Kat Malaysia, memang biasa dah dengar khabar banjir… tiap tahun di kala musim tengkujuh, kita akan dengar jugak beberapa tempat akan banjir. Di Pantai Timur, kita dah melihat beberapa negeri di sana dah berpengalaman dalam menghadapi banjir. Namun pada kali ni, ramai jugak yang tak sangka bahawa banjir kali ni benar-benar teruk hingga dicatatkan berlaku kematian hampir 20 orang setakat ni.
Ini 5 perkara yang kami lihat semasa kempen kesedaran dan usaha penyelamatan cemas yang digerakkan terlebih dahulu oleh orang ramai. Menariknya, diorang banyak bergantung pada tanda pagar #DaruratBanjir, yang dah cecah jutaan ciapan dalam masa 2 hari je.
1 .#DaruratBanjir jadi pusat informasi awal sukarelawan cari mangsa terperangkap
Mencurah-curah berterusan informasi kat #DaruratBanjir. Kami tak pasti siapa yang pertama menggunakan tanda pagar ni. Tapi apa yang kami dapat lihat adalah betapa pentingnya tanda pagar ni sebagai satu ‘pusat serenti’ kepada semua maklumat penting semasa banjir besar ni.
Salah satu yang dapat kami saksikan sendiri adalah bagaimana ribuan pengguna Twitter berusaha menggerakkan sendiri tenaga diorang untuk kumpul derma kewangan dan keperluan asas agar dapat dihantar ke pusat-pusat mangsa banjir. Ada jugak yang tawarkan tempat tinggal, keperluan pakaian dan pengangkutan 4×4 serta lori diorang sendiri bagi mengangkut serta menyelamatkan mangsa.
Dalam tanda pagar ni jugak, kita dapat lihat siapa yang masih terperangkap dan sempat nak berikan koordinat diorang. Para mangsa disarankan agar tak berikan alamat rumah kerana sudah tak nampak jalan atau maklumat lorong. Jadi diorang kena berikan koordinat atau pautan Google Maps agar pasukan sukarelawan dapat keluarkan diorang.
Ada jugak yang turut menggunakan tanda pagar ni untuk nak tanya khabar ahli keluarga diorang yang tinggal di kawasan terjejas. Gugur jugak hati kami bila melihat mesej yang merayu agar ahli keluarga diorang dapat diselamatkan. Ada antara ahli keluarga ni memang dah lanjut usia dan ada jugak yang berstatus OKU. Wujud juga rayuan selamatkan haiwan peliharaan diorang, terutamanya yang terperangkap kat rumah.
2. Rupanya dah banyak kali dapat amaran tahun ni banjir akan lebih teruk, Taman Sri Muda antara yang teruk terjejas
Salah satu kawasan yang menjadi sasaran penyelamatan di Selangor adalah Taman Sri Muda. Mengikut sebuah saluran Telegram khusus untuk bantu penduduk Taman Sri Muda (ni pun inisiatif rakyat jugak), masih ramai lagi yang belum dapat ditemui. Namun begitu, sebenarnya dah ada wakil rakyat yang bising dan kata Taman Sri Muda akan tenggelam teruk. Oleh sebab yang bising tu orang politik, dahlah DAP pulak tu, maka ia jadi bahan nak kecam ADUN tu pulak.
Hanya 2 bulan lalu, rakaman video ADUN Kota Kemuning, YB Ganabatirau A/L Veraman mengamuk kat pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana tak puas hati dengan isu banjir di Taman Sri Muda. Harakahdaily misalnya, antara laman politik yang lebih mengangkat tindakan ‘memaki’ pegawai berbanding nak tulis, fikir dan pertimbangkan ramalan Ganabatirau sekiranya tak ambil langkah berjaga-jaga.
Tahukah ini video bulan 10 itu hari.
Jab Meteorologi dah bagitau lama taburan hujan akan turun lebat.
Masa tu Adun Kota Kemuning turun padang ke Sri Muda, dia marah JPS tak bersedia hadapi banjir.
Tapi dia kena maki balik sebabnya,
dia bukan Melayu lalu dicop rasis. pic.twitter.com/iNROF70LKy
— Fakta Bukan Auta (@FaktaBukanAuta) December 20, 2021
Mengikut tatapan kami dari video tu, ada beberapa yang disebutkan perlu JPS perbaiki iaitu tambah baik pam. Sehari selepas video tu tular, ada warganet jelaskan JPS memang dah tambah baik… cuma untuk kali ni, banjir kat Taman Sri Muda memang sangat teruk sehingga pam pun tak dapat membantu keluarkan lebihan air lagi.
