Calon BN diumumkan, Pas persoal status penjawat awam

f1

Barisan Nasional (BN) dijadualkan akan mengumumkan calon mereka untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, daripada enam nama yang disenarai pendek oleh UMNO Perak, tiga daripadanya disebut- sebut sebagai pemimpin yang berpotensi untuk dipilih sebagai calon BN pada PRK tersebut.

Mereka ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Tapah, Safri Mohamad Salih; Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir; dan Naib Ketua Pemuda UMNO Perak merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi.

Melihat kepada nama ketiga- tiga pemimpin berkenaan, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dan layak diberikan peluang untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan Allahyarham Ishsam Shahruddin. Namun, dari segi kekananan jawatan, pastilah Safri menjadi pilihan parti kerana pengalaman di peringkat akar umbi yang sangat luas, bermula sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Jawa Tapah Road sehinggalah dilantik sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian.

3071975
Tiga calon yang disebut-sebut. Imej dari Sinar Harian

Beliau juga aktif memegang beberapa jawatan penting dalam komuniti seperti Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga dan Ahli Majlis Daerah Tapah, menjadikan Safri begitu dekat dengan masyarakat.

Selain itu, tugasnya sebagai Pegawai Khas Ahli Parlimen Tapah membolehkan beliau kerap bertemu dengan masyarakat setempat, khususnya di kawasan DUN Ayer Kuning. Begitu juga dengan Mohamad Yusri yang terkenal dengan perwatakan mesra dan sering diberikan tugas berkaitan keagamaan kerana latar belakang pendidikannya.

Memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah itu juga wajar diberikan perhatian untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan Ishsam.

Latar belakang profesional sebagai pensyarah kanan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) memberi kelebihan buat BN sekiranya Mohamad Yusri dipilih sebagai calon.

Dalam pada itu, nama Fahmi antara yang terawal dikemukakan oleh Pemuda UMNO Perak untuk diletakkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning kerana populariti dan ketokohannya di peringkat akar umbi. Trend kemenangan calon Pemuda pada beberapa siri PRK sebelum ini, iaitu di DUN Mahkota dan DUN Nenggiri, menjadikan Fahmi sebagai calon utama untuk dipilih mewakili BN.

Selain itu, Fahmi juga mendapat sokongan padu daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan, yang menyifatkan anak muda itu mampu mendapatkan sokongan golongan belia dan pengundi baharu.

Siapa pun yang dipilih, tugas berat menanti mereka bagi mempertahankan DUN Ayer Kuning ditambah pula dengan  jumlah pengundi lebih besar dengan 14,000 daripadanya adalah pengundi muda.

Teka-teki berkenaan calon Barisan Nasional terjawab apabila Dr Mohamad Yusri dipilih

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini. Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sempena Majlis Pelancaran Jentera PRK N48 DUN Ayer Kuning di Pusat Arahan BN, Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mohamad Yusri, 54, merupakan calon tempatan yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bekas guru itu kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh. Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Tapah, Ahli Majlis Daerah Tapah dan pernah menganggotai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

3 calon
Tiga calon PRK Ayer Kuning. Imej dari Utusan

Dari segi politik, bapa kepada empat orang anak itu yang menetap di Kampung Tersusun Haji Tahir pernah diberikan tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah dan Ketua Biro Agama dan Kebajikan Pemuda UMNO Tapah.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Zahid berkata, pemilihan Mohamad Yusri dibuat berdasarkan latar belakang agama serta kelulusan akademik beliau, dan mendapat sokongan semua pihak.

“Sebagaimana dimaklumkan, daripada lapan nama, terdapat enam calon yang disenarai pendek dan dikemukakan kepada saya. Kita telah meneliti latar belakang serta laporan-laporan yang diterima daripada pelbagai pihak. Alhamdulillah, Dr Yusri telah terpilih. Insya-ALLAH, kali ini (calon BN) adalah seorang yang berlatarbelakangkan agama dan mempunyai kelulusan yang baik,” katanya.

Beliau berharap pemilihan Mohamad Yusri memberi kelebihan kepada BN untuk mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Ayer Kuning, yang menjadi kubu kuat BN dan UMNO sejak beberapa siri pilihan raya umum lalu.

Bagaimana penjawat awam boleh terlibat dengan politik?!

Pemimpin PAS menimbulkan persoalan mengenai calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning di Perak, khususnya berhubung penglibatan aktifnya dalam politik semasa berkhidmat sebagai penjawat awam kanan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

screenshot 2025 04 30 102026
Fadhli Shaari. Imej dari Berita Harian

Menurut Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari, calon BN Yusri Bakir adalah pegawai gred DG52 dan pada masa sama memegang jawatan setiausaha di sebuah bahagian Umno.

“Soalan saya, bolehkah seorang penjawat awam – dengan jawatan gred DG52 – yang bertugas dengan KPM dalam masa yang sama aktif dalam politik termasuk memegang jawatan sebagai setiausaha sebuah parti di peringkat bahagian? Jika tidak boleh, adakah dia dikira telah melakukan kesalahan dan wajar dikenakan tindakan? Menteri Pendidikan, saya mohon jawapan,” katanya di Facebook.

Menurut pekeliling 2023 yang disiarkan di laman web KPM, pegawai perkhidmatan pendidikan gred antara DG41 dan DG48 dibenarkan memegang jawatan dalam parti politik, dengan syarat pegawai itu terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan bertulis daripada ketua setiausaha kementerian.

Walau bagaimanapun, peruntukan ini tidak terpakai kepada pengetua atau ketua mana-mana institusi pendidikan, dan mereka yang memegang jawatan peringkat pentadbiran di mana-mana agensi kerajaan.

Fadhli mendakwa Yusri dinaikkan ke gred DG52 pada 2020, pada tahun yang sama dia dipilih sebagai setiausaha Umno Bahagian Tapah pada 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *