Baru-baru ni ramai gak orang yang terperanjat sebab berlakunya deflasi, katanya banyak impak yang negatif akan berlaku pada negara. Siap ada yang kata – pihak pengeluar akan kurang pengeluaran produk dan akan adalah orang yang bakal menyertai kumpulan penganggur, yang memang dah tinggi kat Malaysia. Tapi sejauh mana benda ni betul? Adakah ini semua agenda freemason untuk menindas umat Malaysia?
Seperti biasa kami di ORANGKATA yang tak dibayar oleh freemason atau tentera-tentera Dajjal akan cuba terangkan secara simple, apa sebenarnya yang terjadi dengan deflasi ni. Jangan risau, kami tahu ramai je orang tak tahu apakah benda deflasi ni. Bunyinya macam ada kaitan dengan nasi putih yang dah basi.
Inflasi dan deflasi umpama laki bini yang kena bersama
Sebelum tahu pasal deflasi, kena tahu pasal inflasi. Inflasi berlaku apabila harga barangan dan perkhidmatan naik, sementara deflasi berlaku apabila harga tersebut menurun. Imbangan antara kedua keadaan ekonomi adalah halus, dan ekonomi dapat dengan cepat berayun dari satu situasi ke yang lain.
Inflasi adalah disebabkan apabila barangan dan perkhidmatan berada dalam permintaan tinggi, mewujudkan penurunan ketersediaan. Pengguna sanggup membayar lebih banyak untuk item yang mereka mahu, menyebabkan pengeluar dan penyedia perkhidmatan mengenakan bayaran lebih banyak. Bekalan boleh dikurangkan kerana banyak sebab, contohnya bencana alam.
Secara umumnya – deflasi berlaku apabila terlalu banyak barang yang tersedia atau apabila tidak ada cukup wang yang beredar untuk membeli barangan tersebut. Contohnya, jika jenis kereta tertentu menjadi sangat popular, pengeluar lain mula membuat kenderaan yang sama untuk bersaing. Lepas tu, syarikat kereta tu akan mempunyai lebihan model kereta yang awal-awalnya popular, jadi mereka harus menurunkan harga untuk menjual kereta. Tapi ada juga faktor lain, ni kami nak cerita.
Apa sebenarnya yang tengah jadi di Malaysia?
Betul ke orang kata dek sebabkan deflasi ni, Malaysia dalam bahaya? Meh sini baca..
Memanglah jika kita cedok bulat-bulat daripada buku teks ekonomi kita boleh dapat rumuskan keadaan macam tu, tapi hakikatnya tak ada ekonomi mana-mana negara yang ikut buku teks secara bulat-bulat. Kadar deflasi Malaysia sebanyak -0.7% pada Januari 2019 hanya menunjukkan bahawa harga purata barangan yang diukur Jabatan Perangkaan Malaysia menurun sebanyak 0.7% berbanding Jan 2018.
Perlu diterangkan yang hakikatnya sebahagian besar penurunan harga ni disebabkan penukaran sistem subsidi harga minyak yang menyebabkan harga minyak turun mendadak berbanding Jan 2018. Harga minyak ialah komponen agak besar dalam pengiraan harga pengguna ini. Nampak tak?
Itu je yang menyebabkan kadar deflasi yang kita lihat pada bulan lepas. Kalau harga minyak naik, kemungkinan besar kita akan alami inflasi semula. So, tak payah la nak panik tentang “deflationary spiral” – ianya cuma jadi jika penurunan harga terlalu mendadak sehingga syarikat pilih untuk kurangkan pengeluaran dan perkhidmatan diorang sampai memberhentikan pekerja.
Kemudiannya terpaksa mengurangkan permintaan barangan. Kita jauh dari tahap itu, lebih-lebih lagi sebab kadar deflasi kita yg ciput takde kena-mengena dengan pengurangan permintaan. Penggunaan (consumption) dalam negeri kita masih mantap.
Jadi, pihak yang tengah panik buat propa ni chill lah, dan belajar untuk mentafsir ilmu dalam konteks yang betul.
Jangan terlalu cepat buat kesimpulan atau andaian
Oleh sebab Google dah wujud, ramai orang yang suka-suka hati sahaja buat kesimpulan. Mereka tak lakukan kajian yang betul-betul menyeluruh terhadap sesuatu isu. Akhirnya mereka pun keluarkan kesimpulan yang tak tepat atau tak lengkap. Jadi sebelum nak bagi orang lain panik, boleh kaji betul-betul ke PISANG (bukan nama sebenar)?