Setakat artikel ni ditulis, JPS akan tebuk benteng di Taman Sri Muda, Shah Alam. Kat mana benteng akan ditebuk, belum tau lagi kerana nak tunggu respon dari Kementerian Alam Sekitar dan Air. Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; kerja penebukan tu akan dibantu menggunakan 21 pam dari Perak dan Pahang. Ia perlu dilaksanakan segera, kalau tak, air banjir akan bergenang sehingga dua minggu.
3. Banjir belum berakhir di Selangor, kini melimpah ke negeri lain berdekatan Banjaran Titiwangsa
Banjir luar biasa dan luar jangka tak hanya berlaku setakat di Selangor. Selepas Selangor, Pahang pulak yang naik air. Setakat 20 Disember, 2 orang korban dicatatkan di Pahang manakala hampir 30 ribu orang terjejas. Terdapat 18 sungai di negeri tu yang dah lebihi tahap bahaya, lapan lagi sungai melebihi tahap amaran dan enam lagi melebihi tahap waspada. Mengikut kemaskini dari Google Map, kira-kira 5 kawasan yang terjejas teruk. Kalau korang perasan, semuanya berdekatan dengan Banjaran Titiwangsa kan?
Ramai ingat diorang banjir kerana hujan berterusan langsung ke kawasan-kawasan ni. Sebenarnya, limpahan air dari hujan Banjaran Titiwangsa tulah yang buat teruk… akibatnya, limpahan air hujan tu menaikkan paras air sungai sekitarnya sehingga menenggelamkan banyak kawasan yang dekat dengan air sungai.
“Tekanan rendah ini yang menjana hujan secara besar-besaran. Sekiranya sekadar ribut petir biasa, hujan lebat hanya berlarutan selama beberapa jam sahaja.
“Selain itu, hujan lebat bukan sekadar turun di Lembah Klang sebaliknya di kawasan tanah tinggi di Banjaran Titiwangsa yang seterusnya memasuki sungai-sungai utama di Selangor sehingga melebihi paras bahaya.
“Lebih buruk, kehadiran air pasang besar yang menyebabkan air dari darat tidak dapat keluar. Saya berani katakan kesan fenomena banjir di Lembah Klang kali ini menyamai atau mungkin lebih buruk daripada banjir besar ‘Bah Kuning’ pada tahun 2014,”- Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah, Timbalan Pengarah Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES), seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Taufan Rai jugak jadi antara punca di sini. Kata Datuk Seri Ir Zaini Ujang, hujan lebat dari luruan monsun baru-baru ni bawa taburan hujan yang sangat tinggi. MET Malaysia memang dah keluarkan amaran pada 11 Disember untuk pantai timur, dan kemudian ada lagi arahan keluar untuk KL, Selangor dan Negeri Sembilan. Namun bagi menjawab soalan kenapa takde makluman awal; ni kerana keadaan tu sukar diramal walaupun dengan gunakan model global. Ada yang ramalkan ia menghala ke utara, ada jugak yang ramal ia melemah ketika di Banjaran Titiwangsa.
“Hanya pada 17 Disember barulah ia konsisten dan beri ramalan tepat penting, untuk faham kerana ramalan cuaca ini menggunakan model matematik dan juga satelit…
Kita tahu hujan lebat pada 17 Disember itu hanya 24 jam sebelum itu. Kalau biasa kita tahu, hujung tahun dari November hingga Mac, Monsun Timur Laut akan berlaku dan bawa hujan lebat yang akan menyebabkan banjir. Pasukan keselamatan dan penyelamat pun bersedia. Kalau hujan lebat dalam beberapa jam, mereka akan terus bergerak.
Tetapi keadaan sekarang, kita tidak bersedia, nak salahkan pegawai dan pihak penyelamat juga tidak boleh kerana mungkin mereka juga melaluinya kali pertama,”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian
4. ATM memang dah bersedia di lapangan, NADMA yang kata masih belum terlalu teruk
Ni jugak turut jadi kontroversi antara rakyat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Sepanjang kami mengikuti perkembangan sukarelawan banjir, ramai warganet menyalahkan ‘kelembapan’ pihak penguatkuasa nak tak turunkan aset bagi operasi menyelamatkan mangsa banjir. Ye lah, kita kan banyak aset. Kita ada helikopter, bot dan bermacam-macam lagi.
