bersuara dengan tanggungjawab memastikan kestabilan negara daripada sebarang provokasi jahat menyentuh institusi diraja, kesucian agama serta keharmonian hubungan antara kaum.

Antara cadangan yang ditampilkan adalah kerajaan tidak hanya melihat dari aspek perundangan, sebaliknya mekanisme seperti pendidikan yang belum dimanfaatkan sepenuhnya, tetapi mempunyai kesan jangka panjang dalam pembinaan rakyat bertanggungjawab.

Penekanan konsep keluhuran Perlembagaan dan penterjemahan Rukun Negara di sekolah perlu ditambah baik supaya tidak hanya menjadi seperti formaliti, sekali gus mengkaji bagaimana negara lain seperti Indonesia menjadikan Pancasila sebagai pandangan hidup rakyatnya.

Semua pihak supaya seharusnya tidak menjadikan isu 3R sebagai bahan dimanipulasi atau dieksploitasi meraih kepentingan diri dan kelompok tanpa memikirkan akibat kepada negara serta masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *