Masih ada banyak permintaan daripada rakyat yang nampaknya mahukan kerajaan kali ini benar-benar membawa perubahan yang telah lama dinantikan rakyat Malaysia. Setakat ini, masih banyak hal yang perlu dilakukan kerajaan untuk memenuhi kehendak rakyat.
Bagi Perdana Menteri, pentadbiran Kerajaan Perpaduan berbeza seandainya kita dibandingkan dengan pemerintahan kerajaan terdahulu. Beliau berkata, pendekatan yang diterapkan dalam kerajaan kini lebih mementingkan integriti dan amalan baik dalam pentadbiran selain menolak rasuah dan penyelewengan.
“Barisan kepimpinan diterajui saya kini hampir berusia enam bulan. Kerja kami sekarang berbeza berbanding kerajaan lalu, tidak ada kontrak yang diambil, tidak diizinkan mana-mana menteri ambil balak, curi tanah, bersekongkol dengan tauke untuk kayakan diri dan keluarga. Ini tekad kami,” – Anwar Ibrahim, Himpunan Madani Kedah
Anwar berkata, pemimpin seharusnya menunjukkan tauladan yang baik dan bukan berlumba-lumba memperkayakan diri sendiri. Beliau menegaskan tidak mengambil gaji bukan kerana beliau kaya. Beliau malu pada rakyat. Rakyat susah, harga barang naik, kos kesihatan, kos makanan meningkat, Jadi kita perlu tunjuk contoh yang baik, jadi pemimpin bukan untuk kayakan diri dan keluarga.
Anwar membidas pihak yang menyifatkan penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani sebagai pembaziran. Baginya, membazir bertujuan untuk ambil untuk kepentingan diri. Majlis kali ini dikatakan lebih murah daripada buat di Seri Perdana.
“Takkan lah kerana buat majlis ini boleh menangkan pilihan raya. Kerana bagi makan saya dapat undi? Saya nak rakyat sokong PH dan BN bawah Kerajaan Perpaduan kerana dasar kita bawa, yang akan mengangkat martabat rakyat dan negara,” jelasnya.
Anwar turut menjelaskan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk antara BN dan PH adalah disebabkan kedua-dua gabungan ini memiliki matlamat yang sama. Kesepakatan itu tiada kaitan dengan habuan menjanjikan jawatan kedua tertinggi dalam negara atau untuk menyelamatkan kluster mahkamah dalam kalangan pimpinan UMNO.
Menurutnya, kesepakatan itu dicapai selepas kedua-dua pihak meletakkan syarat tertentu dan kemudiannya dipersetujui kedua-duanya.
Anwar kata tangkap orang yang makan rasuah, tak kira siapa
Anwar Ibrahim turut menyangkal dakwaan segelintir pihak yang selalu melabel dirinya pendendam dengan sengaja mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang. Menurutnya, semua tindakan membabitkan siasatan mahupun pendakwaan adalah bawah bidang kuasa agensi terlibat dan bukannya atas arahan beliau selaku Perdana Menteri.
Beliau mengatakan tak pernah arah supaya tangkap orang itu, siasat orang ini. Beliau kata siapa yang ambil rasuah, tak peduli daripada Pakatan Harapan (PH), PKR, UMNO, Pas, (atau) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika didapati salah sila siasat, tangkap, dakwa, dan jika bersalah masuk penjara.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang siasat, ada bukti kita dakwa, contohnya kes Jana Wibawa, kes tebatan banjir. Tapi mereka kata saya pendendam. Mereka cakap berdegar-degar pasal hadis dan al-Quran tetapi pertahan orang yang ambil rasuah, kemudian kita yang ambil tindakan dipersalahkan, kononnya aniaya rakyat dan menganaktirikan negeri pembangkang,” – Anwar Ibrahim, Himpunan Madani Kedah
Empat negeri dipegang Pas, beliau tambah peruntukan termasuk di Kedah. Di Kelantan berlaku banjir teruk dan Anwar tambah satu projek tebatan banjir di Sungai Golok bernilai RM1 bilion.
Anwar tegaskan, tidak pernah menyalahgunakan kuasa Perdana Menteri dengan mencampuri urusan perundangan.
“Saya ada kuasa sebagai Perdana Menteri tetapi bukan untuk siasat, itu kerja polis dan SPRM, pendakwaan pula kerja Peguam Negara sementara jatuhkan hukuman itu kerja Ketua Hakim, bukan kerja Anwar Ibrahim. Saya tahu erti fitnah, erti sakit bila dipukul, saya tahu erti menderita hidup dalam lokap. Apa erti bila jadi Perdana Menteri, saya zalim pada orang? Saya masuk penjara, (tak kan) saya kena penjarakan kamu. Saya datang bukan untuk bermusuh dengan sesiapa,” katanya.
Menurutnya lagi, sudah tiba masanya rakyat Kedah menyokong Kerajaan Perpaduan agar dapat membangunkan semula negeri dan nasib golongan miskin lebih terbela.