Melihatkan jumlah sukarelawan yang turun sendiri tu pun takde latihan ni pulak sibuk menyelamatkan sana-sini, ramai yang marah dan sakit hati dengan kerajaan. Syed Saddiq, ADUN Muar sendiri hairan, kenapa semacam takde unsur kecemasan pun di pihak kerajaan. Dalam Dewan Rakyat sendiri, Speaker tolak usul nak bincang pasal banjir atas alasan “tak boleh lompat dari satu isu ke isu yang lain”, sedangkan ia dah teruk dalam pandangan rakyat yang terjejas ni.
Hakikat sebenarnya adalah bukan ATM taknak turun, lagi-lagi nak gunakan aset. Sorang warganet menjelaskan, hal bencana alam bukan di bawah bidang kuasa ATM. Sebaliknya, ia di bawah kawalan NADMA. Antara ATM dan APM , Angkatan Pertahanan Awam (APM) lebih sesuai asetnya kerana diorang jugak boleh buat operasi menyelamat.
Diorang jauh lebih berpengalaman dalam operasi penyelamatan, malah dah bersedia lebih awal untuk tempoh tengkujuh. Walaupun begitu, ada sumber mengatakan bahawa ATM sebenarnya dah lama tunggu arahan dan tak sabar nak turun padang bantu mangsa. Akan tetapi, hasrat nak bantu tu dihalang oleh NADMA atas alasan bahawa banjir belum teruk lagi.
Akhirnya, ATM tak sabar dan langgar arahan NADMA yang mula-mula tak benarkan ATM ‘masuk’. Sumber tu jugak berkata, NADMA ni “tidak tahu bagaimana untuk menangani krisis berkenaan”, mendakwa takde sorang pun dari NADMA atau kerajaan negeri pantau media sosial bagi dapatkan mesej SOS daripada mangsa. Pihak Kementerian Pertahanan terpaksa ‘menjerit’ kepada kakitangan NADMA, barulah nak panggil mesyuarat bagi selaraskan usaha bantuan. Ni cerita dari sisi sumber pihak ATM.
NADMA disifatkan gagal uruskan bencana banjir oleh banyak NGO, lebih teruk; NADMA sendiri kata hanya urus pampasan je. Abdul Latif, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) terdahulu dipetik menyatakan NADMA cuma jaga urusan dalam pemberian pampasan kepada mangsa selepas dapat maklumat dan senarai daripada negeri.
5. Jumlah korban semakin meningkat, beberapa bantuan diumumkan
Memandangkan #DaruratBanjir masih lagi hangat dan berfungsi sebagai rujukan awam, ramai jugak yang berkongsi penemuan mangsa termasuklah hanya tinggal jasad. Bahkan, ada jugak yang berciap, bayi jugak turut jadi mangsa korban akibat ketiadaan makanan dan kesejukan. Ni suatu khabar buruk dan kami amat bersimpati atas kehilangan, baik dari segi jiwa dan harta benda. Haiwan-haiwan peliharaan dan yang terbiar jugak ditemukan kaku tak bernyawa lagi.
Astro Awani melaporkan setakat ni, 17 korban direkodkan dalam kejadian banjir yang melanda 8 negeri. Lebih 65,000 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan KL. Bantuan-bantuan baik dari NGO, kumpulan sukarelawan dan pihak kerajaan kini sedang diagihkan. Demi meringankan beban mangsa banjir ni, beberapa inisiatif khas untuk mangsa banjir diumumkan termasuklah cuti kecemasan. Selain tu, Muhyiddin umum Bersatu salur RM1 juta untuk Tabung Bantuan Mangsa Banjir 2021.
Petronas pulak umum menyumbangkan RM20 juta kepada mangsa banjir ni. Banyak lagi yang buat tabung bencana, jadi sekiranya korang tak dapat membantu tenaga.. korang boleh jugak salurkan bantuan kewangan kepada tabung-tabung yang ditubuhkan oleh pihak-pihak yang korang percaya. Pesanan ikhlas dari kami: waktu seperti inilah, boleh jadi wujud pihak yang mengambil kesempatan dalam kesempitan bencana ni. Sebaiknya berhati-hati dan hanya salurkan wang korang kepada pihak yang korang yakin akan salurkan amanah ye…